Tuesday 18 January 2011

SESB WAJAR GUNA TEKNOLOGI HIJAU



Oleh: MUTALIB M.D

SABAH Electricity Sdn.Bhd digesa agar beralih kepada tenaga hijau secara total dan menjadi yang pertama di dunia berbanding keputusan olok-olok mereka yang telah mendapatkan 32MW tenaga elektrik yang dihubungkan ke grid dijana oleh projek-projek biojisim dan hidro, menjadikannya perintis utama dalam inisiatif tenaga boleh diperbaharui negara ini.

Aktivitis Masyarakat dan Hak Asasi Manusia, Datuk Patrick Sindu menyarankan agar SESB meninjau kejayaan Kampung Sumambu di pedalaman Tenom yang menjadi Kampung Pertama di dunia yang menggunakan 100 peratus teknologi hijau; melalui aplikasi tenaga solar dan bateri lithium polymer yang mesra alam yang bukan sahaja murah, malah mempunyai jangkahayat yang panjang berbanding dengan kaedah penjanaan elektrik lain.

“SESB patut malu dan belajar daripada Ahli Parlimen Malaysia (Tenom) YB Datuk Raimie Unggi agar mencintai alam sekitar dan membekalkan tenaga hijau tanpa mendatangkan sebarang kerosakan kepada alam sekitar,” kata Patrick Sindu yang baru kembali daripada lawatan ke kampung berkenaan setelah meninjau kes penduduk penduduk Mukim Rundum yang rumah mereka dirobohkan oleh Jabatan Perhutanan Sabah.

Kaedah penjanaan elektrik di Kampung Sumambu ini kata Patrick, memberi cahaya di hujung terowong bagi mengatasi krisis bekalan tenaga elektrik di Sabah yang semakin meruncing terutama di Sandakan, Kota Kinabalu, Tawau, Kinabatangan, Lahad Datu dan Semporna.

“Kegagalan dan kedegilan SESB untuk beralih kepada 100 peratus tenaga hijau menjadi kesangsian rakyat Sabah, mungkin kerana skandal rasuah; sehingga mereka lebih berminat kepada loji arang batu yang tidak diluluskan di Sinakut, Lahad Datu berbanding pakej tenaga solar bateri lithium polymer yang terbukti berjaya menjimatkan kos dan membekalkan elektrik 24 jam tanpa henti,” kata Patrick yang turut menggesa agar semua ahli Parlimen di Sabah mengikuti jejak langkah Raimie yang menyayangi rakyatnya yang ‘kempunan’ bekalan elektrik sejak 47 tahun lalu.

Patrick turut kesal kerana Kerajaan Persekutuan terus menjadikan Sabah sebagai longgokan atau tapak pelupusan bateri asid plumbum yang membahayakan nyawa manusia dan alam sekitar.

Dalam pada itu, 32MW tenaga elektrik yang dihubungkan ke grid SESB dijana oleh projek-projek biojisim dan hidro, mewakili tiga peratus daripada perkongsian penjanaan tenaga Sabah berbanding purata kebangsaan sebanyak kurang 0.5 peratus. Sebanyak 70.6MW lagi akan dijana menerusi projek-projek kecil program tenaga boleh diperbaharui, yang sedang dibangunkan dan diluluskan oleh Kerajaan Negeri Sabah.

SESB telah membina stesen hidro mini dan stesen janakuasa hybrid dengan kapasiti 8,335KW dan 300KW, setiap satu dan Palm Oil Industrial Cluster (POIC) Sabah Sdn Bhd juga telah membina stesen janakuasa CHP RM350 juta di Lahad Datu POIC.

Projek CHP (POIC) yang menggunakan biojisim untuk menjana tenaga elektrik bagi mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau mungkin menjadikan Sabah satu model penggunaan tenaga berkesan di Asia Tenggara, namun perlu menangani dua isu utama; bagaimana untuk membina persekitaran yang kondusif dan apa yang harus dilakukan untuk meneroka potensi teknologi hijau di Sabah.

1 comment:

  1. sya x taw apa dalam otak kebanyakan pemimpin masyarakat sekarang ne

    ReplyDelete