Wednesday 9 February 2011

KLINIK TRONGLIT TIADA BEKALAN ELEKTRIK


ROSAK... Arbi (kiri) dan Ketua kampung Tronglit sedang memeriksa generator yang rosak di Klinik Kesihatan.

Oleh: MUTALIB M.D

PENDUDUK Kampung Tronglit, Pulau Timbang kecewa kerana terpaksa bersesak dalam keadaan kepanasan disebabkan Klinik Kesihatan mereka yang dibina bersebelahan Dewan Serbaguna dan Balai Raya Kampung Tronglit tidak mempunyai bekalan elektrik.

Pengerusi JKKK Kampung Tronglit, Arbi Alim ketika menghubungi Sabahkini.net mengesahkan sehingga kini klinik berkenaan hanya mempunyai bekalan elektrik tidak menentu hanya pada waktu malam melalui generator yang lebih banyak rosak daripada berfungsi.

“Kalau boleh, kita merayulah kepada Kementerian Kesihatan agar dapat mengatasi masalah ini kerana kanak-kanak rimas dan banyak peralatan tidak dapat digunakan disebabkan tidak mempunyai bekalan elektrik,” ujar Arbi yang mencadangkan agar Klinik Kesihatan berkenaan menggunakan bekalan elektrik solar mesra alam sebagaimana yang digunakan di Balairaya dan Dewan Serbaguna.


RIMAS.... Pesakit yang mendapat rawatan agak rimas kerana panas dan gelap.

Kata Arbi, bekalan elektrik solar yang dipasang berdekatan balairaya hanya cukup untuk kegunaan masjid dan balairaya, manakala Dewan Serbaguna dan Lampu di jambatan menggunakan tenaga solar berasingan; namun tidak mampu menampung kegunaan klinik.

“Jadi kita minta agar kerajaan membina elektrik solar sama dengan yang kami gunakan di balairaya, masjid dan jambatan dan bukannya seperti yang digunakan di sekolah Pulau Timbang,” rayu Arbi yang agak kesal kerana generator yang dibekalkan di klinik sering kehabisan minyak dan malar mengalami kerosakan serius.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Rashid Shirlin ketika ditemui dalam satu majlis rasmi di Sandakan baru-baru ini memberi jaminan akan menyiasat aduan berkenaan dan dalam masa yang sama mengarahkan Jabatan Kesihatan Sandakan menaiktaraf bekalan elektrik di klinik berkenaan.

“Kita akan siasat segera dan atasi masalah tersebut,” ujar Rosnah tetapi disampuk Adun Sekong, Datuk Haji Samsuddin Yahya bahawa pihaknya membantah penggunaan generator sebaliknya mencadangkan penggunakan elektrik solar sebagaimana yang digunakan di jambatan, balairaya, dewan serbaguna dan masjid.

No comments:

Post a Comment