Friday 14 January 2011

SIAPA ‘HALALKAN’ BARTER TRADE SEMPORNA?



Oleh: ABBAS AHMAD

BANGUNAN C.I.Q.S yang menjadi pertikaian di antara Pemilik tanah dengan Penolong Pemungut Hasil Tanah Semporna (PPHT), telah siap dibina sejak empat bulan lalu, namun belum dapat digunakan kerana dipercayai dibina secara haram.

Perniagaan ‘Barter Trade’ adalah perniagaan Tradisi Daerah Semporna di awal kemerdekaan di antara Filipina Selatan dan Sabah sebelum wujud BIMP–EAGA, tetapi perniagaan ini telah dihentikan disebabkan faktor keselamatan oleh pihak berkuasa kerajaan sekitar 1970-an.

Persoalan pokok yang menjadi ingauan ngeri penduduk Semporna ialah faktor keselamatan yang dijadikan asas penutupan Operasi Barter Trade sejak tiga dekad lalu setelah kes penculikan di Terumbu Karang Sebangkat (2010) dan Sipadan dan Pandanan (2000) dan beberapa insiden yang tidak dilaporkan termasuk puluhan ribu PATI Filipina yang bebas keluar masuk ke Semporna kerana pintu imigresen bolos.

Jika Operasi Barter Trade ini menjadi kenyataan, maka puluhan ribu warga Filipina akan membanjiri Semporna setiap hari, sama seperti Sandakan tanpa kawalan ketat, sehingga memungkinkan penjenayah dan penculik daripada Bungao dan Tawi-Tawi memasuki Sabah secara mudah.

Ramai rakyat Semporna menganggap Projek Barter Trade ini sebagai Projek Haram kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Sehingga ke hari ini Kabinet Malaysia dan Dewan Parlimen belum membahaskan untuk menghidupkan semula Barter Trade Semporna.

Lalu, siapakah dalang di sebalik pembinaan Kompleks Barter Trade ini sehingga membelakangkan semua peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa?

Pegawai Daerah Semporna secara khianat kepada Anak Negeri Sabah hanya mengambil masa tiga bulan untuk membina Kompleks Barter Trade ini setelah membatalkan semua permohonan tanah yang telah mendapat kelulusan Pejabat Hasil Bumi termasuk kelulusan T.O.L tetapi bertindih dengan tapak Barter Trade berkenaan.

Walaupun pemilik tanah asal termasuk T.O.L telah membuat bantahan rasmi kepada PPHT, namun tidak diendahkan oleh Pegawai Daerah berkenaan, bahkan pekerja- pekerja yang membina bangunan itu telah memaklumkan bahawa pembinaannya adalah atas arahan khas Ketua Polis Daerah dan Pegawai Daerah Semporna sendiri.

Konspirasi ini telah dihidu oleh pemilik apabila Penyelia Tanah Semporna sendiri memberikan laporan kepada Ketua Polis Daerah mengenai kedudukan tanah itu melalui laporan bohong dan palsu dari pejabat Tanah dan PPHT Semporna.

Bagi mendapatkan keadilan, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Karamunsing Kota Kinablu untuk meminta pihak polis membuat penyiasatan terhadap konspirasi ini yang telah membelakangkan hak persendirian dan individu rakyat negara ini.

PPHT Semporna, Penolong PPHT Semporna dan Penyelia Tanah Semporna telah dinamakan sebagai orang yang bertanggungjawab untuk menjawab persoalan ini.

Persoalan menarik untuk dikaji, siapakah pemilik sebenar Bangunan CIQS berkenaan sehingga menafikan hak rakyat? Apakah Operasi Perniagaan mengangkut penumpang itu telah mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri sebelum menjalankan perniagaan mereka?.

Salah seorang pemohon tanah yang telah mendapat kelulusan Hasil Bumi, Abdullah Sani Haji Abdul Salleh telah mengheret PPHT Semporna ke Mahkamah untuk menjawab semua persoalan, bagi mendapatkan keadilan dan gambaran sebenar kerana tidak ingin ditipu atau diperlekehkan begitu sahaja.

Afidavit untuk menyaman PPHT Semporna yang disediakan oleh Tetuan Lee & Kong Advocates Solicitors telah dikemukakan kepada PPHT Semporna pada 23 Disember 2010 bagi pihak pemilik tanah dan meminta pihak PPHT menjawabnya dalam masa 48 jam.

Di samping itu, pendengaran awam akan diadakan di Mahkamah Kota Kinabalu pada 18 Januari 2011.

No comments:

Post a Comment