Monday 14 February 2011

LDP TENOM BERJAYA SATUKAN BANGSA



Oleh: MAIL MATHEW

TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk V.K.Liew menyifatkan Majlis Muhibbah sempena perayaan Tahun Baru Cina (TBC) tahun 2011 anjuran Liberal Democratic Party (LDP) di sini benar-benar mencapai matlamatnya untuk menyemai dan memupuk perasaan muhibbah dan setiakawan dalam kepelbagaian kaum yang ada di negeri ini.

Katanya, beliau kagum melihat Majlis TBC anjuran LDP di sini kini kali ke-3 dengan jelasnya memperlihatkan bahawa orang ramai yang berpusu-pusu datang menyaksikan perayaan TBC selain dari masyarakat Cina, malah ia turut disertai masyarakat lain khususnya KDM dan Bumiputera Islam.

“Trend sebegini telah menunjukkan petanda positif penerimaan masyarakat majmuk di negara ini dasar konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak,” kata beliau di hadapan kira kira 1,000 orang ketika merasmikan majlis Muhibbah TBC di Dewan Seri Antanom, Tenom, kelmarin.

Majlis tersebut turut dihadiri, Ahli Parlimen Tenom Datuk Raimie Unggi, Adun Kemabong Datuk Rubin Balang, Timbalan Presiden LDP Datuk Chin Su Phin, Pembantu Menteri Pang Nyuk Min, Setiausaha Agung LDP Datuk Teo Chee Kang, Pegawai Daerah Siriman Basir, KPD Tenom DSP Mazlan Haji Lazim dan para pemimpin masyarakat tempatan.

Datuk Liew yang juga Presiden LDP seterusnya menegaskan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) selain daripada terus memesatkan pembangunan di seluruh pelusuk kawasan, namun usaha untuk mengukuhkan perpaduan rakyat yang berbilang kaum, agama dan kepercayaan mengikut etnik kesukuan masing-masing tetap diteruskan.

“Kita juga menghormati perayaan perayaan lain seperti Hari Raya, perayaan Krismas bagi umat Kristian, Pesta Kaamatan dan Deepavali dengan penuh muhibbah dengan amalan kunjung mengunjung ke rumah-rumah yang merayakannya,” tegas Liew.

Tegas Liew lagi, bukan mudah untuk menyatupadukan sesebuah negara majmuk seperti di negara ini namun keseriusan pemimpin pemimpin BN melaksanakan komitmen yang agak berat untuk menjadikan negara ini terus aman dan harmoni.

Beliau menambah, adalah kerana kekukuhan perpaduan yang tidak mudah dirobek lebih lebih lagi penerapan jatidiri yang begitu kental berpaksikan kepada pegangan hidup saling hormat menghormati antara satu dengan yang lain menjadikan rakyat terus menikmati penghidupan yang sihat serta penuh keharmonian.

No comments:

Post a Comment