Tuesday 15 February 2011

MASIDI TEGUR AIRASIA KERANA ENGGAN PINDAH



AIRASIA diminta menimbangkan kepentingan negara dan tidak keuntungan semata-mata semasa menimbangkan keputusan pemindahan operasinya ke Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun turut berharap Kementerian Pengangkutan dan syarikat penerbangan itu akan dapat berunding dan menyelesaikannya dengan baik.

"Airasia mempunyai alasan yang baik tetapi saya berharap mereka juga perlu melihat rasional perkara yang ditimbulkan oleh kerajaan, iaitu jika isunya melibatkan kos, saya pasti kerajaan akan membincangkannya dengan senang hati," kata Masidi.

"Akhirnya, saya memahami AirAsia yang merupakan satu syarikat penerbangan berkos rendah mahu menjadi efisien dan mengurangkan kos. Tetapi kita perlu melihat kepentingan negara daripada keuntungan semata-mata," katanya semasa ditemui di Pameran Pendidikan Kanada hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Datuk Seri Tony Fernandes pada minggu lepas bahawa syarikat penerbangan itu teragak-agak untuk berpindah dari tempat ia beroperasi sekarang ini di Terminal 2 ke Terminal 1 KKIA yang baharu sahaja diperbesarkan kerana kosnya akan meningkat dan sekaligus memaksanya mengurangkan penerbangan dan menyebabkan Sabah kehilangan kira-kira sejuta pelancong.

Terminal kos rendah itu akan diubah menjadi kawasan pengendalian kargo.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri telah menjawab sambil menyatakan bahawa kementeriannya terkejut dengan pendirian Fernandes mengenai perkara itu kerana AirAsia telah menandatangani satu surat penerimaan dengan kementerian itu berkaitan pemindahan ke Teminal 1, dan lapangan terbang baru yang bernilai RM1.6 blion itu dibina bagi menampung keperluan pertumbuhan syarikat-syarikat penerbangan. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment