Sabahkinitv Production

Loading...

Thursday, January 27, 2011

SUDAHKAH LC 9988 BAYAR CUKAI?



Saudara Pengarang,

CERITA kecurangan Jabatan Kastam belum lagi berakhir. Bermacam-macam hal yang kita dengar tentang Kastam. Kita menghormati mereka kerana menjadi pemangkin kepada pembangunan negara melalui kutipan cukai.

Bagaimanapun, mungkin hasil kutipan Kastam ini akan bertambah meningkat lagi, sekiranya para pegawai penguatkuasa mereka jujur dan telus dalam menjalankan tugas.

Kalau kita memandu di sekitar Kota Kinabalu, kita tidak pernah akan terlepas pandang kepada kenderaan mewah yang nombor pendaftarannya dari W.P Labuan. Maklumat yang diterima, kebanyakan kereta dari W.P Labuan masuk ke Sabah dengan menggunakan keistimewaan berada di Sabah selama 90 hari.

Namun, kereta-kereta yang kebanyakannya dari jenis Toyota Camry seperti tidak pernah balik ke Labuan. Menurut sumber, kereta-kereta ini berada di Sabah berdasarkan kepada bayaran RM200 sebulan, dibayar kepada beberapa anggota Kastam di Labuan, sebagai ganjaran untuk tidak merekodkan kemasukan kereta berkenaan ke Sabah.

Menurut sumber itu lagi, apabila ada operasi mencari kereta-kereta berkenaan, maka pegawai-pegawai yang mendapat bayaran bulanan ini akan menghubungi kesemua pemilik kenderaan, supaya menyembunyikan kereta-kereta berkenaan buat sementara waktu sehingga operasi berhenti.

Saya merasakan kegiatan ini pasti dapat diketahui oleh pihak atasan, namun sehingga kini, tiada tindakan yang dilakukan. Sebagai contoh, sebuah kereta Toyota Camry, No pendaftaran LC 9988, sudah beberapa tahun di Sabah dan tidak berbayar cukai.

Saya berharap, pihak berkuasa dapat menyiasat perkara ini dan mencari dalang kepada sindiket ini. Bagi saya, jika perkara ini dihalalkan oleh kerajaan Malaysia, adalah adil jika membenarkan semua orang membuat perkara yang sama.

Saya hormat Kastam kerana memungut cukai, saya hormat Kastam kerana ada juga pegawai-pegawainya yang didekasi tetapi saya paling benci kepada pegawai-pegawai yang mengamalkan rasuah. Saya yakin, pegawai-pegawai Kastam di Labuan hidup dalam kemewahan kerana di sanalah sumber segala jenis penyeludupan.

Sekian, Salam Hormat,

ANAK JATI SABAH

1 comment: