Friday 18 March 2011

BAU BUSUK GETAH ANIAYA RESTORAN



DEGIL…. Pusat pengumpulan getah terus beroperasi secara haram sekalipun pelbagai aduan dibuat.

Oleh: MAIL MATHEW

PENGURUSAN Jabatan Alam Sekitar Sabah tidak ada bidangkuasa membantah mahupun menghalang hasrat para pembeli getah kepingan untuk menentukan lokasi sesuai yang bebas dari masalah pencemaran alam sekitar bagi memusatkan operasi mereka di mana-mana kawasan perkadaran.

Namun ia bergantung kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) menentukan apa apa juga keputusan berhubung perkara itu kecuali pemprosesan latex (susu getah).

Timbalan Pengarah, Rosli Osman berkata demikian ketika dihubungi Sabahkini.net pada khamis berhubung terdapat rungutan beberapa penduduk yang terjejas dengan gangguan bau busuk getah kerana lokasi stok pembelian itu berada di tengah-tengah kawasan kepadatan penduduk termasuk sebuah restoran pelancongan.

Dalam pada itu, Pemangku Pegawai Daerah Tenom, Ahmad Shah ketika dihubungi menjelaskan bahawa pihaknya tidak dapat membuat sebarang komen berhubung perkara tersebut sebaliknya meminta media mengajukan persoalan itu kepada Pegawai Daerah, Ahmad Yusof sebaik sahaja beliau kembali bertugas hujung bulan ini (Mac) sekembalinya dari mengerjakan Umrah.

Penjelasan daripada dua agensi kerajaan itu timbul ekoran luahan rasa kurang senang hati di kalangan penduduk di kawasan sekitar tempat pengumpulan stok pembelian getah kepingan yang didakwa mereka (penduduk) mengganggu ketenteraman mereka disebabkan bau busuk kepingan getah tersebut.

Mereka mendakwa bahawa masalah tersebut telah pun diajukan kepada pihak PBT di sini sebelum ini, namun keadaan reda seketika selepas aduan tersebut bagaimana pun keadaan yang sama kembali semula beberapa bulan selepas itu.

Menurut seorang pengusaha sebuah restoran yang enggan identitinya didedahkan memberitahu bahawa kelulusan lokasi untuk operasi pengumpulan stok pembelian getah bukan di situ, sebaliknya ia berada jauh dari kawasan itu.

Namun kedegilan pemiliknya tegas pengusaha restoran itu, dia meneruskan juga beroperasi di situ walaupun telah mendapat bantahan daripada penduduk sekitar termasuk pelanggan restoran berhampiran.

“Kadang-kadang pelancong asing datang ke restoran kami pun komplen bau busuk itu dan menyebabkan kami kehilangan banyak pelanggan,” tegas pengusaha restoran berkenaan.

No comments:

Post a Comment