Sunday 13 February 2011

KPM HARUS KEMBALIKAN TANAH KEPADA RAKYAT



TINJAU…….Hasan (tiga dari kiri), Abdul Rahman (dua dari kiri), Japlin (kiri sekali) dan Abdul Gari (kanan sekali) ketika meninjau jalanraya Lasau Podi.

Oleh: ISMAIL MOHD ROSLI

KEMENTERIAN Pertahanan Malaysia (KPM) diminta mengembalikan sebahagian daripada tanah di sepanjang jalan ke Kampung Lasau Podi samada kepada kerajaan negeri ataupun kepada pentadbir di Kampung Lasau Podi, ini bagi memberi keselesaan sepanjang masa kepada para pengguna terutamanya ketika latihan ketenteraan diadakan di kawasan itu.

Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan berkata pihak KPM perlu mempertimbangkan permohonan itu, ini kerana setiapkali latihan ketenteraan dibuat di kawasan itu, ia menyukarkan para pengguna terutamanya penduduk kampung kerana jalanraya itu ditutup.

“Kita memohon kepada KPM agar dapat mengembalikan sebahagian tanah di sepanjang jalan ke kampung itu samada kepada Kerajaan Negeri atau pihak pentadbir di kampung ,tersebut bagi mengelak jika diadakan latihan ketenteraan jalanraya ini ditutup hingga menyebabkan para pengguna berhadapan dengan masalah.”

TURAP…Jalanraya Lasau Podi telah dinaiktaraf untuk keselesaan penduduk kampung.

Abdul Rahman berkata demikian kepada media ketika mengiring Timbalan Menteri di Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Malaysia, Datuk Hasan Malek semasa sesi lawatan naiktaraf jalanraya Lasau Podi dekat sini, pagi kelmarin.

Abdul Rahman yang juga Setiausaha Barisan Nasional Sabah berkata, agak membazir kerajaan membelanjakan wang yang banyak untuk membina kemudahan yang selesa untuk rakyat tetapi akhirnya jalanraya ini dapat digunakan dengan sepenuhnya disebabkan masalah tersebut.

Menurutnya lagi, sekiranya kawasan tersebut diberikan kepada Kerajaan Negeri ataupun kepada pentadbir di kampung itu, diyakini kawasan tersebut boleh dimajukan sebagai salah satu pusat pelancongan yang terkenal di negara ini.

Menyentuh tentang projek naiktaraf jalanraya Lasau Podi itu, Abdul Rahman mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan di atas pembangunan yang telah di bawah ke kawasan itu.

Katanya, projek bernilai 25.5 juta itu bukti jelas bahawa kerajaan yang ada sekarang tidak pernah meminggirkan penduduk di kawasan luar bandar.

Hadir sama pada sesi lawatan itu antaranya Wakil Rakyat DUN Kadamaian, Datuk Herbert Timbun Lagadan; Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Japlin Akim; Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Gari Itam; Jurutera JKR Daerah Kota Belud, Norbidin Ulak serta para pemimpin setempat yang lain.

No comments:

Post a Comment