Monday 3 January 2011

SABAH TERCICIR DARIPADA HAK ISTIMEWA?



Saudara Pengarang,

SETELAH 47 tahun bergabung dalam Malaysia, kedudukan istimewa bumiputera di Sabah dan Sarawak masih tidak dipedulikan manakala kedudukan ekonomi rakyat di kedua-dua negeri itu juga masih menyedihkan, namun pada masa yang sama, ada ‘pihak-pihak tertentu’ yang mengaut keuntungan besar daripada negeri itu tanpa mempedulikan nasib anak negeri.

Di satu sudut, ada pihak di Semenanjung Malaysia yang berjuang mempertahankan kedudukan istimewa Bumiputera yang mereka anggap sebagai hak asasi dan dianggap tidak boleh dibincangkan sama sekali.

Di satu sudut yang lain pula, para pejuang ini tidak mempedulikan kedudukan istimewa yang sama untuk Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Gagasan Malaysia diharap membawa kepada perpaduan yang lebih erat di kalangan rakyat melalui perkongsian dan pengagehan sumber yang lebih adil. Jika Kerajaan Pusat benar-benar mahu menjamin dan melindungi keistimewaan Bumiputera, ia perlu memastikan pelaksanaan keadilan untuk semua Bumiputera tanpa mengira suku, kaum, agama dan kedudukan geografi.

Sehubungan itu, kerajaan perlu memastikan Sabah dan Sarawak menikmati peluang-peluang yang sama seperti yang dinikmati oleh negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Setelah sekian lama Malaysia terbentuk, kita tidak boleh lagi ‘menyapu sampah ke bawah permaidani’ dalam menangani pelbagai persoalan seperti isu urus tadbir kerajaan yang lemah.

Perkara itu akan mengheret pelbagai isu rasuah, penyelewengan serta masalah sosial seperti jenayah, kemiskinan serta prejudis kaum dan agama yang tebal.

Setiap masalah yang muncul perlu dihadapi untuk penyelesaian tuntas. Ini hanya dapat dilakukan dengan penegasan prinsip ketelusan dan tanggungjawab. Suka atau tidak, ia perlu dilakukan agar disiplin pengurusan ekonomi yang mapan dapat mengambil tempat.

Salam Hormat,

RICK JOSEPH

No comments:

Post a Comment