Sunday 20 February 2011

ELAKKAN PERPECAHAN KAUM MURUT!



Oleh: MAIL MATHEW

MANTAN Ahli Parlimen (Pensiangan) Datuk Taimin Lumaing (Tengah) khuatir matlamat yang diperjuangkan pemimpin suku kaum Murut sebelum ini tidak akan kesampaian, malah akan berlaku persaingan dan pertindihan objektif sesama sendiri dengan kemunculan satu lagi persatuan Murut yang baru didaftarkan sebagai ‘Borneo Murut Native Organisation‘ (BMNO) yang diasaskan Datuk Dr Bernard Maraat.

Tegasnya, namun beliau tidak bermaksud membangkang kewujudan persatuan itu kerana hasrat mereka (Bernard) ia selari dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 10(1) yang memberi hak kebebasan bersuara dan berpersatuan kepada sesiapa sahaja warganegara di negara ini.

“Kita juga ingin melihat niat penubuhan itu jika dapat menfokuskan kepada pembangunan ekonomi suku Murut benar benar terlaksana selain mewujudkan kerjasama rapat dengan persatuan yang sedia ada iaitu Persatuan Murut Sabah (PMS),” kata beliau yang juga Timbalan Presiden PMS ketika diminta mengulas kewujudan persatuan yang baru dilancarkan kelmarin oleh Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) kawasan DUN Sook, Datuk Dr Bernard Maraat.

Ketika diajukan pertanyaan berhubung beberapa pemimpin veteran yang dilantik sebagai penasihat dan Ahli Jawatankuasa persatuan itu termasuk beliau sendiri Taimin berkata;

“Setakat ini saya sukar untuk menerimanya kerana belum mendalami halatuju persatuan itu secara serius tetapi sebagai prinsip, saya tetap komited dengan PMS walaupun mungkin ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki kerana PMS sudah banyak mencapai kejayaannya dalam pemeliharaan khazanah adat istiadat dan kebudayaan Murut sepertimana yang berlaku sekian lama,” jelas Taimin.

Persatuan Borneo Murut Native Organisation yang baru terdaftar dari Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang dilancarkan pada sabtu dikatakan akan menfokuskan kepada pembangunan ekonomi dan pendidikan bagi masyarakat Murut yang masih di tahap rendah berbanding dengan masyarakat lain di negara ini.

Maraat turut dipetik sebagai berkata bahawa beliau menggesa kerajaan agar mengambil perhatian serius terhadap kebajikan masyarakat itu yang kebanyakannya menduduki kawasan pedalaman yang sebilangannya masih dibelenggu kemiskinan.

Justeru, Maraat telah memajukan beberapa cadangan kepada kerajaan yang meminta kelulusan pemilikan tanah seluas 50 ekar berhampiran Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu untuk pembinaan perkampungan budaya dan penubuhan Yayasan Murut bagi membantu generasi muda menghadapi masa depan mereka.

No comments:

Post a Comment