Tuesday 15 February 2011

PENGAGEHAN RUMAH PBR TUARAN TIDAK ADIL



Oleh: KREW SABAHKINI.NET

SEBILANGAN Penduduk Kampung Penimbawan di Tuaran melahirkan rasa tidak puas hati terhadap sistem pengagehan rumah di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) di kampung tersebut kerana didakwa tidak telus dan terdapat ada unsur pilih kasih.

Seorang wakil penduduk, Haji Harin Haji Hassan berkata, pengagehan rumah itu sepatutnya dibuat dengan cara cabutan undi supaya semua penduduk kampung terlibat berpuas hati dan tidak merasa didiskriminasi pihak-pihak tertentu.

"Terdapat kalangan yang rapat dengan pimpinan kampung dapat tempat tertentu, konon dapat arahan orang atas," kata Haji Harin yang kelihatan amat kecewa dengan pengagehan itu.

Beliau berkata, pihaknya telah membuat surat bantahan kepada Pejabat Daerah Tuaran bagi meminta kaedah pengagehan sebanyak 250 unit rumah itu dibuat secara teratur dan adil.

Sehubungan itu, beliau juga melahirkan rasa terkejut apabila menerima surat arahan pindah ke rumah bilangan 144 yang ditandatangani oleh Pegawai Daerah Tuaran, Madiyem Layapan yang mengarahkan juga penduduk lain berpindah ke rumah baru PBR secepat mungkin.

Dalam surat bertarikh 7 Januari 2011 itu, menyatakan bahawa keputusan mesyuarat Projek Pembangunan Masyarakat Setempat (PAMS) di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) di Kampung Penimbawan pada 30 Disember 2010, berdasarkan keputusan mesyuarat itu mereka diperuntukkan rumah tersebut yang dibuat secara pilihan.

"Soalnya siapa yang membuat pemilihan? Kenapa kami tidak diberitahu dan sekali gus dijemput hadir dalam pemilinan itu?,” tanya Haji Harin sambil menambah, penduduk kampung berkenaan tetap menerima rumah yang diberikan kerajaan, tetapi beliau mempersoalkan mengapa penduduk Kampung Penimbawan tidak dilibatkan dalam pengagehan rumah tersebut.

"Meskipun saya kurang faham dengan pengertian isi surat Pegawai Daerah Tuaran kerana saya tiada pendidikan, tetapi jelas ia tidak memahami perasaan dan harapan penduduk yang inginkan keadilan," kata Haji Harin seorang pesara Angkatan Tentera yang benar-benar tidak berpuashati kerana sistem pengagehan itu tidak berasas.

Katanya, Projek perumahan itu sesungguhnya memberikan manfaat yang amat baik dan mampu menaikan taraf hidup masyarakat kampung terlibat.

Walau bagaimanapun, beliau meminta pemimpin tempatan agar campurtangan supaya pengagihan rumah PBR di Kampung Penimbawan Tuaran itu dibuat semula secara telus dan adil dengan menerusi cabutan undi.

No comments:

Post a Comment