Sunday 20 February 2011

BN SENTIASA HARGAI MASYARAKAT CINA



TETAMU……Abdul Rahman berserta isterinya Norazlina mengabdikan album kenangan bersama para tetamu yang hadir pada majlis itu.

Oleh: ISMAIL MOHD ROSLI

SUMBANGAN masyarakat Cina kepada pembangunan, kestabilan dan kesejahteraan di daerah Kota Belud tidak pernah dinafikan dan ianya sentiasa dihargai oleh semua suku kaum lain yang ada di daerah ini.

Ahli Parlimen Malaysia (Kota Belud), Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan berkata, walaupun kaum itu merupakan kumpulan minoriti di daerah tersebut, namun mereka turut sama memberi sumbangan ke arah memajukan pelbagai bidang di daerah itu.

“Sumbangan masyarakat ini bukan hanya setakat bekerja keras membangunkan sektor ekonomi malah mereka juga telah bertanggungjawab membangunkan sektor pendidikan di daerah itu.”

Abdul Rahman berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Angpau anjuran Persatuan Tionghua Kota Belud yang telah diadakan di Dewan Chung Hwa, Kota Belud, baru-baru ini.

Menurut Abdul Rahman yang juga Setiausaha Barisan Nasional Sabah, maka atas sebab itulah pihak kerajaan tidak pernah teragak-agak untuk membantu mana-mana pihak yang memerlukan sokongan daripada pihak kerajaan.

Jelasnya lagi, Persatuan Tionghua di daerah ini turut tidak terkecuali mendapat bantuan daripada pihak kerajaan yang mahu membangunkan masyarakat Cina di Kota Belud.

“Ini terbukti apabila Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman datang ke Dewan Chung Hwa, Kota Belud tahun lalu, Ketua Menteri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM200 ribu bagi membaiki dewan dan ini adalah sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan masyarakat itu,” terangnya lagi.

Hadir sama pada majlis itu antaranya Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Japlin Akim; Timbalan Presiden PBS Negeri Sabah, Almudin Kaida dan Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Gari Hitam; Ketua Polis Daerah Kota Belud, Asp Mohan Nadasen; Kapitan Cina Daerah Kota Belud, Lim Bun Poo; isteri Ahli Parlimen Kota Belud, Datin Norazlina Awang Had serta para pemimpin setempat yang lain.

No comments:

Post a Comment