Sunday 30 January 2011

BILIK DARJAH YANG SEMAKIN SEMPIT



Oleh: CHANG SHAK HUNG

PENDIDIKAN di negara kita sering membawa perubahan. Sejak kebelakangan ini dan sebahagian besarnya melibatkan perubahan ketara dari segi sistem pendidikan nasional. Ramai yang merungut dan kecewa dengan perubahan drastik yang sedikit sebanyak membawa kesan untuk jangka masa panjang kepada negara.

Sekolah merupakan satu tempat untuk setiap insan membina diri mereka dengan pengisian dari pelbagai sumber ilmu agar dapat memudahkan individu menghadapi arus kehidupan di masa akan datang. Inilah harapan yang menjadi impian setiap ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Bilik darjah merupakan tempat paling sesuai untuk penyampaian pengajaran dan pembelajaran teus daripada tenaga pengajar secara terus. Namun yang demikian, sejauh manakah keselesaan tersedia ada dan suasana itu dapat merangsang tumpuan dan penerimaan pelajar terhadap pengajaran guru?

Isu kesesakan pelajar dan pelajar yang terlalu ramai di dalam sesebuah bilik darjah telahpun mencapai ke tahap yang serius dan membimbangkan kepada para ibu bapa serta guru itu sendiri.

Melalui aduan daripada pihak ibu bapa yang mengajukan persoalan tersebut, Chang Shak Hung telah mengambil inisiatif untuk memahami masalah ini secara lebih mendalam.

Sebuah sekolah menengah yang terletak di Jalan Utara memang hampir setengah daripada bilik darjah menempatkan 45 hingga 50 orang pelajar, itupun untuk dua sesi pembelajaran.

Cuba bayangkan bagaimana seorang guru dapat memberikan tumpuan mengajar dalam masa 30 minit dan pada masa yang sama hendak menjawab soalan yang tidak faham oleh para pelajar?

Guru tidak mempunyai masa yang panjang untuk menghabiskan sukatan mata pelajaran mengikut masa yang ditetapkan menerusi ‘Lesson Plan’. Tambahan pula, kekesalan ibu bapa memang ada asasnya apabila pelajar yang ramai akan menyebabkan para pelajar membentuk kumpulan kecil dan asyik bercakap semasa guru mengajar sehingga menyebabkan gangguan tumpuan pelajar yang khusyuk menerima pengajaran daripada guru.

Bukan itu sahaja, pelajar yang lemah akan berasa malu untuk bertanya memandangkan ramai rakan sekelas dan ini akan menyebabkan pelajar yang lemah tidak memahami apa yang guru sedang mengajar.

Guru terpaksa untuk mengawal tingkah laku pelajar yang pelbagai latar belakang dari segi keluarga dan keadaan kesediaan untuk belajar. Ada pelajar yang datang dari latar belakang keluarga yang susah dari segi ekonomi, kurang berminat terhadap pelajaran, pelajar hiperaktif dan sebagainya.

Ini mengakibatkan guru tidak dapat untuk menumpukan sepenuhnya terhadap kawalan kelas. Perlu diingat bahawa seorang guru akan mengajar 3-4 subjek dan ia melibatkan untuk beberapa tingkatan.

Contohnya, seorang guru matematik perlu mengajar Tingkatan 1, 2 dan 3 yang mempunyai bab matapelajaran yang berbeza dan ini akan membebankan para guru itu sendiri.

Oleh yang demikian, negeri Sabah sepatutnya mempunyai seorang Menteri Pelajarannya sendiri daripada bergantung daripada persekutuan yang tidak dapat menumpukan sepenuhnya perhatian ke atas negeri Sabah.

Pada masa sekarang, ia terbukti tidak berkesan lagi terutamanya memantau pegawai atasan daripada pejabat pendidikan di sesebuah daerah di Sabah. Untuk yang demikian, perlunya sekolah berfungsi sepenuhnya untuk membantu para pelajar menggunakan fungsi keintelektualan dalam bilik darjah agar dapat menarik minat pelajar dalam proses pembelajaran.

Apa yang penting tujuan dan hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang berilmu harus dimulakan melalui sesi pembelajaran di bilik darjah yang lebih efisien.

No comments:

Post a Comment