Sunday 20 February 2011

KAI GUNG CHIA TUNJUK KEJANTANAN!



PEMBALAKAN Haram dilaporkan berlaku di Hutan Simpan Kuamut, kira-kira 170 kilometer daripada Tawau yang perjalanan ke sana mengambil masa selama tiga jam melalui jalan pembalakan.

Baru-baru ini, sembilan orang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah yang diketuai Kai Gung Chia (Rooster Chia) telah masuk ke tapak pembalakan tersebut untuk membuat pemeriksaan mengejut terhadap dua pangkalan kayu balak yang dimiliki oleh sebuah syarikat di Kalabakan.

Sembilan pegawai SPRM tersebut bermalam di kawasan pembalakan untuk mengumpulkan maklumat; sebagai prasyarat Standard Operation Procedure (SOP) SPRM iaitu pemeriksaan awal atau menangkap penjenayah yang terlibat dalam pembalakan haram tersebut; kerana kawasan yang terlibat terletak di dalam kawasan Hutan Simpanan, milik Yayasan Sabah.

Pihak yang menimbulkan kes ini merupakan seorang pegawai kerajaan yang telah bersara sejak 10 tahun lalu iaitu Chia Nyuk Ming. Di bawah pimpinan yang teratur, beliau telah memimpin Pegawai SPRM masuk ke kawasan pembalakan untuk mencari alibi untuk membuktikan bahawa maklumat yang dilaporkan kepada Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya adalah benar.

Chia turut memaklumkan bahawa semua gambar dan rakaman yang telah diambil akan dihantar kepada RTM dalam masa yang terdekat.

Setelah Chia menerima maklumat daripada seorang kawan, beliau telah memandu menuju Kalabakan untuk membuat pemeriksaan baru-baru ini mengesahkan maklumat yang diterima adalah benar.

Malah tiga hari kemudian, beliau telah menuju ke Kuala Lumpur atas perbelanjaan sendiri untuk berjumpa dengan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Bin Mohamed tetapi dimaklumkan beliau sedang bermesyuarat.

Oleh itu, laporan Chia telah direkod oleh dua orang pegawai yang lain. Chia dimaklumkan bahawa Pihak SPRM Sabah akan membuat tindakan susulan secepat mungkin.

Pada suatu pagi, Chia menerima panggilan telefon daripada seorang Pegawai SPRM Daerah Tawau, Taufik, untuk bertemu dengan sembilan orang Pegawai SPRM dari seluruh negeri Sabah termasuk Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu.

Selepas beberapa kali perjumpaan, mereka menetapkan akan bertolak ke Kalabakan pada suatu pagi yang telah dipersetujui. Demi keselamatan Pegawai SPRM, Chia telah membawa 25 orang pekerja ikut serta dalam rombongan tersebut.

Chia yang mempunyai 24 tahun pengalaman dalam sektor pembalakan menyatakan bahawa beliau dengan mudah dapat membezakan pembalakan yang sah atau yang haram.

Maklumat laporan Chia kepada Pihak SPRM, walaupun Syarikat tersebut memiliki lesen pembalakan yang sah tetapi disebabkan kawasan pembalakan tersebut adalah jauh di dalam hutan, syarikat tersebut telah menjalankan pembalakan secara haram di Hutan Simpanan milik Kerajaan Negeri Sabah, melebihi 10,000 hektar dan tidak mengikut peraturan pembalakan yang ditetapkan oleh Kerajaan (termasuk membalak melebihi ukur lilit 60 cm, 30 meter daripada tebing sungai dan sebagainya).

Selain itu, beliau juga memaklumkan kepada SPRM bahawa Syarikat tersebut mempunyai lesen pembalakan tetapi tidak memiliki lesen pembalakan yang penting iaitu Lesen CHP, membalak pokok-pokok di kawasan tinggi.

Mereka juga menggunakan ‘code log’ yang sama pada hasil pembalakan untuk terlepas daripada cukai. Pembalakan haram ini bukan sahaja memusnahkan kawasan hutan simpan malah menyebabkan kerajaan mengalami kerugiaan hasil cukai sehingga berpuluh-puluh juta ringgit.

Bagaimanapun, tuduhan tersebut memerlukan siasatan teliti daripada Pihak SPRM untuk membuktikannya.

Chia menyamar sebagai pemandu SPRM, telah pergi ke pangkalan syarikat tersebut di Kalabakan dan Tanlangut pada jam 3 petang. Menurut laporan Chia kepada wartawan, pemandu lori syarikat tersebut yang sedang memunggah balak ke atas kapal tidak dapat mengemukakan dokumen pembalakan kepada Pegawai SPRM semasa pemeriksaan mengejut itu. Justeru itu, aktiviti pemunggahan balak haram harus dihentikan.

Menurut Chia, rasuah mengakibatkan negeri Sabah yang kaya menjadi negeri yang paling miskin di Malaysia. Beliau sangat sudi bekerjasama dengan Pihak SPRM untuk mencabar kes rasuah antara syarikat dengan pegawai kerajaan.

Beliau bertekad akan terus menyokong pencegahan rasuah memandangkan beliau mempunyai bukti pembalakan haram beberapa syarikat yang lain yang akan dihantar kepada Pihak SPRM pada masa yang sesuai.

Kes ini cuma merupakan permulaan salah satu daripada kes pembalakan haram, Chia akan menulis surat rasmi kepada Pengarah Perhutanan Sabah, Datuk Sam Mannan. Beliau berharap pihak tersebut akan mengurus dan menyiasat kes tersebut. Surat rasmi tersebut akan disalinkan kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim bin Mohamed, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail.

Selain itu, dalam pemeriksaan mengejut tersebut, wartawan telah cuba mendapatkan maklumat daripada Pegawai SPRM untuk mengetahui sama ada Pihak SPRM telah mempunyai bukti jenayah syarikat tersebut. Menurut Pihak SPRM, jika tuduhan tersebut adalah benar, mereka akan memandang perkara tersebut secara serius dan akan mengambil tindakan dengan segera.

No comments:

Post a Comment