Wednesday 23 February 2011

HAJIJI DIMINTA SELESAIKAN ISU PBR PENIMBAWAN



Oleh: GHULABDIN ENJIH

SEORANG PENDUDUK Kampung Penimbawan, Haji Hamdan Haji Supian menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri Sulaman, Datuk Haji Hajiji Haji Noor dan Pegawai Daerah Tuaran yang baru, Madiyem Layapan yang agar segera turun padang untuk menyaksikan sendiri kemelut dihadapi penduduk apabila beberapa buah rumah baru PBR mengalami banyak kerosakan yang boleh memudaratkan penghuninya.

"Mengapa arahan Pegawai Daerah Tuaran begitu drastik kepada kami penduduk kampung di sini untuk berpindah? Apa yang dia tahu kerana dia Pegawai yang baru bertugas di Tuaran? Dia sememangnya tidak tahu beberapa keperluan asas belum lagi dilengkapkan seperti bekalan elektrik dan juga air ? Ini bererti Kerajaan memberi kami rumah bukan untuk senang, tetapi untuk mendera penduduk yang sedia susah," kata Haji Hamdan yang juga merupakan bekas kakitangan kerajaan.

Beliau selanjutnya menyatakan sokongannya di atas tindakan 33 orang penduduk Kampung Penimbawan, Tuaran yang diketuai oleh Haji Harin Haji Hassan, bekas Anggota Tentera yang merasa tidak puas hati terhadap sistem pengagehan rumah di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) di Kampung ini kerana mendakwa tidak telus dan ada unsur pilih kasih.

Haji Hamdan mencadangkan adalah menepati kehendak penduduk sekiranya pengagehan rumah PBR di Kampung Penimbawan itu dibuat semula secara telus, adil dengan melalui cabutan undi yang melibatkan semua penduduk yang terlibat.

Sehubungan itu, Haji Hamdan merasa bimbang dengan tindakan pemimpin kampung membuat laporan tidak tepat mengenai dengan keadaan rumah yang tidak lengkap dengan beberapa kemudahan asas serta mengalami kerosakan di beberapa bahagian seperti atap bocor dan tangga patah didakwa pula kononnya mendapat restu dari pemimpin ‘atasan’.

Tambah memburukkan keadaan, kata Haji Hamdan, Madiyem mengeluarkan surat arahan mendiami rumah meskipun beliau sendiri tidak pernah membuat lawatan untuk meninjau keadaan rumah baru PBR yang dikhuatiri tahap keutuhannya dan membahayakan apabila didiami penduduk.

Beliau bersetuju terhadap dakwaan beberapa penduduk Kampung Penimbawan berlaku unsur pilih kasih terhadap pengagehan rumah kepada penduduk apabila didapati seorang penduduk Ibu Tunggal yang mempunyai bilangan anak dan cucu yang ramai telah tercicir untuk mendapat memiliki rumah tersebut.

"Saya begitu hairan mengapa penduduk susah dan daif seperti ibu tunggal yang amat layak mendapat rumah itu dilupakan? Di mana sudah gerangannya konsep yang diterapkan oleh Perdana Menteri ‘Rakyat didahulukan’? Mengapa lain yang dicakap, lain pula yang dilakukan," kata Haji Hamdan dengan nada yang begitu kecewa.

Haji Hamdan dengan tegas meminta agar Hajiji campurtangan untuk menyelesaikan kekalutan dan pergeseran penduduk akibat pemilikan rumah PBR itu yang dikhuatiri boleh mengugat perpaduan penduduk yang terlibat.

Jika pergeseran tentang pengagehan rumah PBR ini tidak dapat diselesaikan, Haji Hamdan bimbang ia akan menjejaskan sokongan rakyat kampung ini terhadap pimpinan di Kampung Penimbawan termasuklah pemimpin di DUN Sulaman apabila menjelang Pilihanraya Umum yang ke 13 tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment