Wednesday 2 February 2011

PRESIDEN SAKAG ANCAM GANTUNG DIRI?



JERUT…Masmin menggunakan tali besar yang dililit di lehernya sebagai simbolik beliau akan mengadakan demonstrasi ‘menggantung diri’ setelah mengadakan mogok lapar selama dua bulan jika kerajaan negeri Sabah tidak mengambil tindakan segera.

Oleh: KREW SABAHKINI.NET

PRESIDEN Persatuan Keluarga Karanaan Liwan Sabah [SAKAG], Haji Masmin Kadad, memberi kata dua kepada Kerajaan Negeri Sabah agar menghentikan segera kegiatan pembalakan di kawasan Yayasan Sabah, Kalabakan atau beliau terpaksa mengadakan demonstrasi menggunakan tali untuk ‘menggantung diri’.

Masmin melahirkan kebimbangan dalam pertemuan khas dengan Sabahkini.net yang mengikuti beliau ke beberapa lokasi tertentu termasuk stumping kayu balak di Kalabakan untuk membuat liputan berhubung dakwaan beliau.

“Kerajaan minta rakyat menanam pokok kayu untuk memulihara alam sekitar namun sebaliknya mereka membiarkan aktiviti pembalakan haram di sekitar Nabawan dan Kalabakan, serta kegiatan haram menyeludup balak yang semakin tidak terkawal di Kalabakan.,” kata Masmin yang kecewa dengan sikap double standard kerajaan negeri Sabah.

Menurut Masmin, setiap hari, tidak kurang 100 lori balak mengangkut kayu balak ke Sungai Kalabakan untuk dipasarkan Tawau dan diseludup ke luar negara; manakala bakinya dihantar ke kilang-kilang di Nabawan dan Keningau.

BUKTI….Kayu-kayu balak ini termasuk di bawah ukur lilit (empat round) terancam akibat pembalakan oleh syarikat di sepanjang jalan Sepulut ke Kalabakan.

“Semua kayu ini tidak dibayar cukai dan kayu yang ada bercukai telahpun digunakan sejak bertahun-tahun. Selain itu, kayu-kayu di bawah ukurlilit 4 round juga turut dibalak. Bagaimanakah generasi muda boleh dapat berkongsi harta Sabah daripada kayu balak sekiranya pembalakan yang dilakukan itu tidak bersistem dan tidak dikawal?,” Tanya Masmin yang kesal kerana rasuah di Jabatan Perhutanan Sabah yang terburuk selepas Kastam.

Masmin selanjutnya mendedahkan, sebagai contoh, baru-baru ini, pada 29 Januari 2011, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengadakan lawatan rasmi ke Maliau Basin.

Tambah Masmin lagi, dalam tempoh seminggu sebelum lawatan tersebut, semua aktiviti pembalakan dihentikan. Namun selepas lawatan Perdana Menteri selesai, aktiviti pembalakan diteruskan semula sehingga beratus lori balak keluar pada 30 Januari 2011 di sepanjang jalan Sepulut ke Kalabakan.

LAKONAN…Lakonan lori kayu balak dan jentera ini berjaya mengaburi mata Perdana Menteri kerana diletakkan di tepi jalan raya, namun sebalik sahaja helikopter Perdana Menteri meninggalkan Maliau Basin, mereka kembali aktif mengeluarkan kayu balak.

“Bukankah ini telah membuktikan bahawa pihak kerajaan membiarkan sahaja aktiviti ini kerana ada pihak terlibat dan bekerjasama dengan syarikat-syarikat pembalakan. Walaupun rakyat mengadu, namun pegawai kerajaan yang berkenaan khasnya, Pengarah Jabatan Perhutanan hanya bersikap ‘tutup sebelah mata’ sahaja,” ujar Masmin yang berpendapat aktiviti pembalakan tersebut hanya merugikan kerajaan.

Namun Masmin yakin bahawa aktiviti pembalakan hanya membawa kekayaan kepada beberapa golongan tertentu sahaja termasuk ahli-ahli politik, pemimpin-pemimpin masyarakat tetapi rakyat Sabah dan kerajaan negeri tidak mendapat apa-apa faedah atau keuntungan.

ANGKUT....Tongkang ini digunakan siang malam untuk menghantar kayu balak di Sungai Kalabakan, Tawau sebelum ke luar negara bagi mendapat keuntungan yang lebih.

“Kebanyakan kayu-kayu itu dibalak secara haram di kawasan Maliau Basin dan termasuk kayu-kayu di bawah empat round,” tegas Masmin yang berkata beliau sepatutnya menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri tetapi atas sebab-sebab tertentu, beliau tidak dapat berjumpa Perdana Menteri.

Oleh itu, beliau berharap melalui Sabahkini.net, suara rakyat daripada Sabah akan mendapat perhatian daripada Perdana Menteri kerana jika perkara ini dibiarkan sahaja, kepercayaan rakyat terhadap kerajaan BN akan terjejas dan tidak lagi menyokong calon-calon BN dalam pilihan raya akan datang.

2 comments:

  1. Saya percaya gimik politik sahaja itu ataupun nak dapat publisiti media saja. Atau mungkin tidak dapat income....wawakakakaka

    ReplyDelete
  2. takkan mau biar hasil bumi sabah kena makan...kau diam2 seja...apa usaha kau sbagai urg sabah?stakat mau ckp2 kosong,nenek saya pun bulih....berjuangla..demi masa depan negara kita..masa depan anak2 kita...untuk negara sabah...

    ReplyDelete