Sunday 20 February 2011

JENTERA PRU13 PKR TENOM SIAP SIAGA



Oleh: MEDIA PKR

CABANG PKR Tenom telah mengadakan satu taklimat khas dan membentuk jentera pilihanraya yang telah dijayakan bersama Datuk Karim Ghani, mantan Ketua Penerangan UMNO Sabah yang kini telah menyertai PKR.

Taklimat jentera pilihanraya ini telah dihadiri seramai 150 orang ‘Task Force’ PKR di 21 peti undi DUN Kemabong dan DUN Melalap dari pelbagai ranting di daerah Tenom.

Dua tokoh politik masing-masing bekas Ketua Penerangan UMNO, Datuk Karim Ghani dan Bekas Ketua Penerangan Parti BERJAYA, Halik Zaman yang kini menyandang jawatan sebagai Ketua Cabang PKR Tenom telah memberikan taklimat panjang lebar kepada jentera pilihanraya PKR Cabang Tenom.

Menurut Halik, kawasan Parlimen Tenom sudah bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapi PRU13.

Dalam taklimat jentera pilihanraya ini, Task Force Cabang Tenom telah diberikan beberapa strategi dan info pilihanraya selain melantik ketua-ketua peti undi di DUN Kemabong dan DUN Melalap daerah Tenom.

Selain daripada mendengar amanat dan strategi dari Ketua Cabang Tenom, anggota Cabang PKR Tenom juga telah mendapat beberapa strategi daripada mantan Ketua Penerangan UMNO Sabah iaitu Datuk Karim Ghani yang didatangkan khas dari Kota Kinabalu.

Dalam amanatnya, Halik mengingatkan anggota PKR Cabang Tenom untuk mempertingkatkan usaha dalam meneruskan misi penerangan kepada seluruh kampung di daerah Tenom.

Gerak kerja juga telah dibahagikan kepada beberapa unit khas demi untuk memperluaskan skop penerangan ke seluruh pelusuk daerah Tenom. Rata-rata anggota CabangTenom dilihat begitu bersemangat untuk mengubah senario politik di daerah Tenom setelah ‘diabaikan’ sebegitu lama oleh kepimpinan UMNO dan BN.

Dalam taklimat yang disampaikan oleh Datuk Karim Ghani, anggota Cabang Tenom berkesempatan untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dari Datuk Karim Ghani. Banyak info yang telah dikongsi bersama untuk dimanfaatkan semasa musim pilihanraya kelak.

Beliau juga telah memaklumkan akan memberikan sumbangan idea kepada jentera pilihanraya Cabang Tenom demi memantapkan sistem jentera pilihanraya Cabang Tenom.

Selain daripada itu, ketua-ketua peti undi yang telah dilantik di setiap kawasan peti undi telah diberikan amanah untuk bergerak bagi memantapkan kedudukan PKR di setiap kawasan peti undi.

Bila diasak soalan dari wartawan media PKR Halik menjawab, "Siapapun calon BN itu bukan masalah pokok, yang penting PKR Tenom mesti bekerja kuat untuk mencapai kemenangan mutlak."

Diajukan soalan calon PKR, Halik menjawab, " Kita berkerja untuk parti PKR, kita mahu perkasakan PKR, kita mahu merubah nasib rakyat yang tertindas oleh kuasa-kuasa kroni, perkara siapa calon tidak timbul."

No comments:

Post a Comment