Monday 14 February 2011

PASTIKAN MENARA TELEKOMUNIKASI SELAMAT



Oleh: SELAMAT HAKIMI

KERAJAAN Persekutuan digesa agar tidak terus menjadikan Sabah sebagai ‘Pusat Pembuangan Bateri Plumbum’ dan menjadikan rakyat Sabah sebagai mangsa ‘pembunuhan kejam’ akibat terdedah kepada bahaya keracunan plumbum.

Aktivis Masyarakat dan Hak Asasi Manusia, Datuk Patrick Sindu membuat gesaan demikian sebagai mengulas pengumuman Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Haji Lajim Haji Ukin, berkata 212 menara telekomunikasi, lima daripadanya akan dibina di Beaufort yang meliputi kawasan sekitar Batu 61, Kampung Lingkungan, Bengkalakak, Padas Damit, dan Lembah Poring yang mula dibina pertengahan tahun ini dan dijangka siap menjelang akhir tahun 2011; di bawah projek perluasan liputan selular Time 3 di Sabah.

“Kesemua lebih 1,000 menara telekomunikasi yang sedia ada di Sabah sudah menjadi neraka buat rakyat Sabah yang menderita keracunan plumbum kerana menggunakan tidak kurang daripada 50 bateri asid plumbum bagi setiap menara. Setiap satu bateri mengandungi plumbum seberat antara 70 hingga 100 kilo,” ujar Patrick yang kesal kerana kesemua plumbum berkenaan dilupuskan begitu sahaja sehingga mencemar alam sekitar kerana Sabah tidak mempunyai Pusat Pelupusan Plumbum.

Ketidak pekaan kerajaan negeri Sabah, kata Patrick, terutama Kementerian Pelancongan dan Alam Sekitar yang menyerahkan bulat-bulat isu pencemaran plumbum kepada Jabatan Alam Sekitar menyebabkan penjenayah alam sekitar rakus melambakkan bateri plumbum yang diharamkan ke Sabah.

“Tidak ada gunanya mempunyai menara komunikasi yang canggih, walaupun atas nama pembangunan, jika menghalalkan penggunaan bateri plumbum, iaitu bahan yang telah menyebabkan lebih 400 kanak-kanak di Nigeria maut dan lebih 2,000 kanak-kanak di China menunggu ajal,” ujar Patrick yang menggesa agar semua pihak bertindak segera.

Patrick turut menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan unit khas untuk menyiasat bagaimana plumbum boleh dilambakkan ke Sabah tanpa dikesan oleh Jabatan Kastam dan Jabatan Alam Sekitar.

“Apakah bateri plumbum ini diterbangkan dengan jet khas kerajaan sehingga tidak ada sebarang laporan daripada Jabatan Kastam bagaimana bateri plumbum boleh diimport masuk daripada Jerman dan Checkoslavakia iaitu Negara yang mengharamkan plumbum,” ujar Patrick lagi.

Dalam pada itu, ketika berucap merasmikan Karnvial Merakyatkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) anjuran (SKMM) di tapak Tamu Pekan Beaufort, baru-baru ini Lajim berkata, pelaksanaan projek menara komukinasi merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan bagi meningkatkan keupayaan rakyat agar menjadi masyarakat yang kaya dengan maklumat yang berguna.

Menurut Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort, tahap kemajuan teknologi maklumat khususnya capaian jalur lebar Internet yang lebih baik merupakan kunci yang membawa negara kepada masa depan lebih baik sekaligus meletakkan negara di landasan bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau berkata tahap jalur lebar yang tinggi ini akan membawa pula kepada perluasan dan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seiring dengan program Transformasi Ekonomi Negara (ETP).

Katanya, kepesatan (ICT) dengan jalur lebar yang mampu mencapai kelajuan tinggi telah membawa kepada revolusi maklumat yang dapat membawa kepada ilmu pengetahuan yang lebih baik. Maklumat dan perbincangan bersifat ilmiah yang pada ketika dahulu hanya dimonopoli oleh golongan tertentu, kini boleh diakses oleh masyarakat awam yang telah mempunyai tahap celik komputer yang agak baik.

Dalam perkembangan yang sama Lajim berkata, inisiatif kerajaan mengagihkan komputer riba 1Malaysia adalah selaras dengan matlamat kerajaan untuk menggandakan kepakaran sumber manusianya bagi mewujudkan komuniti yang celik ICT.

“Usaha ini bertujuan mengurangkan jurang digital tanpa meminggirkan masyarakat di luar bandar,” katanya.

Bagaimanapun Lajim turut mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan dan aktiviti anak-anak di internet melalui pemerhatian akses kepada laman-laman sesawang internet supaya mereka tidak menyalahkan gunakan kemajuan ICT ini ke jalan yang boleh membawa kesan negatif terhadap kehidupan mereka.

“Didik mereka supaya lebih bertanggungjawab dan beretika apabila melayari laman laman di internet supaya mereka tidak terdedah dengan ancaman dan bahaya alam siber seperti buli di alam siber, pornografi, kekerasan, penderaan dan kebencian perkauman yang perlu dihindari,” katanya.

Hadir sama di majlis itu Wakil Rakyat Lumadan, Kamarlin Haji Ombi; Pegawai Daerah Beaufort, Wong Foo Ten; Naib Ketua Umno Bahagian, Datuk Kimjus Duim; Pengarah Wilayah Sabah dan WP Labuan SKMM, Bukhari Yahya dan Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Insfrastruktur, Isnin haji Aliasnih.

No comments:

Post a Comment