Sunday 20 February 2011

LDP TENOM SOKONG LANGKAH JKNS



Oleh: MAIL MATHEW

LANGKAH yang diambil Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) menaikkan tambang penumpang keretapi antara Tenom ke Beaufort dan Tanjung Aru mendapat sokongan pemimpin politik terutamanya Liberal Democratic Party (LDP) Tenom yang menyifatkannya sebagai wajar dan sejajar dengan kos operasi perkhidmatan itu yang semakin tinggi dan membebankan jabatan tersebut.

Ketua Bahagiannya, Kapitan Ng Tet Hau menyatakan demikian ketika mengulas kenyataan Pengurus Besar JKNS, Mohd Zain Mohd Said baru baru ini berhubung cadangan kenaikkan itu.

Ng seterusnya menekankan bahawa kenaikan tambang mungkin bukan persoalan penting bagi penumpang/pengguna tetapi yang lebih penting ialah keselesaan penumpang termasuk mengurangkan berlaku kerosakan jentera lokomotif yang sering menggendalakan jadual perkhidmatan seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Tegasnya lagi, beliau optimis dengan kenaikan tambang itu pihak JKNS akan dapat mengurangkan beban kos operasi yang ditanggungnya lebih 40 tahun lalu sedangkan perkhidmatan keretapi sudah beralih kepada era kemodenan dengan menggunakan jentera lokomotif.

“Kalau di zaman 1970-an kita masih menggunakan keretapi wap dan menggunakan arang batu, tetapi selepas 1980-an kita beralih kepada jentera lokomotif yang menggunakan minyak diesel sebagai tenaga pembakaran. Sudah tentulah kosnya meningkat tinggi dan tidak sesuai lagi tambang murah yang diwujudkan sejak Kolonial lagi,” tegas Kapitan Ng.

Tidak dapat dinafikan, kata Ng, bahawa selepas sahaja ia beralih kepada jenis lokomotif, maka perkhidmatannya pun dinaik taraf kepada dua kali sehari berbanding ketika dulu (penggunaan wap) sekali sahaja dalam sehari.

Dalam pada itu, Kapitan Ng yang juga Ahli Majlis Tertinggi LDP Pusat menegaskan bahawa sudah tiba masanya kerajaan khususnya JKNS mengkaji sistem perkhidmatan itu supaya beralih kepada suatu perkhidmatan komersial dan tidak lagi berstatus perkhidmatan sosial spertimana berlaku sekarang yang banyak bergantung kepada geran tahunan kerajaan.

“Kerajaan perlu memperbaiki perkhidmatan ini dengan lebih sistematik yang lebih menfokuskan kepada keperluan perkhidmatan pelancung asing terutamanya dilokasi pusat riadah white water rafting di Pangi-Rayoh, kerana ada keperluan kekerapan perkhidmatan khas untuk pelancong perlu ditambah,” tegas beliau lagi sambil menyatakan bahawa sektor pelancongan merupakan salah satu sandaran bagi melonjakkan ekonomi di pedalaman.

Laporan baru-baru ini memetik bahawa Pengurus Besar JKNS Mohd Zain Mohd Said dalam sidang akhbarnya berkata cadangan untuk menaikkan tambang keretapi antara Tanjung ke Beaufort dan seterusnya ke Tenom telahpun dikemukakan kepada Setiausaha Tetap Kementerian Infratruktur Sabah untuk kelulusan.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan bahawa kenaikan itu tidak akan membebankan pengguna kerana beliau mahu terus mempertahankan kemudahan tambang murah berbanding dengan perkhidmatan pengangkutan awam lain yang ada di negeri ini.

No comments:

Post a Comment