Tuesday 11 January 2011

SABAH MUNDUR BUKAN SALAH MUSA!


SILAM... Kunsul tidak menyesali masa silam yang sudah berlalu kerana jelaga masa yang merintis tenaga hijau di Sumambu, Tenom telah membasuh kenangannya terhadap kemiskinan.


Oleh: SURIATI MAHMUD

KEMUNDURAN dan kemiskinan yang merantai Sabah sejak sepuluh tahun lalu bukan salah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, sebaliknya salah Kerajaan Persekutuan.

Ketua Cawangan UMNO Tanjung Labian, Kunsul Nahul, ketika menghubungi Sabahkini.net berkata, beliau kesal kerana media massa dan Bank Dunia telah melemparkan tohmahan terhadap pemimpin Sabah, terutama Musa yang telah bertungkus lumus membangunkan Sabah, sekalipun dengan dana terhad dan sabotaj Menteri Kabinet Persekutuan.

“Kemiskinan di Sabah berpunca daripada sikap Menteri Kabinet Persekutuan yang gagal memperkasa ekonomi Sabah dan tidak selari dengan hala tuju pembangunan yang dirancang oleh Kerajaan Negeri demi survival politik mereka,” kata Kunsul yang mendedahkan bahawa banyak peruntukan Persekutuan dibazirkan dengan projek yang langsung tidak berfaedah untuk rakyat.

Contoh paling ketara ialah membekalkan ‘Notebook 1Malaysia’ dan ‘Kampung Wifi’ yang langsung tidak memberi faedah kerana isu pokok yang gagal diselesaikan oleh Kerajaan Persekutuan ialah bekalan elektrik luar bandar terutama 90 rakyat Sabah di luar bandar belum menikmati bekalan elektrik secara tetap.

“Lebih daripada RM2 billion telah dibazirkan untuk membina loji dan paip air di luar bandar tetapi jika tidak ada bekalan elektrik, bagaimana mahu menyalurkan bekalan air? Sudah pasti rakyat Sabah akan terus bermimpi jika isu bekalan elektrik gagal diselesaikan dengan sempurna oleh Kerajaan Persekutuan,” kata Kunsul yang mengambil contoh akibat ketiadaan bekalan elektrik di 13 kampung tradisi di Tungku yang masih menggunakan lilin atau lampu minyak diesel.

Tegas Kunsul, FELDA yang mengaut untung billion ringgit setahun juga menghadapi masalah bekalan elektrik sehingga hampir menjadi penjenayah alam sekitar setelah memberi persetujuan untuk membina janakuasa arang batu di Sinakut; mujur ditolak oleh Jabatan Alam Sekitar kerana dikhuatiri akan mencemar alam sekitar.

Sehubungan itu, Kunsul menggesa agar Kerajaan Persekutuan menunaikan janji mereka untuk menerangi Sabah dengan bekalan elektrik melalui ‘Janji Sabah Baru’ pada 1994 yang diperbaharui setiap kali musim pilihanraya, namun krisis bekalan elektrik semakin meruncing.

“Sebelum pembangkang menjadikan isu ini sebagai peluru untuk menembak kita, ada baiknya kita beralih kepada tenaga hijau sebagaimana yang digunakan dengan jayanya oleh penduduk di Pulau Timbang Sandakan dan Kampung Sumambu di Tenom,” ujar Kunsul yang telah melawat dua kampung berkenaan namun kesal kerana Kerajaan Persekutuan masih berdolak dalih untuk membanjiri Sabah dengan tenaga hijau yang mesra alam.

FELDA kata Kunsul sewajarnya menjalinkan usahasama dengan pembekal tenaga hijau yang telah mencatatkan kejayaan di dua lokasi penting ini untuk menjana kilang kelapa sawitnya yang mencemar alam sekitar dan memastikan 872 keluarga peneroka di Gugusan FELDA Sahabat mendapat bekalan elektrik 24 jam.

Kunsul yang pernah diperdaya Adun Tungku, Datuk Ustaz Haji Suhaili Said mengikuti rombongan yang ditaja oleh Tenaga Nasional Berhad ke Semenanjung Malaysia sedikit masa lalu, terharu dengan kejayaan sebuah syarikat Malaysia, ETI Tech Corp Bhd yang mencipta tenaga hijau serta murah tanpa mencemar alam sekitar dan boleh diperbaharui setiap masa tanpa penyelenggaraan yang rumit.

“Saya turut menggesa agar Ahli Parlimen Malaysia (Silam) Haji Salleh Kalbi agar menggunakan sedikit peruntukannya, sebagaimana yang digunakan oleh rakan sejawatnya di Tenom, Datuk Raimie Unggi untuk membekalkan elektrik melalui tenaga hijau ke Tambisan, Tungku dan Pulau Sakar yang begitu mundur dan termiskin di Sabah,” ujar Kunsul seraya menegur sikap Salleh yang gemar membelanjakan peruntukan parlimennya untuk projek yang tidak memberi faedah kepada rakyat.

No comments:

Post a Comment