Tuesday 29 March 2011

APA 'LOCUS STANDI' JOHN AMBROSE?



Saudara Pengarang,

ARTIKEL bertajuk “Umno Jangan Campur Urusan Dalaman LDP” yang tersiar di portal Sabahkini.net sebagai merujuk kepada kenyataan Ketua Umno Penampang, Datuk John Ambrose dua hari lepas sebagai tepat dan merupakan satu tamparan kepada beliau.

Ambrose yang dipetik dalam kenyataan itu bertajuk ‘LDP Should Stop Demanding’ seolah-olah mahu bercakap menasihati LDP sebagai bagi pihak UMNO Sabah. Sebaliknya apakah ‘Locus Standi’ John Ambrose yang berstatus jawatan Ketua Umno Penampang menasihati Presiden LDP, Datuk V.K Liew berstatus ‘Presiden dan Ahli Parlimen?’

Adalah lebih baik Datuk Ambrose duduk diam dan menumpukan perhatiannya kepada pentadbiran bahagian UMNO di Penampang atau membantu UPKO dalam perjuangannya mendesak Menteri Dalam Negeri Dato’Seri Hishamuddin Tun Hussein menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (SSD) bagi menyiasat pemberian Kad Pengenalan dan kerakyatan songsang kepada 600,000 PATI di Sabah.

Sejarah politik Sabah dengan pengembangan UMNO ke negeri ini berputik selepas PBS dilabelkan sebagai ‘Menikam BN Dari Belakang’ oleh mantan Timbalan Perdana Menteri pada ketika, Allahyarham Tun Ghaffar Baba apabila PBS bertindak keluar dari Gagasan BN pada 1990.

Namun maruah BN terus ditegakkan selepas insiden itu kerana parti yang menjadi sandaran utama menggarap tugas untuk menumpaskan PBS yang berkuasa di Sabah pada ketika itu, tidak lain dan tidak bukan adalah LDP, pimpinan Tan Sri Chong Kah Kiat bagi masyarakat Cina; manakala Parti Akar pimpinan mendiang Datuk Mark Koding diberi tugas untuk masyarakat KDM.

Manakala parti-parti komponen BN dari Semenanjung seperti Gerakan dan MCA boleh dikatakan sebagai ‘Hidup segan mati tidak mahu’ kerana rakyat Sabah tidak berminat langsung menyertai parti itu dan kalau ada pun mungkin sekadar boleh dibilang dengan jari sahaja.

UMNO pula agak bernasib baik kerana mewarisi kekuatan USNO yang direstui Allahyarham Tun Mustapha supaya para ADUNnya (11 YB) secara otomatik menjadi UMNO selain Parti Berjaya juga turut mengorbankan partinya untuk dibubar yang kemudiannya semua ahli parti itu dikerah untuk menjadi ahli UMNO.

Selain sumbangan daripada parti parti yang berasaskan perjuangan Bumiputra Islam, UMNO juga turut mendapat tambahan kekuatan dalam memantapkan pengundi pengundi di kawasan pantai (Utara, Sandakan, Tawau dan Pantai Barat) dengan pemberian dokumen sah (Projek IC) kepada PATI dan didaftar sebagi ahli UMNO dan pemilih berdaftar.

Berbalik kepada kisah LDP, pemimpinnya sanggup menggemblengkan tenaga dan buah fikiran bermula sejak di peringkat awal lagi di samping UMNO, namun khidmat bakti yang LDP telah curahkan kepada kecemerlangan UMNO-BN yang ada pada hari ini sanggup dilupakan begitu sahaja; ibarat pepatah Melayu. ‘Habis madu sepah dibuang’ yang seiras dengan keadaan menyelubungi nasib LDP pada ketika ini.

LDP yang lantang menyuarakan haknya kepada pucuk pimpinan BN negeri adalah kerana ingin melihat corak kepimpinan BN negeri terus relevan sehingga ke hari ini; dengan mengekalkan prinsip-prinsip asal yang melibatkan komposisi pengagehan jawatan berkonsepkan sistem perkongsian kuasa agar terus dihormati dan direalisasikan.

Apa yang menjadikan LDP bersifat ‘keras kepala’ kerana telah tertekan dan bosan dengan kelibat dan gelagat kepimpinan UMNO-BN Sabah yang menghalalkan perlakuan segelintir pemimpin BN yang membelakangi prinsip parti masing-masing; malah jauh sekali untuk mengambil tindakan disiplin parti yang menjadi teras kepada perjuangan asal LDP, sebaliknya mendorong mereka untuk berbuat sedemikian.

Pendeknya, UMNO Sabah jelas ibarat rojak bentuk kepimpinannya yang melemaskan bahtera BN yang akan ‘karam’ di lautan dalam masa terdekat ini sekalipun ‘fulus’ ditaburkan untuk menyelamatkannya.

Sekian untuk sekadar pandangan!

JACKSON LU, B.A (Hons) USM

No comments:

Post a Comment