Saturday 5 February 2011

PAJUDDIN MENTAH DALAM POLITIK!



Oleh: KREW SABAHKINI.NET

KETUA Perhubungan PKR Sabah, Ustaz Pajuddin Nordin membuktikan beliau ‘Anak Jantan’ yang berprinsip dengan menerima cabaran Naib Presiden PKR, Fauziah Salleh yang dihantar kepadanya melalui SMS pada 24 Januari lalu agar beliau meletakkan jawatan.

Petang tadi, Pajuddin menghantarkan surat perletakan jawatan sambil ‘menuding jari hantu’ kepada Anwar Ibrahim dengan terus menyertai UMNO belumpun sampai sebulan memegang jawatan berkenaan; sehari menjelang lawatan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Kota Kinabalu esok bagi menyelesaikan kemelut kepimpinan Pajudin, yang kononnya ditentang oleh 18 cabang baru-baru ini.

“Saya kecewa dengan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan Dr Wan Azizah kerana mereka hanya memperbodohkan kami, pemimpin-pemimpin PKR Sabah. Saya sangat kecewa kerana selama ini Anwar berkata PKR berjuang untuk Sabah dan hak-hak rakyat Sabah, tetapi beliau cakap tak serupa bikin,” kata beliau pada sidang media yang diadakan di kediaman rasmi Musa, Sri Gaya di Kota Kinabalu sekitar 6.30 petang tadi.

Sebelum ini, seramai 18 pemimpin cabang PKR Sabah telah menyerahkan resolusi kepada parti bulan lalu meminta Pajudin digantikan dengan orang lain dan Dr Wan Azizah bertindak sebagai pemimpin sementara.

Resolusi itu ditandatangani oleh cabang Kota Belud, Sepanggar, Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Kimanis, Papar, Beaufort, Keningau, Pensiangan, Tenom, Libaran, Sandakan, Kinabatangan, Semporna, Kalabakan, Tawau dan Silam.

Mereka menyerahkan memorandum kepada Naib Presiden Fuziah Salleh yang membentangkan pada mesyuarat biro politik 26 Januari lalu.

Sebelum ini PKR Sabah mengalami kemelut setelah Naib Presiden, Datuk Jeffrey Kitingan dan kira-kira 27 yang lain keluar PKR untuk menubuhkan badan bukan kerajaan Barisan Bersatu Borneo (UBF).

Bagaimanapun, para pemerhati politik menyifatkan kemasukan Pajuddin ke dalam UMNO menurunkan saham beliau sebagai ahli politik dan tidak akan mendapat tempat seistimewa kedudukan beliau di dalam PKR jika beliau terus bertahan untuk sesuatu tempoh.

“Tindakan terburu-buru ini membuktikan Pajuddin terlalu mentah dalam politik dan menguburkan kerjaya politiknya yang layu sebelum berkembang,” ujar seorang pemerhati politik yang hanya mahu dikenali sebagai Pejuang Demokrasi.

No comments:

Post a Comment