Tuesday 8 February 2011

JANGAN SALAHKAN MDT JIKA TENOM KOTOR!



KOTOR…. Aktiviti mencuci peralatan dapur sedang dilakukan tanpa rasa bersalah dan kelihatan air bekas cucian terbiar melimpah.

Oleh: MAIL MATHEW

SELAGI sikap tidak berubah dalam apa juga bentuk kerjasama antara dua pihak iaitu pemilik premis perniagaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Tenom, maka selagi itulah sukar untuk mencapai objektif menginginkan kawasan pekan yang kelihatan bersih dan indah.

Namun ramai yang beranggapan bahawa keengganan pekedai untuk berkerjasama dengan PBT dalam kebertanggung jawapan kebersihan disifatkan antara punca berlakunya masalah tersebut menjadikan PBT sebagai mangsa cemuhan masyarakat sekeliling yang didakwa kononnya gagal menangani masalah kebersihan.

Sebagai buktinya, umum boleh menyaksikannya sendiri betapa kerakusan perilaku para pekedai yang menjadikan lorong-lorong sebagai medan aktiviti pembersihan peralatan dapur tanpa menghiraukan pengaliran air cucian yang terbiar di situ seterusnya menjadikan sakit mata memandangnya.

Bagaimana pula reaksi para pelancong asing jika melihat keadaan sedemikian rupa, yang selama ini tergoda dengan iklan-iklan mendakwa kononnya negeri Sabah dan daerah-daerah sekitarnya bersih, indah dan menawan sesuai dengan jolokan ‘Sabah Land Below The Wind’.

Dalam pada itu, pengurusan PBT telah memaparkan beberapa notis di kawasan pekan melarang pembungan sampah sewenang wenangnya termasuk lain-lain kegiatan yang mengotorkan kawasan perparitan tetapi ia tidak diambil perhatian serius.

TERBIAR Sampah sarap terbiar tidak dikutip dan bekas tumpahan minyak masak terus dibiarkan lalu menghasilkan bau busuk.

Seorang pengguna yang enggan identitinya didedahkan memberitahu bahawa apa juga larangan dan arahan PBT (Majlis Daerah Tenom) berkaitan kegiatan yang bertentangan dengan kebersihan mereka (pekedai khususnya pengusaha restoran dan kedai kopi) tidak akan mengendahkannya.

“Lihatlah sendiri kegiatan vandalisma terus berleluasa, sistem perparitan kotor dan berbau busuk dan pembentung selalu tersumbat kadang kadang sampai berminggu minggu tidak diselenggara. Akibatnya orang ramai bertempiaran menjauhkan diri kerana tidak tahan bau busuk,” tegas beliau.

Sementara itu, sumber dalaman kakitangan pengurusan Majlis Daerah Tenom ketika dihubungi berkata beberapa pertemuan dengan para peniaga kawasan pekan telah pun dilakukan untuk tujuan itu tetapi nampaknya hasrat mereka (PBT) kurang mendapat respons yang baik dari pihak terbabit menyebabkan agenda mereka menemui jalan buntu.

No comments:

Post a Comment