Monday 28 February 2011

PLKN DEDAH IDEALISME PERJUANGAN



CENDERAMATA.......sebagai kenangan Timbalan Komanden PLKN Kem KK Di Bawah Bayu Tuaran, Mejar (B) Fouzi Omar telah menyampaikan cenderakenangan kepada Pengerusi Komuniti 1 Malaysia Kampung Kota Tuaran, Haji Ghulabdin Enjih (Ketiga dari kiri).

Oleh: KREW SABAHKINI.NET

PARA remaja hari ini adalah merupakan pewaris kepimpinan negara pada masa hadapan yang seharusnya dibekalkan dengan pelbagai ilmu dan kemahiran yang tinggi bagi mempastikan mereka akan menjadi insan yang dapat menongkah cabaran mendatang.

Pengalaman serta cabaran yang diperolehi ketika menghadiri pelbagai kegiatan kepimpinan termasuklah menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) boleh mendedahkan remaja terlibat dengan idealisme perjuangan yang akan menjadikan mereka tampil sebagai pemimpin hebat di masa hadapan.

Pengerusi Komuniti 1 Malaysia Kampung Kota, Tuaran, Haji Ghulabdin Enjih berkata demikian ketika berucap di Majlis Khidmat Masyarakat Pelatih Pusat Latihan Khidmat Masyarakat (PLKN) Kem KK Di Bawah Bayu Tuaran yang telah berlangsung di Kediaman beliau di Kampung Kota dekat sini baru-baru ini.

Haji Ghulabdin berkata, penerapan kerja sukarela menerusi pelbagai kerja amal dalam kegiatan khidmat komuniti yang melibatkan kesemua 450 orang pelatih PLKN Kem KK Di Bawah Bayu Tuaran itu adalah merupakan penerapan pendidikan asas penting kepada mereka setelah berakhirnya sesi PLKN nanti.

"Saya yakin peranan remaja di negara ini akan menjadi lebih penting dalam menentukan arus pembangunan dapat direalisasikan sepenuhnya, sehubungan itu golongan ini adalah merupakan pemimpin pewaris negara yang amat menuntut sikap jati diri termasuklah mempunyai ilmu pengetahuan serta mempunyai pemikiran serta minda yang positif dalam apa juga tindakan yang dilakukan," kata Haji Ghulabdin

Beliau selanjutnya berharap penyertaan para pelatih PLKN dalam beberapa acara gotong-royong seperti membersihkan Kawasan Masjid Baitul Makmur, Kawasan Perkuburan Islam Kampung Kota dan Sekolah TABIKA Perpaduan Kampung Kota Tuaran diharap akan menjadi pengalaman berguna kepada mereka setelah balik ke tempat masing-masing kelak.

Selain itu Haji Ghulabdin juga mengharapkan semua pihak dalam masyarakat memainkan peranan dalam memastikan pembentukan disiplin remaja yang juga menjadi elemen penting dalam menentukan masa hadapan generasi kita berada di landasan sewajarnya.

"Sejajar dengan itu, adalah diharapkan ibu bapa tidak akan merasa bimbang terhadap penyertaan anak-anak mereka semasa sesi program di PLKN. Saya merasakan ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk memberikan galakan agar kehadiran anak-anak remaja kita berjaya menepati program PLKN yang menjadi asas terhadap perpaduan bangsa di negara kita," kata Haji Ghulabdin yang juga Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga, Kampung Kota Tuaran.

Sehubungan itu beliau juga mengharapkan menerusi penyertaan remaja dalam PLKN akan dapat memperkasakan semangat perpaduan rakyat di negara ini sejajar dengan konsep yang telah diterapkan oleh pimpinan negara menerusi Gagasan 1 Malaysia seperti yang terdapat dalam setiap program yang dianjurkan.

Majlis Penutupan Khidmat Masyarakat PLKN Kem KK Di Bawah Bayu Tuaran telah memberikan peluang kepada para pelatih dari pelbagai bangsa untuk membuat persembahan termasuklah Tarian Sumazau, Tarian Daling-Daling dan Tarian Poco-Poco.

Hadir sama dalam mejlis tersebut termasuklah Komanden dan Timbalan Komanden Mejar (B) Fouzi Omar; Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tuaran, Marsah Muyong; Pengerusi Masjid Baitul Makmur Kampung Kota Tuaran, Haji Adis Enjih; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Seri Bayu, Kampung Kota Tuaran, Mohamad Sabi Ahmad; Bekas Presiden Kesatuan Sekerja PETRONAS Sabah, Haji Awang Puasa Jambul dan Ketua UMNO Cawangan Sentosa, Ismail Insun.

No comments:

Post a Comment