Tuesday 8 February 2011

NELAYAN BIMBANG PLUMBUM DILUPUSKAN KE LAUT!



Oleh: MUTALIB M.D

PARA Nelayan di Kudat menggesa Jabatan Perikanan Sabah dan pihak berkuasa maritim Malaysia agar mengambil tindakan proaktif terhadap penjenayah alam sekitar yang bertindak melupuskan bateri asid plumbum ke laut sehingga mencemarkan alam sekitar dan membunuh hidupan laut, terutama batu karang.

Seorang nelayan, Mohammad Kamil, 45, berkata bot pukat tunda sering mengalami kerosakan kerana tersangkut timbunan bateri asid plumbum yang dipercayai dibuang oleh kontraktor yang memasang elektrik solar di Pulau Banggi dan seluruh Sabah.

“Kawasan Kudat memang terkenal sebagai kawasan pembiakan ikan kerana pertemuan arus lautan, tetapi kini semakin kurang kerana pencemaran plumbum sehingga banyak spesis ikan pupus. Kami sudah mengadu kepada pihak berkenaan, tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil,” ujar Mohammad Kamil lagi.

Kata Mohammad Kamil, pihaknya sering terserempak dengan bot besar yang digunakan untuk membuang bateri asid plumbum tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana bimbangkan keselamatan mereka.

Memandangkan bateri berkenaan terlalu berat, maka Mohammad Kamil tidak mampu berbuat apa-apa, namun beliau berjaya menaikkan lebih sepuluh buah bateri plumbun yang dilupuskan ke laut sebagai bukti, sehingga ada nelayan yang menjadikannya sebagai sauh untuk melabuhkan bot ketika menangkap ikan.

Sehubungan itu, Mohammad Kamil menggesa agar Jabatan Alam Sekitar Malaysia menguatkuasakan undang-undang terutama dengan mengharamkan penggunaan bateri asid plumbum sebagai medan menyimpan tenaga solar di seluruh sekolah di Sabah.

“Jika keadaan ini berterusan, nelayan Sabah akan semakin menderita kerana terpaksa belayar jauh ke laut lepas kerana kepupusan ikan yang terdedah kepada kesan radioaktif plumbum,” ujar Mohammad Kamil kesal kerana ikan tuna kuning (panit) dan tenggiri kini sukar diperolehi di perairan Kudat.

No comments:

Post a Comment