Monday 14 February 2011

JANGAN BUNUH GENERASI KAMI!



Oleh: KREW SABAHKINI.NET

PENDEDAHAN demi pendedahan dibuat Sabahkini.net berhubung pencemaran plumbum menarik minat pelbagai pihak terutama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), NGO dan Aktivis Masyarakat; terutama bagi memastikan Sabah benar-benar bebas daripada pencemaran plumbum. Ikuti Wawancara dengan Ahli Parlimen Malaysia (Tenom), Datuk Raime Unggi yang telah beberapa kali membawa isu ini ke Dewan Rakyat.

SABAHKINI: Assalamualaikum Datuk, sejak akhir-akhir ini rakyat Sabah mula sedar akan bahaya pencemaran alam sekitar dan memandangkan Datuk telah secara vokal membawa isu pencemaran alam sekitar beberapa kali ke Parlimen, bolehkah Datuk nyatakan kenapa isu ini begitu penting kepada Datuk?

RAIMIE: Terima kasih kepada Sabahkini.net kerana sudi menemuramah saya berhubung isu yang menjadi pantang larang selama ini, terutama berkaitan dengan Dasar Kerajaan dan sikap tidak apa yang membudaya di pihak penguatkuasa undang-undang. Sebagai menyahut seruan YAB Perdana Menteri yang telah menekankan hasrat kerajaan untuk mengembangkan teknologi hijau (green technology) untuk terus meningkatkan pembangunan Negara, di samping memelihara alam sekitar demi kesejahteraan rakyat; saya perlu menyuarakan isu penting ini demi kesejahteraan dan kesihatan rakyat Malaysia, terutama memastikan landasan yang betul untuk menghindar impak pemanasan global menular menjadi suatu fenomena yang nyata, sebagaimana perubahan cuaca yang ekstrem, yang dialami di pelbagai pelusuk dunia.

SABAHKINI: Bagaiamanakah caranya Datuk dapat memastikan isu pemanasan global dapat ditangani dengan cekap dalam keadaan ketidak seimbangan sokongan ahli politik Malaysia berhubung isu ini?

RAIME: Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk melahirkan rasa bangga saya berhubung langkah berani kerajaan untuk menekankan komitmen kita bersama-sama dengan masyarakat global dalam mengambil segala langkah yang wajar untuk mengurangkan aktiviti-aktiviti yang boleh menyumbangkan kepada pemanasan global. Sebagaimana yang kita maklum bahawa walaupun negara kita merupakan sebuah negara pengeluar minyak, namun kita tidak terkecuali daripada mencari sumber tenaga alternatif bagi memastikan penggunaan sumber tenaga di negara kita dapat dioptimumkan dan mengelak pembaziran. Dalam usaha kita mencari tenaga alternatif ini, berbagai-bagai inovasi dan pengubahsuaian telah diusahakan, dikenal pasti dan diguna pakai, namun demikian kita tidak boleh sekali-kali alpa dengan kesan sampingan yang diakibatkan oleh penggunaan sumber tenaga alternatif ini.

SABAHKINI: Apa yang Datuk maksudkan dengan kesan sampingan tenaga alternatif dan bagaimana ia membahayakan negara?

RAIME: Setiap sesuatu yang memberi sesuatu kebaikan perlu diurus, ditadbir dan dipantau supaya tidak menjadi punca yang boleh membawa kepada kemudaratan. Dengan dorongan pihak kerajaan untuk mengembangkan teknologi hijau, kita perlu mengkaji secara teliti produk-produk yang sedia ada terdapat dalam pasaran yang boleh memudaratkan alam sekitar. Saya ingin mengambil contoh bateri plumbum (lead acid battery) sebagai contoh yang nyata. Suatu sumber tenaga alternatif yang amat memudaratkan alam sekitar dan juga kesihatan orang ramai.

SABAHKINI: Boleh Datuk nyatakan bagaimana bateri asid Plumbum boleh memberikan kesan yang tidak baik kepada masyarakat?

RAIME: Pada akhir-akhir ini kita sering dikejutkan dengan kes-kes kanak-kanak mengalami keracunan yang diakibatkan oleh bateri plumbum di Nigeria dan China. Di Eropah pula, negara Jerman telah menjalankan usaha membangkitkan kesedaran untuk menghapuskan penggunaan bahan-bahan toksik logam berat seperti plumbum, antaranya berpunca daripada bateri asid plumbum. Malah negara Jerman telah mengambil langkah untuk meluluskan suatu perundangan khusus yang mengharamkan penggunaan bateri plumbum dalam sebarang aplikasi kecuali pemaju enjin (engine starter).

SABAHKINI: Boleh Datuk nyatakan senario penggunaan bateri asid plumbum di Sabah?

RAIME: Sekalipun diharamkan di negara maju, tetapi bateri asid plumbum masih digunakan secara berleluasa terutama di Sabah melalui program elektrik luar bandar seperti yang dibekalkan di hampir semua sekolah luar bandar di seluruh Sabah dan Sarawak. Begitu juga dengan lebih 10,000 Golf Kart Buggy di padang golf di seluruh Malaysia serta semua stesen utama telekomunikasi.

SABAHKINI: Boleh ceritakan sedikit kes pencemaran Plumbum di kawasan Datuk dan kesannya kepada manusia?

RAIME: Di kawasan saya, Tenom, terdapat sekolah yang dilengkapi dengan tenaga solar yang menggunakan bateri plumbum yang sudah pastinya memberi risiko gangguan kesihatan yang akhirnya boleh membantutkan pembelajaran mereka. Apa yang lebih membimbangkan sekiranya pelupusan bateri plumbum ini tidak dilakukan dengan cara yang betul, apabila tamat tempoh hayatnya bateri plumbum ini mampu mengakibatkan kemusnahan yang tidak mampu dipulihkan (irreversible damage) terhadap alam sekitar dan menjejaskan kesihatan orang ramai.

Jika bateri plumbum tersebut dibuang ke dalam sungai, ia bukan sahaja boleh membunuh hidupan dalam sungai malahan manusia yang memakan hasil daripada sungai atau meminum atau menggunakan air sungai yang dicemari oleh bateri plumbum akan turut berisiko menghadapi pelbagai penyakit yang boleh membawa maut.

Terdapat juga usaha untuk melupuskan bateri plumbum ini secara menanam ke dalam bumi. Langkah ini juga akhirnya akan mendatangkan kemudaratan kepada orang ramai apabila toksik plumbum ini merebak ke dalam lapisan air yang menjadi sumber air kepada manusia. Antara kesan-kesan yang diakibatkan oleh racun plumbum ialah serangan jantung, kegagalan buah pinggang, kerosakan saraf otak dan kecacatan bayi dalam kandungan. Tambahan lagi, bateri plumbum mengandungi asid sulfurik yang mempunyai kesan yang amat menghakis dan boleh mengakibatkan penyakit barah.

SABAHKINI: Bukankah kerajaan telah melantik pakar juruperunding berbangsa Jerman untuk menyelesaikan masalah ini?

RAIME: Saya mengetahui bahawa terdapat Juru Perunding berbangsa Jerman yang telah dilantik oleh pihak Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang memberi nasihat kepada pihak kementerian berkaitan dengan tenaga yang dapat dipulihkan (renewable energy). Persoalannya ialah kenapakah juruperunding ini tidak menasihatkan kementerian berkenaan tentang kemudaratan yang diakibatkan oleh bateri plumbum yang kini ditolak bulat-bulat oleh pengguna di negara asalnya, Jerman?

Kenapakah sekolah-sekolah di luar bandar seperti di kawasan saya yang kerajaan ingin bangunkan menjadi mangsa ketidakprihatinan kementerian berkenaan termasuklah juru perundingnya yang telah gagal atau enggan menasihatkan akibat bahaya penggunaan bateri plumbum dalam sistem tenaga solar? Bagaimana pula nasib dan masa depan anak-anak kita yang terdedah dengan kesan bateri plumbum ini? Wajarkah perkara yang mendatangkan kemudaratan kepada alam ini dibiarkan berleluasa tanpa ada tindakan yang drastik sebelum sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku?

SABAHKINI: Apakah peranan dan tindakan yang boleh Datuk lakukan untuk menjayakan misi penting ini iaitu menentang pencemaran plumbum?

RAIME: Sejajar dengan hasrat Perdana Menteri untuk mengembangkan teknologi hijau, saya menggesa kepada pihak kerajaan terutama kementerian berkenaan dapat mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dan mengkaji penggunaan bateri alternatif yang mesra alam. Konsep 1Malaysia merupakan satu mind set atau kerangka fikir yang perlu ada dalam benak akal setiap warga Negara Malaysia. Sudah semestinya asas penting konsep ini adalah perpaduan dan saling peduli antara satu sama lain.

SABAHKINI: Datuk telah membangkitkan isu ini berulang kali di parlimen dan apa jawapan kerajaan?

RAIME: Saya belum menerima sebarang jawapan berhubung beberapa pertanyaan lisan saya di Parlimen. Saya akan kemukakan lagi beberapa soalan berkaitan isu yang sama pada persidangan parlimen akan datang. Saya hanya mendapat satu makluman balas pada 2009 iaitu jawapan lisan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Unggah Embas; yang menjelaskan bahawa bateri asid plumbum terpakai adalah terkawal oleh Jabatan Alam Sekitar melalui Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling. Di bawah peraturan tersebut pembuangan bateri berkenaan perlu dilupuskan dan kemudahannya dilesenkan oleh JAS sahaja.

Kata Douglas, Bateri ini tidak membahayakan dari segi penggunaannya. Ia menjadi bahaya jika dilupuskan secara tidak teratur sehingga mencemarkan tanah dan air. Setakat ini tidak ada kes pelupusan arang bateri asid plumbum yang direkodkan oleh JAS. Sebaliknya bateri asid plumbum terpakai adalah satu bahan buangan yang bernilai dan mempunyai harga pasaran kerana terdapat enam buah syarikat bateri asid plumbum terpakai untuk di pulih guna tetapi belum ada apa-apa syarikat di Sabah.

Sehubungan itu, Douglas berkata, untuk mengatasi masalah pembuangan bateri terpakai dan e-Waste dari punca isi rumah Jabatan Alam Sekitar telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara di mana infrastruktur sedia ada di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan seperti lori pengangkut sampah dan pungutan sedia ada di bawah KPKT akan diguna untuk mengangkut untuk mengutip buangan-buangan ini sebelum dibawa ke premis yang dilesenkan oleh kerajaan untuk diguna dan dikitar semula.

Di Sabah Jabatan Alam Sekitar akan berbincang dengan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perusahaan Sabah mengenai kemudahan memungut pembuangan ini. Buat masa kini memang telah terdapat agen-agen untuk memungut bateri terpakai dan e-Waste di seluruh negara. Tetapi masalahnya sehingga kini, belum ada Pusat Pelupusan Bateri Asid Plumbum di Sabah.

SABAHKINI: Akhir sekali, apa yang Datuk ingin katakan kepada kerajaan dan rakyat?

RAIME: Kasihanilah rakyat Sabah dan Sarawak di luar bandar yang terdedah kepada bahaya pencemaran plumbum yang disumbangkan oleh projek elektrik solar hybrid. Saya harap Kerajaan menubuhkan segara Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menangani isu yang semakin parah ini. Saya harap Kerajaan tidak tunggu sehingga kes serius seperti Nigeria dan China baru mahu bertindak. Atasi segera masalah ini melalui penguatkuasa undang-undang kerana kita tidak mahu generasi akan datang menghadapi pelbagai masalah dan menjadi mangsa kekejaman para konspirator yang hanya mengaut keuntungan di atas kesengsaraan orang lain. Rakyat hanya inginkan elektrik bukannya ‘pembunuh’ generasi mereka. Salam hormat dan terima kasih.

No comments:

Post a Comment