Tuesday 4 January 2011

TSUNAMI POLITIK DI SILAM MULA MEMBADAI?



Oleh: SURIATI MAHMUD

APAKAH akan berlaku Tsunami politik di Silam dalam masa yang terdekat ini setelah Ketua UMNO Bahagian Silam, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur terselamat daripada ‘Badai’ politik 2008 melalui ‘Silap Mata UMNO Silam’ sehingga UMNO Silam tidak lagi mempunyai Laman Web?

Kejadian perletakan jawatan beramai-ramai AJK Pemuda UMNO Silam sebelum ini menggegarkan kepimpinan Nasrun yang didakwa memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Silam dengan cara tidak sah dan penuh konspirasi; turut membenarkan desas desus akan berlaku Tsunami politik di Silam.

Berita angin ini mula didengar sejak sebulan bulan lalu apabila ramai AJK Bahagian UMNO Silam ‘Ponteng’ daripada mesyuarat UMNO Bahagian selama lebih lima kali berturut-turut kerana tidak senang hati dan kecewa dengan mutu kepimpinan Nasrun yang terlalu lemah.

“Memang benar ada pihak yang telah menghubungi kita dengan niat suci murni mereka, tetapi kita rahsiakan dahulu agar ia akan menjadi kenyataan yang menggembirakan semua pihak, terutama rakyat yang tertindas,” ujar Ketua Cabang PKR Silam, Johani Abdul Halim ketika dihubungi Sabahkini.net.

Johani bagaimanapun mengakui bahawa jumlah mereka yang ingin menyertai PKR agak ramai dan boleh menggugat kepimpinan Nasrun jika menjadi kenyataan, namun enggan mengulas lanjut kerana bimbang akan dimanipulasi pihak lain dan usaha pihak tertentu yang ingin menggagalkan penyertaan ‘Jentera’ UMNO kepada PKR.

Walaupun belum ada tanda-tanda pilihanraya akan dilakukan serentak dengan Sarawak, sekurang-kurangnya menjelang Julai 2011, namun penyertaan berpusu-pusu ahli UMNO ke dalam PKR menunjukkan riak gelombang politik mula membadai kepimpinan UMNO Silam.

“Setakat ini, jumlah kita 17 orang yang telah bersepakat untuk meletakkan jawatan dan menyertai PKR kerana kita berpendapat menyokong Nasrun sama juga dengan menyokong SAPP, berbanding Pakatan Rakyat iaitu PKR. Lebih baik kita keluar UMNO agar dapat berbakti kepada rakyat dengan lebih sempurna,” ujar jurucakap G17 yang telah bersepakat untuk memberikan maklumat awal namun meminta agar namanya dirahsiakan sebagai sahsiah politik.

Kegelinciran kuasa Nasrun yang dianggap sebagai penamat kerjayanya sebagai ahli politik, kata AJK berkenaan bukan lagi ribut dalam cawan tetapi telah menjadi Tsunami politik yang bukan sahaja akan menenggelamkan kepimpinan UMNO di Silam malah mampu mencabar kepimpinan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang pro kepada Nasrun.

“Kita telah mengemukakan rayuan kepada pucuk pimpinan parti, tetapi rayuan dan aduan kita dipandang remeh dan kita terpaksa membuktikan bahawa kita bersungguh-sungguh membela rakyat kerana selama menjadi AJK UMNO Silam kita bagaikan ‘nasi basi’ yang tidak langsung dipandang Nasrun dan pucuk pimpinan UMNO. Lalu buat apa lagi kita bertenggek di dalam UMNO Silam?,” kata AJK tersebut yang memberitahu bahawa keretakan UMNO Silam bukan rahsia lagi.

Manakala seorang AJK Wanita UMNO turut mengesahkan bahawa empat AJK Wanita telah bersedia meninggalkan perjuangan sia-sia bersama Pergerakan Wanita UMNO Silam yang diterajui oleh Hajjah Saleha Abdul Wahid; namun enggan mendedahkan siapakah AJK terlibat.

“Buat masa ini biarlah menjadi rahsia dahulu dan kita harap Saleha memperbaiki pentadbiran kerana ramai lagi yang akan menyertai kita meninggalkan UMNO Silam,” ujar AJK berkenaan yang turut mencela pentadbiran UMNO Silam yang disifatkannya sebagai ‘Harta Peribadi’ Ketua Bahagian, Ketua Wanita, Ketua Puteri dan Ketua Pemuda.

Sementara itu, salah seorang daripada AJK Pergerakan Pemuda UMNO Silam yang meletakkan jawatan serentak pada 28 Februari 2010, tetapi perletakan jawatan mereka ketika itu tidak dilayan kerana ada AJK yang membelot dan kembali menyokong Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Silam, Halim Ghulam Hassan; mengesahkan bahawa beliau dan enam orang AJK Pemuda yang pernah meletakkan jawatan sebelum ini nekad untuk ‘berkerat rotan dan berpatah arang’ dengan UMNO.

“Kita agak kesal kerana akibat pembelotan beberapa AJK, tujuan asal kita agar diadakan pemilihan semula kepimpinan pemuda UMNO Silam gagal. Kita malu kerana Halim gagal menunjukkan mutu kepimpinan yang baik dan kita rasa menjadi tanggung jawab kita untuk membuat teguran. Tetapi pucuk pimpinan parti menjadi dalang untuk memadam api kecewa kita dengan merasuah tiga AJK Pemuda agar berpaling tadah. Jadi adalah lebih baik kita keluar parti dan menyertai PKR dalam masa yang terdekat,” ujar AJK tersebut yang tidak lagi akan berganjak dengan keputusan nekad mereka.

Dalam pada itu, dipercayai 12 orang Ketua Cawangan UMNO Silam telah diugut oleh pihak berkuasa keselamatan yang PRO UMNO bagi menghalang niat mereka untuk menyertai PKR bersama lebih daripada 250 ahli sedikit masa lagi.

“Ya. Kami telah dipanggil secara berasingan dan diminta memikirkan semula hasrat kami menyertai PKR. Tapi kami bertegas bahawa itu adalah hak kami. Kami bukan PATI sebagaimana yang dimanjakan Ketua UMNO Bahagian Silam. Kami anak jati Silam. Tidak ada gunanya kami dalam UMNO kerana nasib kami dan ahli semakin teruk,” ujar Ketua G12 yang mengetua 12 Ketua Cawangan UMNO Silam yang telah mengisi borang dan menunggu majlis yang sesuai untuk menyerahkan borang mereka secara rasmi kepada pucuk pimpinan PKR.

Kata Ketua G12 itu, mereka tidak gentar walaupun sering didatangi SB dan diugut dengan pelbagai cara termasuk menarik balik jawatan Pengerusi JKKK, Ketua Kampung, lesen berniaga, peruntukan projek dan memberhentikan kerja mereka dengan agensi kerajaan.

“Kami tidak dimakan gertak. Kami ingin hantar mesej kepada Presiden UMNO bahawa UMNO Silam adalah ‘Haram’ kerana begitu banyak ahli hantu sehingga banyak cawangan yang tidak dapat bermesyuarat; apatah lagi masih banyak PATI yang dipelihara Ketua Bahagian,” ujar Ketua G12 yang menyifatkan perlantikan Ketua Penerangan UMNO Silam, Sharif Saidi Shariff Alawi (PATI) telah menjatuhkan maruah orang tempatan.

Senario ini, jika menjadi realiti, Nasrun akan kehilangan jawatan sebagai Ketua UMNO Silam kerana daripada 20 AJK yang dipilih secara sah, 17 daripadanya akan meletakkan jawatan serentak; tidak termasuk lantikan.

Antara punca yang dinyatakan ialah mereka hilang keyakinan kepada pucuk pimpinan UMNO Silam yang tidak berusaha untuk membantu rakyat miskin dan kecewa Ketua Perhubungan UMNO Sabah merangkap Ketua Menteri Sabah gagal mempertahankan kredibiliti kerajaan yang dipimpinnya sehingga menerima pelbagai tohmahan pembangkang; tetapi sebenarnya bukan tohmahan sebalik kebenaran yang berbukti secara nyata; terutama kemiskinan yang merantai mereka dan ahli sejak Nasrun menjadi Ketua UMNO Bahagian Silam.

No comments:

Post a Comment