Wednesday 30 March 2011

222 AHLI PARLIMEN BAKAL JADI PEMBUNUH?




Oleh: MUTALIB M.D

KESEMUA 222 Ahli Parlimen Malaysia disifatkan sebagai ‘Bakal Menjadi Pembunuh Kejam’ lebih sejuta kanak-kanak di Sabah yang berusia antara satu hingga 14 tahun setelah secara sedar dan ‘bersubahat’ meluluskan penggunaan bateri asid plumbum dalam sistem solar hibrid di sekolah-sekolah luar bandar dan kampung terpencil di luar bandar melalui projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB).

Aktivis Alam Sekitar dan Hak Asasi Manusia, Datuk Patrick Sindu melahirkan kebimbangan sedemikian setelah kesemua ahli parlimen Malaysia tidak begitu prihatin dan hanya membahaskan isu berkenaan secara ‘meludah ke langit’ dan gagal menyelesaikan isu penyeludupan logam berat plumbum ke negara ini, terutama Sabah.

“Apakah mereka tidak pernah membaca Hansard Parlimen? Bukankah 14 tahun lalu iaitu pada 27 Mac 1997, Ahli Parlimen Malaysia (Tawau) Chua Soon Bui telah mengemukakan isu bahaya plumbum di Dewan Rakyat?,” ujar Patrick yang kesal kerana tidak ada seorangpun Ahli Parlimen Pembangkang yang peka dengan persoalan yang membahayakan rakyat Sabah.

Menurut Patrick, Chua telah bertanya kepada Menteri Kesihatan sama ada Kementerian Kesihatan sedar bahawa kira-kira 7% dari kanak-kanak tadika di Ranau, Tuaran dan Kota Belud mempunyai tahap plumbum serum (serum lead) yang berlebihan dan apakah puncanya; dan apakah kementerian bercadang menjalankan kajian terhadap tahap ‘serum lead’ di kalangan kanak-kanak di seluruh negeri Sabah dengan menyatakan langkah-Iangkah kerajaan untuk menyemai kesedaran terhadap perkara ini di kalangan ibu bapa dan kanak-kanak.

Ketika menjawab soalan Chua pada 27 Mac 1997, Timbalan Menteri Kesihatan, Dato' Dr. Siti Zaharah binti Haji Sulaiman menjelaskan bahawa pihaknya sedar tentang 7% dari kanak-kanak Tadika di Ranau, Tuaran dan Kota Belud mempunyai tahap plumbum serum yang berlebihan.

“Bukankah Zaharah telah memberi jaminan bahawa perkara tersebut telah pun dikaji dan keputusan telah dibuat agar satu jawatankuasa di bawah Jabatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan diwujudkan bagi menyelaraskan aktiviti pengawalan di negeri Sabah,” tanya Patrick lagi yang kesal kerana tidak ada tindakan susulan selepas itu sehinggalah isu berkenaan dibangkitkan kembali secara serius oleh Ahli Parlimen Malaysia (Tenom) Datuk Raime Unggi secara berterusan sejak 2009, 2010 dan terbaru 2011.

Kata Patrick, beliau ingin tahu apakah masih wujud jawatankuasa tersebut yang kononnya telah mengadakan perbincangan di kalangan agensi dan pihak yang pernah membuat kajian tentang plumbum bagi mengenalpasti punca plumbum dengan tujuan untuk mewujudkan satu pelan tindakan yang komprehensif sebagai langkah berintegrasi antara agensi.

Jaminan Zaharah, bahawa segala kajian yang telah dibuat tentang plumbum dan logam berat lain yang telah ada setakat ini di Sabah telah pun dikumpulkan dan dianalisa; tegas Patrick, termasuk kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan di Kuala Lumpur berhubung 'Impak Aktiviti Perlombongan Terhadap Status Kesihatan Penduduk Ranau, Sabah' sejak tahun 1996; termasuk Kajian sedang dijalankan oleh Yayasan Sabah dan Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Sabah bagi mengenal pasti punca-punca berlakunya tahap plumbum serum yang berlebihan.

“Namun apa jadi selepas itu? Apakah tindakan Jabatan Kesihatan Sabah setelah menerima laporan Pusat Racun Negara pada 1996? Kenapa tidak didedahkan kepada umum?,” tanya Patrick yang meminta Timbalan Menteri Kesihatan sekarang, Datuk Rosnah Rashid Shirlin menjalankan tugasnya dengan penuh amanah demi masa hadapan rakyat Sabah.

Tegas Patrick lagi, beliau kesal kerana Rosnah menjawab sambil lewa dan tidak menjalankan kajian lapangan sehingga meletakkan kanak-kanak di Sabah dalam risiko keracunan plumbum yang digunakan secara meluas di sekolah-sekolah.

“Beratkah sangat untuk Kementerian Kesihatan menjalankan ujian darah kanak-kanak sekolah yang menggunakan bateri asid plumbum secara khusus dan melaksanakan langkah pencegahan termasuk melaksanakan kuaratina bagi kanak-kanak yang mempunyai paras logam plumbum yang tinggi dalam darah? Bukankah mencegah itu lebih baik daripada mengubati,” kata Patrick lagi.

Patrick semakin kesal dengan jawapan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong pada 24 Mac 2011 ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Malaysia (Tenom) Datuk Raime Unggi; Ahli Parlimen Malaysia (Tuaran) Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing; Ahli Parlimen Malaysia (Putatan) Datuk Marcus Mojiggoh dan Ahli Parlimen Malaysia (Kinabatangan) Datuk Bung Mokhtar Radin berhubung dengan pelaksanaan solar hibrid.

Dalam jawapannya Dr. Wee menjelaskan bahawa bateri solar hibrid hanya menggunakan bateri plumbum dari jenis GEL valve regulated yang tidak memerlukan penambahan cecair kepada sel bateri semasa proses penyenggaraan untuk mengelakkan bahaya pencemaran asid sulfuric seperti yang terdapat di dalam sel bateri biasa.

“Seperti Rosnah, Wee juga ‘bagaikan tujuh orang buta dengan seekor gajah’ teraba-raba mencari jawapan sehingga ‘berbohong di Dewan Rakyat’ kerana kebanyakan sekolah masih menggunakan bateri asid plumbum seperti SK Pulau Timbang, Sandakan,” ujar Patrick yang meminta agar Wee menjalankan kajian menyeleruh sebelum mengeluarkan kenyataan liar dan palsu.

Tegas Patrick, penggunaan bateri GEL ‘Valve Regulated’ yang diletakkan di dalam bilik darjah amat berbahaya kerana valve akan mengeluarkan gas ketika bateri dicaj dalam kompartment yang bertutup, terutama bagi mengelakkan bateri berkenaan meletup.

Sehubungan itu, Patrick menyeru rakyat Malaysia terutama 221 Ahli Parlimen Malaysia agar menyokong usaha Datuk Raime Unggi memerangi penggunaan bateri asid plumbum; sebaliknya beralih kepada penggunaan bateri lithium polymer yang dijamin selamat, mesra alam, murah dan kos efektif.

“Sebelum terlambat, saya rayu agar gantikan semua bateri asid plumbum, tidak kira dalam apa juga bentuk atau jenis, asalkan plumbum. Jabatan Alam Sekitar sewajarnya menguatkuasa Basel Convention dan Akta Alam Sekeliling dengan mengheret Ketua Pengarah Jabatan Pelajaran, Tenaga Nasional Berhad dan KKLW ke muka pengadilan kerana telah menyeludup masuk logam berat yang diharamkan dalam Basel Convention,” ujar Patrick lagi.

Dalam hubungan ini, kata Patrick, Kerajaan Malaysia terutama Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar hendaklah menyediakan Kertas Putih kepada Kabinet untuk melupuskan bateri asid plumbum yang dilambakkan ke Sabah disebabkan Sabah tidak mempunyai Pusat Pelupusan Plumbum.

Kajian Penilaian Impak Sekitaran Berdasarkan Penunjuk Terpilih Di Sekitar Kawasan Bekas Lombong Tembaga Mamut, Ranau, Sabah yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) perlu didedahkan kepada umum kerana kajian Pusat Racun Negara dengan kerjasama Yayasan Sabah pada 1996 memusatkan kajian akibat daripada sisa pembuangan plumbum daripada Lombong Tembaga Mamut yang beroperasi selama 25 tahun (1975-2000).

Menurut Patrick, kaedah perlombongan dedah bagi mendapatkan bijih tembaga telah menghasilkan lebih kurang 250 juta tan sisa tanah penutup dan batuan serta lebih 100 juta tan tahi lombong yang bertabur di serata tempat di kawasan bekas lombong ini.

Berdasarkan kepada piawai kepekatan logam berat oleh Kabata_Pendias & Pendias (2000) dan Dutch indeks, kata Patrick, menunjukkan bahawa kepekatan kandungan logam berat iaitu Co, Cr, Cu, Pb, Ni, dan Zn adalah berpotensi toksik dan melebihi paras yang dibenarkan di dalam tanah.

“Manakala bagi kualiti air mendapati air di kawasan lombong lebih berasid dan menunjukkan berlakunya kejadian AMD iaitu nilai pH airnya bawah 3.50 sehingga manakala beberapa kepekatan logam berat di dalam kawasan bekas lombong telah melebihi piawai yang dibenarkan oleh INWQS dan WHO,” ujar Patrick yang mendesak agar Jabatan Alam Sekitar Sabah meneliti hasil dapatan daripada penyelidikan yang dijalankan UMS tersebut.

No comments:

Post a Comment