Friday 14 January 2011

TIDAK BERSEKOLAH KERANA TIADA KWAPM?



Oleh: MAIL MATHEW

KETUA Bahagian United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Orginazation (UPKO) kawasan Tenom, Biou Suyan kesal kerana ketiadaan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) menyebabkan ramai pelajar miskin di luar bandar tidak jadi mendaftar dan tercicir daripada sekolah.

Sehubungan itu, Biou menggesa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) agar terus menggunakan sistem lama iaitu Sistem Maklumat Murid (SMM) untuk mendaftar pelajar penerima Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kerana sistem baru ‘E-Kasih’ belum cukup mantap sehingga ramai pelajar tercicir daripada senarai yang layak menerima.

Katanya, disebabkan kegagalan sistem data e-kasih yang baru tidak berfungsi dengan baik, ramai ibubapa yang mengeluh kerana anak-anak mereka yang sepatutnya layak menerima bantuan KWAPM dan RMT tidak tersenarai.

“Kita bukan menolak pembaharuan KPM memperkenalkan sistem baru seperti data e-kasih tetapi mungkin ia mengalami masalah kesesakan sebagai punca berlaku kelewatan dan keciciran nama kerana ia terpaksa menampung pemuatan data di seluruh negara jadi, ada baiknya kena tangguh dulu untuk sementara waktu sehingga sistem baru itu mantap,” kata beliau lagi.

Bagaimanapun tegas Biou, sistem lama seperti SMM yang digunapakai untuk mendaftar pelajar miskin bagi mendapatkan bantuan KWAPM sebelum ini mungkin tidak bersesuaian lagi di zaman sistem pengkomputeran maklumat, namun SMM yang bersifat ‘semi manual’ itu tepat dan berkesan.

Biou seterusnya menegaskan bahawa beliau bersimpati dengan masalah para ibubapa pelajar miskin yang kecewa apabila mendapati anak-anak mereka tiba-tiba tidak tersenarai untuk menerima bantuan KWAPM dan RMT sedangkan mereka itu dikategorikan sebagai layak menerima.

“Sekarang ini adalah masa bagi mereka untuk mendaftar anak-anak mereka ke sekolah tetapi disebabkan mereka tidak tersenarai dalam data penerima, mereka terpaksa membawa anak-anak undur diri kerana tidak berkemampuan,” kata Biou.

Sementara itu menurut sumber Pejabat Pelajaran di sini, ketika diminta menjelaskan keunikan sistem e-kasih yang baru diperkenalkan itu berkuatkuasa tahun ini, meskipun ia suatu usaha penambahbaikan sistem KPM namun tidak menafikan akan wujud kelembapan pendaftaran data pelajar-pelajar di peringkat awal disebabkan ia terpaksa menampung pemuatan data di seluruh Negara.

Sumber itu menambah, ia mungkin akan memakan masa yang agak lama sedikit untuk memantapkan pemuatan data-data tersebut namun beliau menegaskan bahawa sistem tersebut merupakan yang terbaik selepas keadaannya telah cukup mantap dan bersedia untuk digunakan.

Manakala SMM yang digunakan sebelum ini merupakan satu sistem berbentuk ‘semi manual’ kerana pihak daerah mahupun bahagian diberikuasa melengkapkan data-data menerusi laporan siasatan latar belakang para pelajar yang memohon bantuan KWAPM yang kemudiannya disokong sebelum diluluskan oleh pihak pusat.

No comments:

Post a Comment