Wednesday 12 January 2011

TUKAR REL KERETAPI KEPADA JALAN RAYA



Oleh: MAIL MATHEW

NAIB Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Jimmy Jawatah meminta kerajaan negeri khususnya Kementerian Infrastruktur Sabah perlu menjelaskan rasional kelewatan menyiapkan kerja-kerja menaiktaraf landasan keretapi antara Beaufort ke Tenom yang menelan belanja kira-kira RM250 juta, namun pelaksanaan kerja-kerja tersebut gagal disiapkan sehingga menjangkau hampir lima tahun yang menimbulkan pelbagai tanggapan negatif di kalangan rakyat ketika ini.

Tegasnya, disebabkan kegagalan menyiapkan projek tersebut telah mengundang berbagai masalah kepada pengguna khususnya penduduk-penduduk di kawasan Rayoh dan Pangie yang mengharapkan perkhidmatan keritapi untuk melunaskan pelbagai urusan mereka seharian ke pusat bandar.

Tegasnya, disebabkan masalah itu penduduk kampung terpaksa berjalan kaki sejauh 10 km dari Pangie ke Tenom memikul hasil pertanian seperti getah dan padi untuk dipasarkan malah para pelancong yang menjalankan aktiviti riadah di kawasan Rayoh dengan aktiviti ‘white water rafting’ turut tergendala.

“Selain kerajaan kehilangan sumber ekonomi kerana ketidak hadiran pelancong luar ke Pangie tetapi ia seakan-akan menjadi medan penyeksaan kepada penduduk kampung yang terpaksa berjalan kaki berpuluh kilometer setiap hari membayangkan bahawa mereka ini seolah-olah telah kembali semula ke zaman kolonial lagi yang sekadar mendapat kemudahan asas infrastruktur yang minima,” tegas Jimmy ketika memberitahu Sabahkini.net petang tadi.

Sehubungan itu, Jimmy menggesa agar kerajaan mencari jalan penyelesaian secepat mungkin kerana ada sesuatu yang tidak kena dan sewajarnya mengundang campurtangan SPRM.

Beliau turut mencadangkan agar SPRM diberi laluan untuk menjalankan siasatan punca kegagalan kontraktor dalam pembinaan itu dan mengapakah kontraktor itu tidak ditamatkan kontraknya sedangkan ia telah gagal menyiapkan kerja dalam tempoh masa yang cukup lama.

Dalam pada itu, beliau menekankan agar di sebalik kegagalan itu, mungkin ada baiknya laluan keretapi itu ditukarkan sebagai jalanraya bagi kenderaan kereta dari Tenom ke Beaufort. Jalanraya itu akan memberi lebih manfaat kepada penduduk di Pedalaman khususnya daerah Tenom dan Kemabong daripada laluan keretapi sebab ia akan digunakan dalam masa 24 jam dengan berbagai jenis kenderaan berbanding dengan perkhidmatan keretapi yang berjadual.

“Saya yakin kerajaan akan menanggung kerugian besar jika perkhidmatan keretapi ini siap kelak. Adakah pihak KTMB ataupun pengusaha keretapi negeri KNS sanggup menanggung beban penyelenggaraan dengan alasan ‘perkhidmatan sosial’? dan adakah pihak kerajaan bersedia untuk memberi geran perkhidmatan keretapi setiap tahun dan berapakah kosnya?” tanya Jimmy.

1 comment:

  1. Memang bagus juga cadangan begitu, memandangkan sekarang ini, kebanyakan
    rakyat sudah mempunyai kereta maka kereta api tidak diperlukan lagi. Jika digantikan dengan jaraya kereta maka sudah tentu jarak perjalanan sudah dekat.

    ReplyDelete