Friday 25 February 2011

UTUSAN RAKYAT GANTI AKHBAR SUARA KEADILAN?



Oleh : MOHD FAIZAL MOHD SALLEH

TINDAKAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahu menerbitkan sebuah akhbar yang bernama ‘Utusan Rakyat’ dilihat sebagai satu usaha mereka untuk mengelirukan rakyat khususnya orang Melayu terhadap apa yang dipaparkan Utusan Malaysia.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Negeri Selangor, Safarizul Mustaffa berkata meskipun Utusan Malaysia sering dilabelkan kononnya sebagai sebuah akhbar rasis namun ternyata tindakan PKR yang mahu menerbitkan akhbar tersebut menunjukkan mereka tercabar dengan kewibawaan akhbar Utusan Malaysia.

“Mereka (PKR) sebenarnya takut segala kecacatan dan ketempangan mereka terbongkar. Sebab itu mereka nak terbitkan akhbar yang mirip dengan Utusan Malaysia dengan agenda mahu mengelirukan rakyat .

“Kita yakin akhbar PKR ini sekadar mahu memutar-belitkan fakta dan kebenaran. Kenapa mereka tidak lagi menggunakan akhbar Suara Keadilan mereka, kerana jelas akhbar rasmi mereka ini sudah ditolak dan tidak diterima rakyat kerana semua yang tertulis di dalamnya, hanya fitnah dan fakta yang diputarbelit semata-mata,” katanya di sini hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Sekretariat Penerangan Pemuda UMNO Malaysia seterusnya berkata PKR sebenarnya mengakui kehebatan dan kewibawaan akhbar Utusan Malaysia apabila dikatakan akan menggunakan khidmat seorang wartawan kanan akhbar Utusan Malaysia sendiri, untuk diletakkan sebagai penggerak penerbitan akhbar Utusan Rakyat.

“Ia ibarat menebang sebatang pokok dengan menggunakan batang pokok juga kerana gergaji yang digunakan tumpul dan tidak mampu untuk menebang pokok tersebut. Ia samalah juga dengan menggunakan orang Utusan Malaysia untuk menyaingi dan berusaha untuk memusnahkan akhbar Utusan Malaysia sendiri”, ujarnya.

No comments:

Post a Comment