Wednesday 16 February 2011

KONSEP PAYUNG ATAU KONSEP BOHONG?



Saudara Pengarang,

SETELAH terbaca berita mengenai pasangan kekasih yang dirompak oleh tiga lelaki bertopeng di Bandar Grandview pada Hari Valentine, iaitu dua hari lalu, berita berkaitan Couple Robbed Of Handbag In Sandakan, saya ingin memberikan gambaran yang lebih jelas apa yang sebenarnya berlaku.

Setahu saya, sebelum pasangan kekasih ini dirompak, dua orang lagi rakan saya yang hampir-hampir menjadi mangsa kerana difahamkan pada hari yang sama juga, kira-kira jam sembilan malam, semasa mereka mahu melalui hadapan Kedai Celcom Bandar Grandview, mereka mendapati ada tiga orang lelaki yang duduk di kaki lima dalam keadaan meragukan dan mencurigakan.

Tiba-tiba sahaja tiga orang lelaki itu meluru ke arah mereka. Mujur kereta mereka terletak berhampiran, jadi sempat untuk mereka memasuki kereta, namun salah seorang daripada perompak tersebut cuba untuk membuka pintu kereta mereka dengan cuba memecahkan cermin dengan kepala tali pinggangnya.

Dalam keadaan terkejut dan hampir trauma, dua rakan saya yang hampir menjadi mangsa tersebut dengan pantas memecut laju kereta mereka dari tempat kejadian menuju ke Balai Polis yang berhampiran untuk meminta tolong, tetapi apabila sampai di Balai Polis tersebut, mereka diberitahu oleh seorang polis wanita bahawa mereka perlu ke Balai Polis yang terletak di Pusat Bandar untuk membuat laporan polis.

Pada masa itu, rakan saya menelefon 999 untuk meminta polis peronda untuk pergi ke tempat kejadian kerana yakin perompak tersebut masih berada di tempat kejadian atau berhampiran, namun tiada tindakan diambil. Difahamkan kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam dan hanya pukul 10 malam barulah kereta peronda polis baru tiba di tempat kejadian. Apakah kereta peronda ini datang dari Beluran?

Semasa di Balai Polis pusat Bandar, mereka terpaksa menunggu hampir satu jam sebelum laporan mereka dilayan. Ketika mereka hendak meninggalkan balai polis, lebih kurang jam 11 malam, datanglah sepasang kekasih yang dinyatakan dalam surat khabar yang dirompak setelah menjamu selera di X.O Restaurant.

Jika pihak polis dapat mengambil inisiatif dan bertindak segera setelah dimaklumkan kepada polis, saya percaya pasangan kekasih tersebut mungkin tidak akan dirompak.

Selain itu, sebagai pembayar cukai yang membayar gaji polis, saya turut kesal kerana dengan sikap sambil lewa polis kerana difahamkan tiga orang perompak tersebut, yang diyakini PATI, sebelum ini telah cuba merompak seorang perempuan dekat dengan Restoran Heng Loong di Pasaraya, Batu 4 semasa Perayaan tahun Baru Cina dengan modus operasi yang sama; iatu menggunakan kepala talipinggang untuk memecahkan cermin kereta, namun gagal kerana perempuan tersebut sempat membunyikan hon dan menarik perhatian orang ramai dan menakutkan perompak tersebut sehingga mereka melarikan diri.

Apakah pihak polis Sandakan begitu sukar menangkap tiga orang perompak @ PATI tersebut yang hanya bersenjata kepala talipinggang? Sudah 12 hari perayaan Tahun Baru Cina berlalu, tetapi perompak berkenaan belum dapat dikesan?

Apakah Polis Sandakan menunggu sehingga ada yang mati atau menjadi mangsa keganasan perompak berkenaan baru mahu bertindak?

Kepada Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, janganlah jadi ahli politik yang berputar lidah dan mula berbohong dengan memberi janji palsu kepada orang awam melalui kenyataan beliau dalam The Borneo Post yang menyatakan dalam berita Borneo Post bertajuk Konsep ‘Payung’ Untuk Tingkat Kehadiran Polis Di Tempat Awam.

Namun sehingga ke hari ini kami tidak nampak pun Konsep tersebut diamalkan di Bandar Grandview ataupun di Pusat Bandar ataupun di Sandakan, sebaliknya hanya ‘Konsep Bohong’ yang berleluasa!

Sekian, terima kasih,

WARGA SANDAKAN YANG KETAKUTAN

No comments:

Post a Comment