Tuesday 18 January 2011

TANAH ADAT Vs JABATAN HUTAN?

SUKAR... Walaupun melalui perjalanan yang sukar kerana perhubungan mundur, namun Raimie terus mendengar keluhan rakyat di pedalaman.

Oleh: MUTALIB M.D

TANAH adat yang terpenjara di dalam hutan simpan merupakan isu terpenting yang gagal diselesaikan Jabatan Hutan Sabah sejak merdeka sehingga kini telah memberi liabiliti kepada kerajaan untuk terus menerima sokongan daripada rakyat yang tertindas.

“Sejak menjadi Ahli Parlimen Malaysia (Tenom), saya telah mengemukakan banyak rayuan dan permohonan kepada Jabatan Hutan Sabah agar menjalankan gerakerja bagi mengenal pasti tanah adat seluas lebih kurang 300 ekar di kawasan hutan Simpan Rundum yang diwartakan pada 1984, tetapi sehingga kini bukan sahaja tidak selesai, malah bertambah parah,” ujar Datuk Raimie Unggi ketika menghubungi Sabahkini.net sebentar tadi.

Raimie berkata, ekoran ketidak cekapan Jabatan Hutan mentadbir urus hutan simpan sehingga gagal mengenal pasti tanah adat yang sudah wujud lebih 200 tahun lalu, terutama di Mukim Rundum, telah menyebabkan mereka bertindak di luar batasan undang-undang dengan meroboh empat buah rumah yang didirikan penduduk kampung di kawasan kebun yang mereka usahakan.

“Saya tidak berpuas hati dengan jawapan sambil lewa Pengarah Jabatan Hutan, Datuk Sam Mannan yang mengatakan rumah yang dirobohkan tersebut ialah rumah pembalak haram sedangkan kawasan tersebut ialah rumah yang didirikan penduduk kampung untuk menjaga tanaman dan ternakan mereka,” ujar Raimie yang agak kecewa dengan senario yang berlaku di kawasan yang diwakilinya.

Tegas Raimie, jika Jabatan Hutan telah menjalankan kajian lapangan, mereka pasti akan menemui berpuluh buah kampung yang telah wujud berpuluh tahun sebelum merdeka dan ada yang sudah menjangkau 200 tahun telah disalah wartakan sebagai Hutan Simpan sehingga penduduk kampung dilayan sebagai Pendatang Asing, di tanah adat yang mereka usahakan dengan tulang empat kerat dan diwariskan kepada generasi terkini.


TENANG....Kampung Sumambu ini berada di dalam hutan simpan yang selama ini dinafikan segala hak oleh Jabatan Hutan kini menjadi kampung pertama di dunia yang mendapat bekalan elektrik daripada teknologi hijau.


“Tanah adat mana ada geran? Jadi jangan melampaui batas jika menjalankan tugas. Ikut peraturan dan SOP yang sedia ada. Beri notis atau bawa berbincang dengan penduduk kampung. Wujudkan tanda sempadan dan wajar keluarkan kawasan yang telah diusahakan oleh penduduk kampung,” ujar Raimie lagi yang menggesa Penolong Pemungut Hasil Tanah menjalankan tugas mereka mengenal pasti keluasan tanah adat yang terlibat.

Tidak boleh tidak, kata Raimie, kerajaan negeri Sabah wajib mencari jalan penyelesaian berhubung isu di luar batas peri kemanusiaan ini agar tidak menganiaya Anak Negeri Sabah yang hidup di dalam kemiskinan, terutama selepas tanah mereka dirampas dan pondok mereka dirobohkan Jabatan Hutan.


ROBOH.... Seorang penduduk Katubu, Palipus Ampasu menunjukkan gambar salah satu pondok penduduk kampung yang dirobohkan kakitangan Jabatan Hutan.


Memandangkan isu ini semakin meruncing, Raimie akan menemui Ketua Menteri Sabah dan Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah untuk memastikan isu ini menjadi salah satu usul penting dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah akan datang (dibawa oleh Adun BN) kerana TYT mempunyai kuasa untuk mengeksais keluar hutan simpan yang tidak produktif kepada Anak Negeri Sabah; terutama tanah adat yang terletak di bawah budi bicara PPHT.

“Saya ada bukti kukuh untuk mendakwa tanah ini adalah tanah adat kerana nenek moyang dan bapa saya lahir di sini dan sudah bermastautin sejak beberapa generasi dengan mengusahakan tanah berkenaan. Karenah birokrasi menyekat nenek moyang kami mendapat hak asasi ke atas tanah tersebut kerana masalah perhubungan dan agitasi politik,” ujar Raimie yang kesal dengan sikap jabatan tertentu yang memilih untuk berlaku kejam kepada penduduk kampung, yang bukan sahaja sebagai pengundi tegar BN, malah pembayar cukai yang setia.

Kata Raimie, beliau kesal kerana telah berusaha keras untuk menjadikan Kampung Sumambu dan Katubu sebagai ‘Kampung Teknologi Hijau’ yang pertama di dunia setelah Jabatan Hutan menafikan hak penduduk kampung untuk mendapatkan bekalan elektrik dan air bersih.


ELEKTRIK...Betapa sukarnya Raimie membawa bekalan elektrik ke Kampung Katubu dan Sumambu, tetapi begitu mudah dihancurkan oleh Jabatan Hutan.


“Saya telah membayar hutang kerajaan dan menyuci dosa pemimpin dahulu yang memungkiri janji mereka kepada penduduk kampung ini, dengan menyalurkan bekalan elektrik solar bateri lithium polymer; tetapi Jabatan Hutan bukan sahaja mahu merampas hak mereka, malah seolah-olah mahu menghapuskan etnik Murut daripada muka bumi ini,” ujar Raimie dengan nada sebak kerana terkilan dengan tindakan wewenang Jabatan Hutan tanpa melalui proses undang-undang sehingga disifatkan sebagai mencabul Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini kata Raimie, beliau ada mendengar tindakan kejam kakitangan Jabatan Hutan membakar rumah penduduk kampung di Hutan Simpan Mount Pock, Tanjung Nagus, Kalumpang, Serudung dan Mensuli; namun kes di Rundum membuktikan bahawa Jabatan Hutan hanya tahu mencetuskan kemarahan rakyat tetapi gagal memadam api sengketa yang mereka ledakkan.

No comments:

Post a Comment