Sunday 23 January 2011

RUBIN WAJAR CONTOHI KURUP!



Oleh: MAIL MATHEW

WAKIL Rakyat Kemabong disaran agar mengambil ikhtibar dengan langkah-langkah yang telah diambil oleh Wakil Rakyat Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup dalam menangani isu pembubaran kawasan Hutan Simpan Sook seluas 6,111 hektar dan kini diwartakan sebagai tanah kerajaan kerana sebelum ini tanah tersebut berstatus Hutan Simpan Kelas IV.

Gesaan tersebut dinyatakan pemimpin Parti Maju Sabah (SAPP) Kemabong, Saul Salleh dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu sebagai mengulas isu penempatan penduduk kampung di kawasan hutan simpan dan masih menjadi buruan Jabatan Hutan Sabah.

Tegasnya, beliau percaya bahawa masalah yang dihadapi oleh penduduk Sook mempunyai persamaan dengan apa yang telah berlaku di Kemabong baru-baru ini yang melibatkan beberapa buah rumah penduduk Kg Kapulu dan Katubu dalam Mukim Rundum dirobohkan pihak penguatkuasa Jabatan Perhutanan.

Sebelum itu tegas Saul, penduduk Kg Emahit merupakan yang pertama mengalami masalah yang sama sekitar tahun 2008 apabila 6 orang penduduk kampung tersebut telah dihadapkan ke Mahkamah pada tahun 2010 atas kesalahan menceroboh kawasan Hutan Simpan Mukim Tomani.

“Kita yakin perkara ini boleh diurus dengan pendekatan yang lebih teratur tetapi mungkin ia tidak boleh mendapat keputusan secara mendadak, mahupun secara spontan dan mungkin memakan masa dua atau tiga kali pertemuan,” jelas Saul sambil mengharapkan agar isu tersebut dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.

Kata Saul, beliau tidak sanggup lagi melihat penduduk menjadi mangsa kekejaman atau menjadi buruan pihak berkenaan hanya kerana kesilapan status tanah yang tidak jelas dan masih tergantung pengurusannya.

Saul yang juga bekas Pegawai Pembangunan masyarakat (CDO) ketika era kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) bagaimanapun menegaskan bahawa masih segar dalam ingatannya hasrat wakil rakyat pada ketika itu, pernah meminta kerajaan untuk mengeluarkan mana-mana kawasan yang dikategorikan sebagai tanah adat (NCR) supaya daripada kawasan hutan simpan tetapi sehingga kini tiada jawapan.

“Kerajaan seharusnya serius menimbang permintaan itu sedangkan kawasan itu kini sudah menjadi kawasan penempatan rakyat termiskin dengan pembinaan projek Agropolitan di Kg Kabintaluan yang sudahpun bermula dan projek penjanaan kuasa elektrik hybrid solar di Kg Sumambu,” kata Saul lagi.

Dalam pada itu, dalam laporan media baru-baru ini, penduduk Sook diberitahu bahawa seluas 6,111 hektar tanah di kawasan Hutan Simpan Sook Plain telah dibubarkan dan kini diwartakan sebagai tanah kerajaan. Sebelum ini tanah tersebut berstatuskan hutan simpan kelas IV yang melibatkan beberapa perkampungan didiami sejak tahun 1970-an.

Jabatan Hutan Sook yang diwakili oleh pegawainya, Johnny Raymond menjelaskan bahawa pembubaran hutan simpan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, jabatan itu kini hanya mempunyai dua ribu lebih hektar tanah di kawasan tersebut iaitu bagi tujuan Pusat Penyelidikan Hutan dan KM Hibrid Plantation. Tanah itu berkeluasan 9 ribu hektar sebelum dibubar kepada tanah kerajaan.

Johnny berkata demikian di majlis sesi dialog sempena majlis pemimpin bersama rakyat di Kg Masusun bertempat di rumah Paulus Anip, yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan.

No comments:

Post a Comment