Friday 25 March 2011

KERACUNAN LOGAM BERAT PLUMBUM



Oleh: PROF. RAZAK HJ. LAJIS (Pusat Racun Negara, USM)

TERDAPAT banyak logam dan garam galian yang diperlukan oleh tubuh. Ada diantaranya diperlukan dalam kepekatan yang agak tinggi dan ada pula yang diperlukan dalam kepekatan yang kecil sahaja.

Seperti yang diketahui umum, tubuh manusia memerlukan beberapa jenis garam galian untuk berfungsi dengan sempurna. Tanpa garam-garam galian tersebut tubuh akan mengalami gangguan kesan fisiologi yang seterusnya boleh memudaratkan keadaan fizikal dan mental seseorang.

Di antara garam galian yang banyak terdapat di dalam tubuh ialah kalsium, fosforus, natrium sulfur, kalium, klorida dan magnesium. Selain dari itu terdapat beberapa garam galian yang turut diperlukan oleh tubuh dalam kepekatan yang kecil.

Garam galian ini dikenali sebagai elemen surih iaitu terdiri daripada zat besi, zink, selenium, kuprum, kromium, manganese, silikon dan nikel.

Setiap bentuk logam, garam galian dan elemen surih ini mempunyai fungsi yang tertentu. Sebahagiannya saling memerlukan antara satu dengan lain untuk berfungsi secara optima.

Secara umumnya, bahan-bahan diperlukan dalam pembentukan struktur dan metabolisme tubuh. Sebagai contoh, kalsium dan fosforus diperlukan dalam kepekatan yang optima untuk tumbesaran dan penjagaan tubuh serta perkembangan tulang yang sempurna. Beberapa elemen lain pula diperlukan untuk membawa impuls-impuls saraf di sepanjang serat saraf ke serata bahagian tubuh.

Sebagaimana bahan-bahan lain, kandungan logam yang tinggi serta melebihi paras yang diperlukan oleh tubuh akan menimbulkan masalah dan memudaratkan. Ini akan menimbulkan banyak kesan-kesan toksik.

Lebih malang lagi sekiranya kehadiran bahan tersebut tidak dapat dipastikan dengan tepat sehinggalah timbul sesuatu gejala. Antara bahan-bahan atau logam yang sering dikaitkan dengan fenomena sebegini ialah plumbum, sejenis logam berat.

Sumber Dan Cara Penyebaran Plumbum

Masyarakat umu mungkin kurang faham apakah itu plumbum. Ramai juga yang tidak mengetahui apakah bahaya yang mungkin dihadapi sekiranya seseorang itu terdedah kepada plumbum pada kepekatan yang tinggi dan berterusan.

Dari segi biologi, plumbum sebenarnya tidak mempunyai sebarang faedah dalam tubuh sekalipun dalam kepekatan yang paling kecil. Sebaliknya plumbum memindahkan atau mengganti logam-logam lain daripada tapak ikatan di sel-sel yang berkenaan dan menyebabkan berbagai kesan biokimia.

Apabila plumbum memasuki tubuh sama ada melalui mulut ataupun pernafasan, pigmen plumbum akan terpisah. Seterusnya tubuhakan menyerap pigmen plumbum ini sebagaimana tubuh menerima elemen lain yang telah dikenalpasti kegunaan dan manafaatnya seperti kalsium dan zat besi.

Plumbum sebenarnya adalah satu keluaran hasil bahan semulajadi yang banyak terdapat di dalam kerak bumi. Ia boleh didapati di dalam air, tanah dan tumbuh-tumbuhan. Sumber plumbum yang paling mudah ditemui ialah dari plumbum yang tersebar di dalam tanah dan air.

Disebabkan sifat-sifatnya yang pelbagai, plumbum telah dimanafaatkan untuk berbagai kegunaan sama ada untuk keperluan industri ataupun untuk bahan kegunaan seharian. Sebagai bahan kegunaan seharian, kebanyakan kegunaannya tidaklah ditakrifkan merbahaya sekiranya ia digunakan dengan betul dan perlupusannya dikawalselia dengan teliti.

Bagaimanapun, plumbum boleh memasuki alam sekitar dalam bentuk yang mungkin merbahaya, apabila ia disalahgunakan atau dibuang secara tidak terurus. Sebagai contoh ini boleh berlaku semasa pembakaran bekas-bekas bateri atau bekas cat-cat lama yang mengandungi plumbum.

Plumbum di dalam persekitaran juga dapat meningkat dengan banyaknya akibat dari hasil pembakaran minyak petrol berplumbum. Oleh itu kempen ‘Gunakan minyak petrol tanpa plumbum’ merupakan salah satu langkah bijak bagi mengurangkan kandungan plumbum di persekitaran.

Beberapa kajian yang dilakukan di Amerika menunjukkan bahawa kandungan plumbum di usara dapat dikurangkan dengan berkesan, melalui penggunaan petrol tanpa plumbum. Walaupun ada banyak faktor lagi yang mempengaruhi kualiti udara di sekeliling kita, ini adalah satu langkah awal ke arah menikmati persekitaran yang lebih nyaman dan menghirup udara yang lebih bersih.

Debu atau habuk plumbum yang terhasil daripada cat-cat yang menggunakan plumbum juga merupakan ancaman kepada alam sekitar. Perkara ini sering menimbulkan masalah terutamanya kepada kanak-kanak khususnya mereka yang berumur antara satu hingga lima tahun.

Bahan ini boleh didapati di lantai, tikarm permaidani, perabut, barang-barang mainan dan barangan lain yang mungkin disentuh oleh kanak-kanak tersebut. Ditambah lagi dengan tabiat semulajadi kanak-kanak yang gemar merasa atau membawa sebarang bahan yang disentuh ke mulut, menjadikan golongan ini lebih terdedah kepada bahaya plumbum di rumah.

Bagaimanapun satu berita yang agak melegakan ialah kebanyakan cat-cat yang digunakan hari ini tidak lagi menggunakan plumbum sebagai bahan asasnya yang utama. Ini tidak pula bermaksud masalah bahaya plumbum boleh diketepikan begitu sahaja.

Orang dewasa didapati lebih terdedah kepada plumbum bergantung kepada jenis atau bentuk pekerjaan yang mereka lakukan. Mereka yang terdedah kepada sumber plumbum dalam persekitaran tempat kerja akan lebih menanggung risiko terhadap keracunan plumbum.

Baru-baru ini satu kajian yang dijalankan di ibu kota Kuala Lumpur mendapati beberapa orang pegawai olis trafik mengalami tahap pendedahan kepada plumbum yang tinggi. Perkara yang sama juga dialami oleh beberapa orang polis trafik di bandaraya Bangkok. Fenomena ini dikaitkan dengan plumbum yang dibebaskan oleh asap-asap kenderaan dan kilang-kilang perusahaan.

Plumbum juga boleh didapati daripada kegiatan-kegiatan yang melibatkan pemprosesan barangan tembikar dan seramik. Oleh itu pekerja dalam sektor berkenaan haruslah diawasi agar pendedahan yang mereka alami itu terkawal dan tidak tersebar keluar dari tempat kerja.

Satu lagi sumber plumbum ialah daripada tin-tin yang dipateri secara tidak sempurna terutamanya yang mengandungi makanan berasid. Makanan tidak sepatutnya disimpan dalam bekas tin kerana ini akan meningkatkan lagi keterlarutan plumbum ke dalam makanan itu.

Pembakaran kertas surat khabar serta perabut kayu yang dicat dengan cat yang mengandungi plumbum turut menyumbang kepada kandungan plumbum di dalam persekitaran. Lebih kurang 5 miligram plumbum ditemui bagi setiap kilogram kertas surat khabar yang dibakar.

Plumbum ini datangnya dari dakwat hitam yang digunakan. Maka sebab itulah penggunaan kertas surat khabar sebagai bahan pembungkus tidak digalakkan lagi. Beberapa kes keracunan, berpunca daripada plumbum yang terkandung dalam ubatan tradisional juga pernah dilapurkan.

Apabila ubat-ubatan tersebut dihantar untuk dianalisis didapati ia mengandungi plumbum yang tinggi. Antara jenis plumbum yang ditemui ialah plumbum oksida, plumbum sulfat dan plumbum nitrat. Beberapa kejadian lain turut membabitkan kandungan plumbum yang tinggi di dalam bahan-bahan kosmetik. Plumbum juga dilapurkan dapat meresap keluar dari cawan dan mangkuk yang diperbuat daripada seramik.

Antara sumber-sumber plumbum yang terdapat di persekitaran:

- tanah tanih yang tercemar dan serpihan-serpihan cat

- debu-debu yang mengandungi plumbum di dalam air, udara dan makanan

- air yang dimasak atau disimpan di dalam bekas yang mengandungi plumbum

- menyimpan makanan, buah-buahan terutama yang berasid dalam bekas berplumbum

- sesetengah brangan kosmetik

- ubat-ubat yang tercemar kebanyakannya terdiri dari keluaran bahan-bahan tradisional

- relau pemprosesan logam dan kemudahan kitar-semula plumbum

- pembakaran surat khabar, bekas bateri dan kayu serta perabut kayu yang dicat dengan cat yang mengandungi plumbum

- pensil warna dan warna air apabila dimakan

Senarai ini mungkin hanya merupakan sebahagian dari barangan yang mengandungi plumbum yang terdapat di sekeliling kita. Oleh itu sebarang kemungkinan pendedahan terhadap plumbum secara berterusan mestilah dikenalpasti dan dielakkan. Ini supaya kesan buruk yang mungkin timbul daripadanya dapat dihindarkan.

Tanda-tanda Keracunan Plumbum

Kehadiran plumbum akan menyebabkan kesan toksik kepada beberapa organ dalaman tubuh. Apabila plumbum diserapkan ke dalam sistem tubuh, ia mempunyai kebolehan untuk menghalang fungsi-fungsi biasa organ di dalam badan.

Pendedahan terhadap plumbum secara berulang-ulang akan meningkatkan lagi kandungannya di dalam tubuh. Tubuh tidak mempunyai cara yang berkesan untuk membuang plumbum.

Dengan itu, kebanyakan plumbum akan tersimpan di dalam tubuh terutama di dalam tulang dan buah pinggang. Kesan toksik plumbum selalunya timbul selepas pendedahan yang panjang terjadi.

Tanda-tanda keracunan plumbum di dalam semua peringkat umur adalah tidak spesifik dan sering berlaku tanpa disedari. Gejala keracunan yang lebih jelas hanya ditunjukkan apabila terdapat kandungan plumbum yang tinggi dalam darah.

Pada paras kepekatan di bawah 25 mikrogram/100 ml, tiada gejala yang khusus dapat diperhatikan walaupun terdapat kajian yang mengaitkan kepekatan ini dengan kelakuan aneh serta penurunan tahap (IQ) pada kanak-kanak.

Pada kepekatan di antara 25 hingga 50 mikrogram/100 ml pula, gangguan buah pinggang dilapurkan berlaku. Ia juga berupaya melembabkan halaju konduksi saraf. Gejala-gejala seperti kekurangan darah, gangguan usus seperti sembelit dan koliks sering berlaku apabila kepekatan plumbum dalam darah meningkat hingga 70 mikrogram/100 ml.

Keracunan yang serius berlaku apabila kepekatan plumbum dalam darah melebihi 70 mikrogram/100 ml. Kebanyakan kes ensefalopati (sejenis penyakit otak) terjadi apabila kepekatan plumbum darah meningkat sehingga 100 mikrogram/100 ml.

Pelbagai kajian telah dibuat tentang jumlah kepekatan plumbum yang dibenarkan berada di dalam darah tanpa menimbulkan masalah yang serius terhadap seseorang itu. Sehingga tahun 1991, kepekatan sehingga 30 mikrogram/100 ml darah adalah dianggap selamat dan boleh diterima.

Namun beberapa gangguan di dalam fungsi-fungsi biokimia telah dilapurkan berlaku pada kepekatan yang lebih rendah. Akhir-akhir ini, terdapat beberapa kajian yang turut membincangkan kaitan penyakit darah tinggi dan sakit buah pinggang pada paras kepekatan plumbum yang lebih rendah.

Selain daripada itu, terdapat juga lapuran yang menyatakan bahawa kepekatan plumbum di antara 10 hingga 15 mikrogram/100 ml dan selebihnya boleh menganggu dan melemahkan perkembangan psikomotor bagi kanak-kanak.

Para penyelidik bersependapat bahawa kanak-kanak adalah golongan yang lebih terdedah kepada bahaya keracunan plumbum. Salah satu sebabnya ialah plumbum mudah diserap oleh tubuh yang sedang berkembang.

Di dalam tubuh kanak-kanak dianggarkan lebih kurang 50% plumbum yang termakan dapat diserap berbanding hanya 10% di dalam tubuh orang dewasa. Oleh itu, seseorang kanak-kanak yang terdedah kepada plumbum pada sukatan yang sama seperti orang dewasa akan mengalami kesan yang lebih teruk berbanding dengan dewasa.

Kadar penyerapan ini meningkat sekiranya seorang kanak-kanak itu mengalami kekurangan zat makanan terutamanya zat besi, kalsium dan zink.

Pendedahan yang berterusan terhadap plumbum walaupun di dalam jumlah yang kecil kepada kanak-kanak boleh mengakibatkan kerosakan yang cuma kelihatan ketika kanak-kanak tersebut mula menunjukkan keupayaan belajar.

Pada kepekatan yang rendah, bagi kanak-kanak yang berumur dari satu hingga lima tahun, tanda-tanda awal yang ditunjukkan ialah rasa kurang selera makan. Masalah lain yang mungkin dihadapi ialah rasa gelisah, kerap muntah dan tidak minat bermain. Kesan yang lebih serius termasuk muntah-muntah yang berlarutan, rasa lemah urat saraf, sawan dan koma.

Keracunan plumbum boleh menyebabkan seseorang kanak-kanak tersebut mengalami kerosakan sistem saraf pusat dan otak. Ini akan menjejaskan perlakuannya di samping berupaya menimbulkan masalah dalam proses pembelajarannya.

Perkembangan fizikal juga akan turut terencat. Kesan keracunan plumbum ini juga sering dikaitkan dengan masalah pendengaran dan kerosakan buah pinggang terhadap mangsanya. Di dalam kandungan yang tinggi, plumbum boleh menyebabkan buta, kerosakan otak dan boleh membawa maut.

Pendedahan kanak-kanak terhadap plumbum juga boleh berlaku secara tidak langsung. Menurut beberapa lapuran, wanita mengandung yang mempunyai kadar plumbum dalam darah sebanyak 25 mikrogram/100 ml dapat mempengaruhi perkembangan mental dan fizikal janin.

Sekiranya seseorang wanita terdedah kepada kandungan plumbum yang tinggi semasa mengandung, perkembangan janin akan terganggu. Seorang perempuan mengandung yang telah terdedah kepada plumbum akan mempunyai simpanan kandungan plumbum yang tinggi di dalam tulangnya.

Perubahan-perubahan metabolik yang berlaku di dalam tubuh semasa mengandung boleh menyebabkan simpana plumbum itu tadi dibebaskan ke dalam darah dan juga janin. Ini akan menyebabkab janin terdedah kepada kandungan plumbum yang tinggi.

Pada tahap perkembangan janin yang lebih peka kepada plumbum berbanding orang dewasa, kandungan plumbum yang dianggap selamat dan boleh diterima oleh wanita mengandung dicadangkan agar tidak melebihi 10 mikrogram/100 ml.

Memahami keadaan ini, cadangan telah dibuat untuk mengkaji semula kepekatan yang dianggap selamat kepada semua peringkat umur. Selama ini kepekatan yang dianggap selamat untuk orang dewasa adalah lebih tinggi daripada kanak-kanak.

Kini paras kepekatan ini mula diragui. Ini berikutan satu kajian yang dilakukan di Kolej Perubatan Harvard yang mendapati bahawa peningkatan plumbum dalam darah walaupun pada kepekatan yang dianggap kecil berupaya mengganggu fungsi buah pinggang. Satu kepekatan yang lebih tinggi dijangkakan akan meningkatkan lagi risiko kerosakan buah pinggang. Ada yang mencadangkan kepekatan itu diturunkan sehingga 7 mikrogram/100 ml.

Cara Pencegahan Dan Rawatan

Penentuan kandungan plumbum dalam tubuh boleh dilakukan dengan pelbagai cara yang melibatkan beberapa bentuk sampel untuk dianalisis. Antara sampel yang pernah digunakan untuk menganalisis kandungan plumbum dalam tubuh ialah rambut, kuku, urin dan darah. Sesetengahnya adalah lebih peka daripada yang lain.

Setakat ini penentuan dengan cara menggunakan darah merupakan salah satu tatacara yang berkesan untuk menentukan sekiranya terdapat pengumpulan plumbum dalam tubuh. Cuma satu kelemahan utamanya yang telah dikenalpasti ialah ia mungkin memberikan satu bacaan yang tinggi sekiranya sampel darah diambil sebaik sahaja pendedahan berlaku.

Ini disebabkan perseimbangan dengan tisu-tisu dalam badan belum berlaku. Terdapat satu teknik terbaru yang diperkenalkan untuk mengukur kandungan plumbum dalam badan yang diberitakan dapat memberikan kandungan plumbum yang lebih tepat lagi.

Cara ini melibatkan pengukuran kandungan plumbum di dalam tulang kering dengan menggunakan tekanik sinar-X yang amat peka.

Sumber: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Amerika Syarikat.

Dari segi rawatan, terdapat beberapa jenis agen pengkelatan yang sering digunakan dalam menangani masalah keracunan ini. Agen-agen yang dimaksudkan ialah dimerkaprol (atau nama lain BAL), kalsium disodium versenat, penisilamin serta asid dimerkaptopurik.

Bagaimanapun rawatan mestilah dijalankan dengan berhati-hati kerana agen-agen ini sendiri mempunyai kesan sampingan yang serius kalau pemberiannya tidak diawasi dengan teliti. Tahap kepekatan plumbum diperiksa dengan teliti sebelum sebarang bentuk rawatan perubatan diberikan.

Selalunya pada peringkat awal, pengawalan dibuat dengan cuma mengenalpasti sumber plumbum dan mengasingkannya daripada mangsa. Program-program pendidikan diberikan sebagai salah satu usaha untuk mengawal agar pendedahan plumbum dapat dikurangkan. Kajian susulan yang lebih terperinci diperlukan sekiranya mangsa menunjukkan kepekatan plumbum yang tinggi dalam tubuhnya.

Memandangkan kanak-kanak merupakan golongan lebih terdedah kepada bahaya keracunan plumbum ini, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (Centres for Diseases Control and Prevention - CDC) yang bertempat di Amerika Syarikat telah mengeluarkan satu garis panduan sebagai langkah pendidikan, pencegahan dan rawatan ke arah menangani kes keracunan tersebut.

Usaha-usaha mestilah terus dijalankan untuk mengawal dan seterusnya mengurangkan kes keracunan plumbum terutamanya di kalangan kanak-kanak. Secara amnya, kita mestilah berusaha untuk mengenalpasti sumber-sumber plumbum yang berada di sekeliling kita dan menjauhkannya daripada terus terdedah kepada kanak-kanak. Sekiranya jika ia dapat dilakukan, sebahagian daripada masalah akan dapat diatasi. Walau bagaimanapun ia bukanlah suatu perkara yang mudah. Komitmen dari semua peringkat adalah perlu.

Bagi kanak-kanak tumpuan mungkin boleh diberikan kepada kanak-kanak yang mungkin mengalami masalah kekurangan zat makanan dan persekitaran yang tercemar. Untuk orang dewasa, peraturan mengawalselia serta mengawasi tahap pendedahan yang mungkin mereka hadapi dalam tugas seharian mereka adalah mustahak.

Tahap kesedaran masyarakat harus dipertingkatkan lagi. Sumber-sumber plumbum di persekitaran hendaklah dikenalpasti dan penjelasan tentangnya diperluaskan. Pendidikan berterusan mengenai sumber-sumber lain yang terdapat di persekitaran adalah langkah yang baik dalam menganjurkan penjagaan kesihatan dalam masyarakat.

Pihak kerajaan dan bukan kerajaan seharusnya berganding tangan dalam mewujudkan satu usaha yang menyeluruh untuk mengurangkan sumber-sumber plumbum. Kita harus belajar daripada pengalaman. Satu perkara yang jelas ialah pencegahan adalah lebih murah daripada mengubati.

10 comments:

  1. We should really stop using lead battery.

    ReplyDelete
  2. Kes ini belum lagi selesai? Ingatkan pihak bertanggungjawab sudah selesaikan.

    ReplyDelete
  3. Panjang ceritanya.. sama panjang dgn kes yang tidak pandai2 selesai ni. huhu

    ReplyDelete
  4. Apapun, harap hal ni dapat diselesaikan secepat mungkin.

    ReplyDelete
  5. harap isu ini akan dapat diselesaikan seperti yang diharakan oleh semua.

    ReplyDelete
  6. Where is the solution to this problem? lead battery is hazardous to health and the environment. Should immediately ban the use of lead battery.

    ReplyDelete
  7. Plumbum ini boleh mengancam pengguna. jadi mungkin perlu difikirkan cara lain untuk menangani mengantikan penggunaan plumbum.

    ReplyDelete
  8. plumbum merupakan racun bagi semua orang, tetapi risiko keracunan lebih besar terhadap bayi yang belum lahir dan anak kecil..

    ReplyDelete
  9. isu plumbum ini teleh lama didedahkan, ia harus diambil perhatian demi kesihatan generasi masa kini.

    ReplyDelete
  10. jadi,perlu berhati-hati dan peka terhadap kehadiran plumbum yang boleh mengancam kesihatan dan keselamatan manusia.

    ReplyDelete