Tuesday 22 February 2011

JABATAN HUTAN PENCEROBOH, BUKAN KAMI!





SUARAKAN…Sebahagian penduduk di kampung Katubu menyuarakan isi hati kepada Sabini semasa Kaunter Bergerak.

Oleh: MEDIA PBS

“Kami sudah mempunyai bekalan elektrik dan jalan raya, namun kami tidak ada masa depan.” Demikianlah yang disampaikan oleh Ketua Cawangan PBS Kampung Katubu, Paris Sandah.

Beliau berkata demikian semasa ditemui oleh pasukan Kaunter Bergerak, PBS Kemabong yang diketuai oleh Ketua Bahagian PBS, Sabini Ansumor, yang juga merupakan Ahli Majlis Daerah Tenom.

Menurut Paris, usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup masyarakat khususnya di Kampung Katubu wajar dipuji. Walau bagaimanapun beliau kecewa kerana setelah kampung berkenaan didiami sejak beberapa generasi, belum ada jaminan bahawa mereka akan dibenarkan bertanah sendiri.

"Jabatan Perhutanan menganggap kami sebagai penceroboh Hutan Simpan, sedangkan nenek-moyang kami sudah tinggal di sini sebelum zaman Jepun. Ini bermakna Jabatan Hutan yang menceroboh kawasan kami dengan memasukkan kampung kami dalam Hutan Simpan. Masalah ini wujud kerana dulu ada pihak tertentu membuat keputusan di atas meja tanpa meninjau sendiri kawasan terbabit," katanya dengan kecewa.

WUJUD…Perkampungan ini telah wujud sekian lama, wajarkah mereka dinafikan sedangkan tanah mereka hanya sekangkang kera?

Terdapat kira-kira 35 buah rumah yang dihuni oleh 55 buah keluarga wujud kampung ini. Difahamkan bahawa sebahagian besar penduduk terpaksa tinggal di rumah setinggan (bangsal) Kampung Kemabong kerana menyekolahkan anak-anak.

"Saya hairan kenapa kawasan ini masih dianggap sebagai kawasan Hutan Simpan sedangkan tidak ada lagi hutan tua yang tinggal. Kawasan ini telah diusahakan sejak sekian lama untuk pertanian dan petempatan penduduk," kata Ketua Kampung Katubu, Ampat Ampasu.

Beliau turut merayu semua pihak agar bersabar selain terus menyuarakan permasalahan rakyat kepada pihak kerajaan seperti wakil rakyat, jabatan dan agensi kerajaan.

"Kalau kita senyap sunyi, mungkin ada pihak fikir masalah sudah selesai. Tetapi jika kita terus bersuara dan menyatakan apa yang kita mahu maka besar kemungkinan hasrat kita tercapai," kata Ampat lagi.

Dalam pada itu, Sabini Ansumor menggesa agar kawasan perkampungan dalam radius tertentu di sekitar kampung dikeluarkan dari Hutan Simpan dan dijadikan 'state land' bagi memudahkan penduduk membuat permohonan tanah dan mengusahakan untuk menyara hidup mereka.

"Sepengetahuan saya, sesuatu kawasan Hutan Simpan boleh dikeluarkan menerusi prosedur tertentu. Difahamkan bahawa kabinet negeri boleh mengusahakan sehingga diwartakan pengeluaran berkenaan. Sebagai contoh kawasan seluas 6,111 heakter di Hutan Simpan Sook Plain yang berjaya dikeluarkan."

LAHIR…Kundai Rimin (75 tahun) dilahirkan di kampung Kapulu sedangkan Hutan Simpan Rundum belum pun sampai 50 tahun berlatar belakang jalan raya Kapulu.

Sementara itu, mantan Ketua Kampung Kapulu, Kundai Rimin, menyarankan agar Pengarah Jabatan Hutan datang melawat sendiri perkampungan Kapulu, Rundum, Sumambu, Kolorok, Ungga Patian dan Katubu. Beliau yakin pihak Jabatan Hutan tidak mempunyai gambaran jelas akan kedudukan tuntutan penduduk.

Menurutnya, pekerja Jabatan Hutan terlalu berpegang pada dokumentasi sehingga mengabaikan kebajikan dan untung nasib kira-kira 2,500 orang penduduk yang berasal dari perkampungan berkenaan.

Mengulas kononnya penduduk akan dipindahkan ke kawasan lain, Kundai Rimin melaporkan bahawa majoriti penduduk kampung menentang. Mereka mungkin akan mempertimbangkan arahan berkenaan jika disediakan bagi setiap orang penduduk:

1. Perkampungan lengkap dengan kemudahan asas

2. Tanah bergeran berkeluasan 15 ekar seorang

3. Tanah berkenaan sudah ditanam penuh dengan getah atau kelapa sawit

4. Kawasan perkuburan nenek-moyang terpelihara.

"Kenapa kami perlu tinggalkan kampung sedangkan di sini kita sudah ada rumah, sekolah, kemudahan asas dan juga kebun (getah/kopi dan padi) untuk mencari nafkah?," tambahnya lagi.

"Saya merayu semua pihak agar mencari jalan mengeluarkan kawasan perkampungan kami dari Hutan Simpan. Kami ini bukan ada pelajaran, kami hanya tahu bertani dan dari tanah sahaja kami menyara hidup. Di mana lagi kami mahu dihalau? Kami bukan pendatang asing. Inilah tanah adat kami. Di sinilah tanah tumpah darah kami sejak nenek-moyang lagi," kata Kundai dengan linangan air mata.

Seramai 12 orang didaftarkan sebagai pemilih baru SPR di kampung ini. Turut serta dalam rombongan berkenaan ialah Anggoh Mayah (Naib 1), Senuwati Esui (Naib-Wanita), Florentius Alex (Setiausaha Bahagian/Sukarela SPR), Jorniah Leyan (Setiausaha Wanita/Sukarela SPR), Andin Ambaris (AJK Pemuda).

1 comment:

  1. Inilah akibatnya kamu mengundi BN. Diumpan dengan tong gas dapur, Wang ringgit termakan umpan ini. Bila BN berkuasa kesemua tanah Adat peningalan nenek mooing Akan dirampas kemuadian. Sedarlah sekarang sebelum terlambat. Ubahlah kerajaan sekarang.

    ReplyDelete