Wednesday 9 February 2011

RON97 NAIK KERANA PASARAN ANTARABANGSA



JEMPUTAN….Radin sedang menerima jemputan daripada Ng sambil diperhatikan oleh ahli jawatankuasa penganjur.


Oleh: MAIL MATHEW

KETUA Bahagian Liberal Democratic Party (LDP) kawasan Tenom, Kapitan Ng Tet Hau, menggesa pengguna agar tidak menggunakan isu kenaikan minyak petrol RON97 baru-baru ini sebagai kelemahan kerajaan memerangi beban kos bahan bakar tersebut daripada terus menghantui rakyat kerana kenaikan itu banyak bergantung kepada situasi yang tidak menentu di pasaran antarabangsa.

Katanya, sungguh pun RON97 mengalami kenaikan namun pengguna masih ada pilihan lain untuk menggunakan RON95 sebagai langkah sementara untuk meneruskan operasi perniagaan mereka.

“Kita tidak perlu terkejut dengan fenomena itu kerana ia berlaku diseluruh dunia. Sesiapa pun yang menjadi kerajaan pada ketika itu, kemudian berlaku pula fenomena ini. Tiada siapa yang dapat mengelakkannya, selain sekadar mencari jalan mengurangkan kos bebanan sepertimana yang kita sudah lakukan melalui pemberian subsidi kepada harga minyak di negara ini,” kata beliau selepas menyerahkan surat jemputan malam muhibbah sempena sambutan Tahun Baru Cina (TBC) anjuran LDP Tenom yang akan di Dewan Seri Antanom, pada 13 Febuari, kepada Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Radin Malleh baru-baru ini.

Majlis tersebut dijangka akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang juga Presiden LDP, Datuk V.K. Liew berserta dengan beberapa Ahli Majlis Tertinggi parti itu turut sama menghadiri majlis tersebut.

Kapitan Ng yang juga Ahli Majlis Tertinggi LDP pusat seterusnya berkata, bahawa isu kenaikan minyak bukan perkara baru di negara ini malah ia pernah berlaku di masa masa lalu tetapi kerajaan prihatin dan membantu mereka dengan pemberian subsidi supaya harga bahan itu menjadi harga biasa.

Bagaimanapun tegasnya lagi, pendirian kerajaan untuk menghapuskan pemberian bantuan secara bersubsidi yang pernah menggemparkan rakyat beberapa tahun lalu kerana terkejut dengan tindakan itu, Ng positif dengan langkah kerajaan itu dengan mengambilkira bahawa dalam keadaan negara telah menempuh kemajuan ekonomi yang pesat.

“Bantuan atau subsidi kepada rakyat pengguna tidak boleh diteruskan untuk selama lamanya kerana tujuan ia diberi sekadar bersifat sementara sehingga keadaan pasaran telah menjadi normal manakala ekonomi peniaga semakin berkembang,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, ketika ditanya apakah tahun Arnab dalam kalendar masyarakat Cina yang melambangkan situasi aman, sejuk dan ekonomi pantas suatu ‘Feng sui’ yang baik di pedalaman Ng berkata, “Pengertian atau definisi itu tidak semestinya baik kepada seseorang jikalau sekadar ia menunggu rezeki itu datang bergolek sendiri. Sebaliknya ia kena guna usaha lebih gigih untuk mencapai impiannya,” jelas Kapitan Ng diiringi gelak ketawanya.

1 comment:

  1. Aduiii!!!...kereta kerajaan saja lah untung nie...minyak preeee!!!!...

    ReplyDelete