Sunday 20 March 2011

JANGAN SAMPAI RAKYAT SABAH LAKNAT ROSNAH

RADIASI....Kesan radiasi di bilik darjah di SK Tambisan wajar dilakukan segera dan meminta Rosnah menghentikan 'Sindrom Lalat' yang hanya terbang jika ada bangkai yang mahu dihurung.

Oleh: SURIATI MAHMUD

TIMBALAN Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Rosnah Rashid Shirlin yang telah berjanji akan menjalankan siasatan berhubung penggunaan bateri asid plumbum di sekolah-sekolah luar bandar Sabah dalam videoklip ‘Skandal Tergempar Sabah’; digesa agar turun padang bersama Unit Khas untuk mengkaji kesan plumbum terhadap kanak-kanak sekolah di beberapa sekolah pilihan; terutama yang menggunakan sistem solar hibrid.

Ketua Cawangan UMNO Tanjung Labian, Tungku, Kunsul Nahul yang menghubungi Sabahkini.net sebentar tadi membuat gesaan demikian setelah meneliti jawapan Rosnah di Parlimen berhubung pertanyaan lisan Ahli Parlimen Malaysia (Tenom), Datuk Raime Unggi pada 16 Mac 2011 dan video klip berkenaan yang mengandungi gambar dan suara Rosnah.

“Saya harap Rosnah tidak berperangai seperti lalat yang hanya berminat kepada bangkai. Sebelum beliau dilaknat rakyat Sabah yang semakin bimbang, terutama kami, ibu bapa yang teraniaya, saya harap beliau (Rosnah) menubuhkan unit khas turut padang menjalankan ujian darah terhadap anak-anak kami bagi mengenalpasti tahap keracunan plumbum,” ujar Kunsul yang dimaklumkan salah seorang anaknya bahawa kajian Pusat Racun Negara dan Yayasan Sabah pada 1996 begitu membimbangkan kerana kadar plumbum dalam darah kanak-kanak tadika di Pantai Barat Sabah amat tinggi.

Kata Kunsul, beliau mempunyai anak dan cucu yang bersekolah di SK Tanjung Labian yang menggunakan Sistem Solar Hibrid yang dikuasakan oleh bateri asid plumbum.

Sebelum kesihatan kanak-kanak sekolah menjadi serius, kata Kunsul, beliau mendesak agar Rosnah mengambil iktibar daripada kajian Pusat Racun Negara pada 1996 dan tidak menunggu laporan rasmi pihak yang terkena keracunan plumbum, kerana lazimnya penyakit yang berpunca daripada plumbum sukar dikesan.

KEJAM....Apakah Rosnah begitu kejam membiarkan kanak-kanak sekolah ini menghidu gas beracun di dalam bilik darjah mereka sedangkan Rosnah duduk di kerusi empuk. Bagaimana jika salah seorang kanak-kanak sekolah ini anak Rosnah?

“Ada orang kampung kami yang bekerja di kilang bateri di Selangor baru sahaja meninggal dunia dipercayai kerana keracunan plumbum; pada hal dia masih muda dan sihat walafiat. Doktor kata dia mengalami komplikasi buang pinggang tetapi daripada ujian darah yang dijalankan, kadar plumbumnya amat tinggi sehingga menyebabkan beliau maut akibat kegagalan buah pinggangnya berfungsi,” ujar Kunsul yang meminta agar Jabatan Pelajaran Daerah mengambil langkah waspada, terutama memastikan tiada kanak-kanak menghampiri bateri berkenaan.

Kunsul yang turut dalam lawatan bersama Ahli Parlimen Malaysia (Silam), Haji Salleh Kalbi ke SK Tambisan pada 2009 turut kesal kerana bateri asid plumbum yang berbahaya dicaj di dalam bilik darjah dan Pusat Sumber.

“Ketika itu YB Salleh sudah tegur agar bilik berkenaan tidak digunakan tetapi sampai ke hari ini masih digunakan menyebabkan kanak-kanak terdedah kepada bahaya. Bukankah Rosnah patut jalankan kajian sejak 2009 lagi kerana telah ada laporan rasmi dibuat YB Salleh?,” ujar Kunsul yang agak kesal kerana Rosnah langsung tidak prihatin terhadap nasib kanak-kanak yang menjadi mangsa permainan politik pihak tertentu yang menggunakan bateri asid plumbum di sekolah di luar bandar.

Bukankah kata Kunsul, Kerajaan Malaysia telah bersetuju dan menandatangani Basel Convention untuk mengawalselia, mengurus sisa logam berat plumbum dengan sempurna dan tidak mengimport, mengeksport atau menyimpan bahan berasaskan plumbum kerana Sabah tidak mempunyai mesin kitar semula?

BAHAYA....Apakah Rosnah mahu menunggu sehingga ada kematian kanak-kanak akibat keracunan plumbum seperti kanak-kanak Nigeria ini atau ikan di sungai-sungai di Sabah bermutasi seperti ikan daripada Sungai Han di Korea ini? Bateri asid plumbum ini adalah pembunuh senyap yang tidak memberi amaran langsung.

Sikap dingin Rosnah kata Kunsul, menyebabkan rakyat akan mengecam Kerajaan Barisan Nasional, apatah lagi menuding jari terhadap Jabatan Alam Sekitar tanpa menjalankan tugas yang diamanahkan kepada beliau.

Kanak-kanak sekolah dan guru di SK Tg Labian dan Tambisan amat memerlukan bekalan elektrik terutama untuk membolehkan komputer, alat pandang dengar dan peralatan lain berfungsi, tetapi kata Kunsul, pihaknya membantah keras bateri asid plumbum digunakan di ke dua buah sekolah berkenaan.

“Kini bukan masa untuk menyanyikan lagu ‘Bangau Oh Bangau’ sebaliknya mengambil langkah berjaga-jaga dan meningkatkan langkah keselamatan. Bukankah setiap kampung ada klinik kesihatan dan bukanlah susah untuk mengambil sampel darah kanak-kanak secara rambang untuk ujian keracunan plumbum?,” kata Kunsul yang jengkel dengan sikap Rosnah selama ini.

Sikap sambil lewa Rosnah kata Kunsul sebelum ini telah menyebabkan seorang pesakit di Tuaran maut kerana janji palsu Rosnah untuk mendapatkan bantuan peralatan kesihatan, namun janji tersebut tidak ditunaikan sehinggalah pesakit kronik berkenaan menemui ajal.

Sebagai orang kampung dan pemimpin UMNO akar umbi, Kunsul mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar tidak tutup mata terhadap skandal yang memalukan ini, terutama dari segi kos projek yang meroket dan tidak melalui proses tender; demi kepentingan pihak yang mengaut untung di atas kesengsaraan kanak-kanak sekolah.

“Setakat ini belum ada pihak yang datang ke SK Tg Labian atau SK Tambisan untuk mengkaji bahaya bateri asid plumbum yang dilambakkan di sini dan kita tidak tahu ke mana mereka akan buang bateri berkenaan setelah digunakan kelak,” ujar Kunsul yang turut mendesak agar Jabatan Alam Sekitar segera mendatangi dua buah sekolah berkenaan yang berada pada tahap bahaya.

No comments:

Post a Comment