Sunday 6 February 2011

KERACUNAN PLUMBUM SANDIWARA DI PARLIMEN?



Oleh: MUTALIB M.D

ISU Keracunan Plumbum di Sabah bukan lagi menjadi rahsia sejak 1996 apabila Pusat Racun Negara dengan kerjasama Yayasan Sabah telah mengadakan kajian menyeluruh untuk mengenalpasti tahap keracunan plumbum di kalangan kanak-kanak tadika di Pantai Barat Sabah.

Sejak itu beberapa siri keracunan plumbum telah dilaporkan berlaku di seluruh dunia dan ledakan pertama dilaporkan berlaku di daerah tengah Hainan, China apabila 1,000 kanak-kanak di daerah berkenaan terkena keracunan plumbum pada 13 Oktober 2009.

Pada tahun lalu, di Zamfara, utara Nigeria dilaporkan 163 orang terbunuh termasuk 111 kanak-kanak dalam tempoh lima bulan sejak Januari, di lima buah kampung. Penemuan pertama wabak tersebut pada 4 Jun 2010 di Anka, Bungudu dan kini di Gusau. Kebanyakan kanak-kanak yang mati itu di bawah umur lima tahun.

Namun di Malaysia, isu keracunan Plumbum ibarat ‘Sandiwara’ di Parlimen kerana keluhan dan rungutan wakil rakyat terutama Ahli Parlimen Malaysia (Tenom) dianggap sebagai ‘Pintomin Bisu’ yang tidak perlu dijawab oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sehingga meletakkan rakyat Sabah di ambang maut.

Berikut merupakan ucapan Datuk Raimie Unggi di Dewan Rakyat pada Parlimen Kedua Belas, Penggal Ketiga dalam Mesyuarat Pertama Bil. 8 pada Khamis 25 Mac 2010 pada jam 7.31 malam yang dipaparkan semula untuk renungan rakyat Sabah sebagai langkah berjaga-jaga dan bersama-sama Sabahkini.net memerangi penjenayah alam sekitar yang melambakkan plumbum di Sabah.

Datuk Raime Unggi [Tenom]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih kerana memberi saya ruang pada petang ini untuk membahaskan Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 15 Mac yang lalu. Saya ingin menekankan beberapa perkara yang mana boleh membawa kepada kesejahteraan rakyat dan juga keperluan rakyat pada masa ini dan juga pada masa hadapan.

Tuan Yang di-Pertua, dalam titah Tuanku ada menyentuh soal teknologi hijau serta pembangunan sektor tenaga bagi memastikan bekalan tenaga yang terjamin, kos efektif dan mesra alam. Walaupun hampir kesemua kita mengakui dan berkata bahawa kita mengambil berat tentang alam sekitar, hakikat sebenarnya ialah kita tidak pernah mengetahui atau menyedari betapa besar gangguan, berapa banyak pencemaran yang telah kita buat dan ini termasuklah di pihak kerajaan kita sendiri.

Sebagai contoh Tuan Yang di-Pertua, cuba kita lihat tindakan yang telah diambil oleh pihak kerajaan untuk menyelesaikan isu pembekalan tenaga elektrik untuk penduduk-penduduk yang tinggal di luar di kawasan pedalaman dan terpencil yang menggunakan sistem hibrid solar di negeri Sabah dan juga ini termasuklah di kawasan saya di daerah Tenom.

Kementerian Pelajaran dan juga Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah membangunkan sistem solar hibrid yang menggunakan bateri plumbum atau dengan izin lead acid battery sebagai asas untuk penyimpanan tenaga elektrik.

Bateri plumbum ini bukan sahaja memberi kesan yang berbahaya, toksik yang tidak boleh diubati tetapi ia juga mampu bertahan untuk digunakan dalam jangka hayat yang pendek iaitu kira-kira setahun sahaja bergantung kepada cara penggunaan dan juga penyelenggaraannya. Oleh yang demikian, ia sentiasa perlu ditukar saban tahun apabila tempoh hayatnya tamat. Tuan Yang di-Pertua, kita di Sabah sudah sedia maklum bahawa tidak terdapat sebarang kilang atau kemudahan untuk mengitarkan semula bateri plumbum yang telah dibina di negeri Sabah.

Oleh yang demikian sukar bagi kami untuk mengetahui bagaimanakah bateri plumbum yang terpakai di Sabah ini dikendali? Ke manakah perginya bateri plumbum yang telah terpakai ini dan bagaimanakah ia dibuang? Di manakah ia dibuang? Adakah rakyat negeri Sabah selamat daripada bahaya toksik yang mungkin timbul oleh bateri plumbum terpakai yang tidak dilupuskan dengan cara yang betul dan ini adalah merupakan antara seribu satu soalan yang sentiasa bermain di fikiran saya, Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Yang di-Pertua, Kesatuan Eropah telah mengambil langkah untuk mengawal dan mengharamkan dengan izin regulate and band penggunaan bateri plumbum untuk menghasilkan elektrik atau digunakan dalam peralatan elektrik menerusi perintah dengan izin Restriction on Hazardous Substances (RoHS) Directive malahan hampir keseluruhan negara di dunia telah mengambil langkah yang sama untuk mengawal atau mengharamkan penggunaan bateri plumbum.

Saya amat hairan kenapa bateri plumbum telah dibawa masuk ke negeri Sabah dan kini negeri Sarawak dalam kuantiti yang begitu banyak yang begitu besar di bawah alasan untuk membangunkan pembekalan tenaga elektrik sistem hibrid solar apatah lagi kerajaan kini sedang hebat membuat transformasi dalam sistem penyampaiannya kepada rakyat.

Keputusan untuk memberikan kemudahan kepada rakyat jelata khususnya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan sukar dihubungi tidak wajar dibuat tanpa mengambil kira keselamatan, kesihatan dan juga kesejahteraan mereka. Ini adalah lebih-lebih lagi apabila kerajaan telah melancarkan Dasar Teknologi Hijau Negara ataupun National Green Technology Policy dengan izin.

Didefinisikan dengan izin Tuan Yang di-Pertua iaitu teknologi hijau merujuk pembangunan dan juga implikasi produk peralatan serta sistem untuk memulihara alam sekitar dan sumber semula jadi dan meminimumkan ataupun mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia.

Teknologi hijau juga merujuk kepada produk, peralatan dan juga sistem yang memenuhi kriteria-kriteria berikut:-

(i) ia meminimumkan degradasi kualiti persekitaran;

(ii) ia mempunyai Pembebasan Gas Hijau (GHG) yang rendah atau sifar;

(iii) ia selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran yang sihat dan lebih baik untuk semua hidupan;

(iv) menjimatkan tenaga dan sumber asli; dan juga

(v) menggalakkan sumber-sumber yang boleh diperbaharui.


Tuan Yang di-Pertua, bateri plumbum merupakan satu bahan dengan izin heavy metal toxic yang mana ia akan mengakibatkan keracunan dan juga kerosakan yang tidak boleh diubah semula. Oleh yang demikian adalah sukar untuk memahami mengapa ia masih dibiarkan digunakan secara meluas dalam kuantiti yang besar secara terang-terangan bertentangan dengan dasar teknologi hijau negara kita.

Saya mengesyorkan kepada pihak kerajaan Tuan Yang di-Pertua, agar mengambil langkah-langkah yang lebih serius untuk mengawal penggunaan bateri plumbum secara berleluasa dan mampu memudaratkan orang ramai dan menjejaskan kualiti juga alam sekitar kita. Menurut satu laporan dalam majalah Newsweek Magazine yang mana bertarikh pada 17.2.1992 di bawah tajuk Special Feature Article – Review Of Lead Toxicity Part 1 oleh Razak Hj. Lajis.

Kajian yang mana telah dijalankan pada tahun 1992, yang mana ia melaporkan bahawa 6.9% kanak-kanak yang belum bersekolah di bawah umur enam tahun di negeri Sabah telah mengalami keracunan plumbum yang mana telah melebihi paras berbahaya di daerah-daerah seperti di Ranau, Kota Belud dan juga Tuaran.

Kajian tersebut mengatakan bahawa kanak-kanak di daerah tersebut telah terdedah kepada keracunan plumbum berbanding dengan kanak-kanak di daerah lain di negeri Sabah. Ini adalah bukti bahawa pendedahan kepada keracunan plumbum secara berterusan akan membawa kesan yang amat negatif khususnya kepada anak-anak kita,

Tuan Yang di-Pertua. Dari sudut kesihatan pula, bateri plumbum telah dibuktikan sebagai penyebab pelbagai penyakit kronik khususnya ke atas kanak-kanak yang terdedah kepada bateri plumbum yang dilupuskan. Jika ia dilupuskan di tempat terbuka, sesiapa sahaja boleh terdedah kepada racun plumbum yang boleh dilepaskan ke udara.

Jika ia ditanam, asid sulfit yang menghakis dan racun plumbum boleh meresap ke dalam lapisan bumi dan menembusi lapisan bekalan air bawah tanah dan seterusnya akan meracuni bekalan air bawah tanah. Jika ia dibakar di dalam incinerator, racun plumbum akan meresap ke udara dan akan mencemarkan udara.

Tuan Yang di-Pertua, seperti di Shanghai juga di negara China seramai 121 orang kanak-kanak di bawah umur 14 tahun dilaporkan telah meninggal dunia akibat keracunan plumbum di mana didapati darah mereka mengandungi kandungan plumbum yang tinggi iaitu pada 26 September 2009. Pelbagai kejadian penyakit-penyakit kronik dan yang mengakibatkan maut telah dilaporkan di beberapa bahagian yang berbeza di negara China.

Satu lagi ialah pelbagai laporan insiden dan juga ditemui penyakit kronik dan juga kematian yang diakibatkan oleh keracunan plumbum juga dilaporkan berlaku di El Salvador, negara Nigeria dan juga negara Jerman. Sebagaimana yang saya sebutkan tadi, Kesatuan Eropah telah mengeluarkan arahan yang dikenali sebagai RoHS Directive yang melarang penggunaan enam jenis bahan beracun di dalam perkakasan elektrik dan juga elektronik yang antaranya termasuklah plumbum.

Sekiranya mana-mana perkakasan atau peralatan menggunakan mana-mana bahan yang beracun yang dinyatakan dalam arahan tersebut, ia tidak boleh dijual di mana-mana tempat di dalam Kesatuan Eropah.

Apa yang menghairankan ialah mengapa negara-negara Eropah ini pula mengeksport dalam kuantiti yang sangat besar bateri plumbum dan pelbagai barangan lain, yang mempunyai bahan bertoksik seperti dalam perintah dengan izin, RoHS Directive kepada negara-negara dunia yang ketiga khususnya negara kita? Seolah-olah negara kita merupakan tempat untuk mereka melambakkan barangan yang bertoksik ini.

Tuan Yang di-Pertua, bagi negeri Sabah salah satu pendapatan pentingnya ialah industri pelancongan yang mana telah menjana hampir RM3 bilion setahun ke atas pendapatan negeri Sabah. Alam sekitar adalah komponen kritikal industri pelancongan khususnya dalam bidang eko pelancongan ataupun ekologi pelancongan. Negeri Sabah kini dalam proses untuk mengembangkan lagi industri pelancongan ini untuk meningkatkan hasil pendapatan negeri.

Kami berharap usaha murni Kerajaan Negeri Sabah tidak akan terjejas menerusi kerosakan ke atas alam sekitar yang boleh diakibatkan oleh keracunan plumbum melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Kerajaan Pusat yang membawa masuk ke dalam negeri Sabah bateri plumbum dalam kuantiti yang begitu besar dan berpotensi memudaratkan.

Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin mendapat penjelasan daripada pihak Yang Berhormat Menteri yang berkenaan tentang langkah-langkah yang telah diambil untuk menangani pelupusan bateri plumbum di negeri Sabah, khususnya bateri plumbum yang digunakan menerusi projek-projek yang dibangunkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan juga Kementerian Pelajaran.

No comments:

Post a Comment