Monday 28 February 2011

SAMBUTAN CNY BERSEJARAH DI KG ANSIP



TERIMA…. Kurup dan Ellron menerima 'skrol' dari pihak penganjur.

Oleh: ROZIE JUMAT

MASYARAKAT Tiounghua di kawasan Parlimen Pensiangan mencipta sejarah tersendiri buat kali pertama kerana mengadakan sambutan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Sambutan Tahun Baru Cina.

Satu-satunya perkampungan Cina di kawasan itu ialah Kampung Ansip Tengah, dengan kebanyakan penduduknya adalah pekebun dan penternak, meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama Ahli Parlimen Pensiangan dan Wakil Rakyat N.37 Sook.

Pengerusi Penganjur majlis pemimpin bersama rakyat sempena sambutan Tahun Cina, Chong Nyuk Phing berkata, sambutan itu yang dianjurkan bersama Pejabat Perhubungan Parlimen Pensiangan, membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak meminggirkan golongan minoriti dalam sesuatu kawasan seperti perkampungan Kg.Ansip.

Menurut Chong, sambutan perayaan di peringkat kampung tidak pernah diadakan di kampung itu, dan majlis rumah terbuka yang diadakan adalah julung kali diadakan.

"Dalam sejarah kampung ini tidak pernah ada pemimpin datang dan makan bersama-sama kami apatah lagi menyambutnya secara besar-besaran ," kata Chong.

Katanya kehadiran pemimpin di kawasan itu dalam majlis seumpama itu ibarat seorang saudara atau anak yang berkumpul bersama keluarga sempena perayaan tersebut.

Kata Chong, kampung itu juga berterima kasih kepada kerajaan kerana telah memberi projek kepada kampung itu terutamanya membaiki sistem perparitan bagi mengatasi masalah banjir.

Penduduk kampung juga meminta agar jalan ke kuil Cina dan sekolah Cina di kampung itu diberi perhatian kerajaan.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, Tan Sri Joseph Kurup berkata, walaupun masyarakat Cina di kawasan P182 Pensiangan adalah sedikit tetapi masyarakat itu juga telah memberi sokongan dan kerajaan sangat menghargai sumbangan mereka.

"Seperti kaum-kaum yang lain, masyarakat Cina di kawasan ini tetap merupakan penyokong kuat kepada BN meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti isu-isu kenaikan harga barang, kerana mereka berkeyakinan terhadap keupayaan BN menangani isu-isu semasa," kata Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan.

Turut hadir, Wakil Rakyat Sook, Datuk Ellron Angin, ketua ketua masyarakat Cina Keningau, dan Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Pensiangan, Vincent Lee.

Mengenai majlis rumah terbuka itu, Kurup berkata, perpaduan dapat ditingkatkan melalui kefahaman melalui budaya suku kaum lain.

"Ini adalah satu aktiviti yang meningkatkan kefahamam toleransi di kalangan masyarakat kita yang pelbagai kaum," kata Kurup.

No comments:

Post a Comment