Saturday 22 January 2011

PEMUDA UMNO SOKONG MEMO GSTT



Oleh: KREW SABAHKINI.NET

PEMUDA UMNO Tenom menyokong penuh memorandum yang dikemukakan 578 guru Sandaran Tidak Terlatih yang tamat kontrak akhir tahun lalu dan mengharapkan agar Kementerian Pelajaran menyambung semula perkhidmatan mereka seperti dijanjikan.

Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar (kanan sekali) yang bersama-sama mengiringi Pengerusi Jawatankuasa GSTT Sabah, Norman Lantayan, menyerahkan memorandum rayuan sambungan perkhidmatan kepada Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Yusuf Haniff untuk diserahkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin bar-baru ini.

Jamawi menekankan beliau percaya kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi yang memberi jaminan kementerian tidak memberhentikan sebahagian daripada 12,000 guru terbabit yang tamat kontrak tahun lalu dibuat secara suci hati dan jujur namun memerlukan sedikit masa untuk memproses pelanjutan tempoh perkhidmatan mereka.

“Walaupun belum ada yang menerima surat tawaran sambungan kontrak perkhidmatan, tetapi saya yakin masalah ini akan dimuktamadkan dalam sedikit masa bagi mengelak pembelajaran terbantut kerana ada sekolah rendah yang kekurangan 19 orang guru,” ujar Jamawi lagi.

Kata Jamawi, beliau dimaklumkan Norman beberapa sekolah mengalami kekurangan guru yang terlalu serius sehingga mengganggu sistem pengajaran dan pembelajaran terutama di Sekolah Menengah Teknik Lahad Datu (19 orang), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemabong, Tenom (13 orang) dan SMK Tandek, Kota Marudu (11 orang).

“Dalam hal ini saya akan menemui Menteri Kabinet Sabah yang bertanggung jawab berhubung potfolio Pelajaran di Sabah, Datuk Masidi Manjun untuk menzahirkan pandangan dan permohonan GSTT yang begitu penting dan meminta bantuan beliau untuk mempercepatkan proses penyambungan kontrak GSTT di Sabah,” ujar Jamawi yang melihat isu penting akan dijadikan modal pembangkang jika tidak diselesaikan dengan baik terutama ketika pilihanraya kecil DUN Tenang dan pilihanraya umum akan datang.

“Jasa dan sumbangan mereka banyak membantu kerajaan memperkasakan modal insan menerusi pendidikan. Komitmen tinggi mereka perlu dihargai, termasuk menerima tugasan di kawasan pedalaman yang serba kekurangan,” katanya.

No comments:

Post a Comment