Saturday 26 March 2011

KITAPOL DAN TIBABAR KINI TERANG BENDERANG



Oleh : NEWMOND TIBIN

SETAHUN yang lepas, sebaik sahaja matahari terbenam, dua buah kampung iaitu Kitapol dan Tibabar di Kiulu berhampiran kaki Gunung Kinabalu akan hilang dari pandangan dan tenggelam dalam kegelapan.

Lebih 500 penduduk dari kedua-dua kampung itu bergantung sepenuhnya terhadap penggunaan minyak tanah dan bateri untuk menerangi kediaman mereka.

Namun terima kasih kepada program di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diilhamkan Perdana Menteri Daruk Seri Najib Tun Razak, kerana kedua-dua kampung itu kini mendapat bekalan elektrik dan penduduknya boleh melakukan aktiviti pada waktu malam termasuk melayari Internet.

"Sudah lebih 40 tahun kami melalui kehidupan yang agak mencabar tanpa bekalan elektrik. Saya masih ingat ketika berusia 9-12 tahun... semasa bersekolah saya terpaksa menghabiskan kerja sekolah selewat-lewatnya 5 petang dan tidur awal kerana tiada elektrik di kampung saya.

"Kini kami ada bekalan elektrik, kami boleh duduk di luar dan berbual-bual lama, menonton rancangan televisyen kegemaran - Akademi Fantasia - dan tidak perlu tidur begitu awal. Tidak terlintas di fikiran bahawa suatu hari kedua-dua kampung ini akan menikmati kemudahan elektrik. Ia seperti mimpi jadi kenyataan," kata seorang penduduk Kitapol, Kanduman Gopong kepada Bernama baru-baru ini.

Lama Menunggu

Beliau berkata penduduk di Kitapol menunggu bertahun lamanya untuk mendapat bekalan elektrik dan kini ia menjadi kenyataan.

"Saya percaya ini tidak mungkin akan berlaku sekiranya tanpa NKRA, dan satu berita baik ialah dua kampung yang berjiran dengan kami iaitu Kampung Tiong-Tiong dan Kampung Maingob juga akan menikmati bekalan elektrik 24 jam tidak lama lagi," katanya.

Kanduman, yang juga pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), berkata projek bekalan elektrik luar bandar adalah seiring dengan aspirasi konsep 1Malaysia yang mengutamakan keperluan rakyat terutama di kawasan luar bandar.

"Saya mengkagumi kepantasan dan cara Perdana Menteri melakukan transformasi ke atas negara ini dari segi pembangunan. Dalam tempoh yang singkat, banyak masalah termasuk kekurangan bekalan elektrik yang dihadapi penduduk luar bandar dapat diselesaikan," kata Kanduman.

Tidak lama selepas memegang jawatan Perdana Menteri pada 2009, Najib mengumumkan rancangan besar untuk Malaysia menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Pentingnya GTP

Dalam mencapai objektif GTP, enam bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dikenal pasti oleh kerajaan untuk dilaksanakan-meluaskan akses pendidikan berkualiti dan termampu, menambah baik pengangkutan awam, memerangi rasuah, mengurangkan kadar jenayah, memperkasa prasarana luar bandar pedalaman serta meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah.

Kanduman berkata selain daripada empat kampung berkenaan, terdapat kampung lain di pedalaman Kiulu yang mendapat manfaat daripada NKRA menerusi peruntukan bekalan elektrik seperti Kampung Gonipis Baru, Borombon, Tudan dan Poring.

"Bagi pihak penduduk Kitapol dan Tibabar, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anggota dewan undangan negeri Kiulu Datuk Louis Rampas atas usaha beliau membawa transformasi terhadap Kiulu hingga menjadi kenyataan, terutama untuk kemudahan asas infrrastruktur seperti elektrik, bekalan air bersih dan jalan raya," katanya.

NKRA Bagai Penyelamat

Joos Galid dan John Hussin, pemimpin masyarakat di Kiulu, yang sependapat dengan pandangan Kanduman berhubung perkara itu menjelaskan bahawa ini dapat membantu menghapuskan persepsi negatif mengenai NKRA.

Bagaimanapun, mereka menyatakan bahawa sebelum ini kerajaan menyediakan bekalan elektrik kepada sekurang-kurangnya 10 kampung di sepanjang jalan Tomis-Tiong Ratau-Lokos, dekat Gunung Kinabalu, yang memberi manfaat kepada 5,000 orang dan lima kampung di sepanjang jalan Pukak-Mantob dekat Banjaran Crocker.

Laluan jalan berkenaan juga ditar baru-baru ini, yang turut mengembirakan penduduk kampung.

Sementara itu, Pemimpin Kemajuan Rakyat bagi Kiulu, Sami Bangud berkata terdapat juga rancangan untuk melaksanakan sekurang-kurangnya 14 projek bekalan elektrik di Kiulu tidak lama lagi.

Kerajaan meluluskan projek berkenaan dan hanya menunggu masa sebelum projek bekalan elektrik dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata ini menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk melaksanakan penambah baikan hidup rakyat dan negeri ini, yang seiring dengan aspirasi 1Malaysia "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Sami amat optimistik yang Kiulu dan kawasan lain di Sabah dan Sarawak akan mengalami masa depan yang lebih baik di bawah kepimpinan kerajaan BN sekarang ini yang begitu mengambil berat terhadap kehidupan rakyat.

Beliau berkata transformasi yang sedang berlaku di Kiulu terutama dalam bentuk bekalan elektrik, ialah testimoni kepada rakyat di negara ini bahawa NKRA mula menunjukkan hasilnya di negeri ini dan Malaysia secara keseluruhannya bergerak maju ke hadapan.

8 comments:

  1. Hope that the government will provide sufficient electricity supply to the entire state.

    ReplyDelete
  2. Baguslah kalau macam ni at lest penduduk dapat menikmati bekalan elektrik.

    ReplyDelete
  3. Kerajaan juga harus pastikan semua rakyat Sabah di seluruh pelusuk negeri menikmati kemudahan sebegini.

    ReplyDelete
  4. ini pasti menggembirakan penduduk di kawasan tersebut kerana mereka sudah mendapat kemudahan elektrik.

    ReplyDelete
  5. Baguslah sudah ada letrik.Harap2 kampung lain pun dapat menikmati letrik juga.

    ReplyDelete
  6. Nampaknya kerajaan telah berusaha untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat di Sabah. Semoga setiap tempat akan diberikan tumpuan.

    ReplyDelete
  7. akhirnya penduduk2 kampung telah mendapt kemudahan elektrik, diharap kampung2 lain yang belum mendapat bekalan juga akan mendapat bekalan elektrik.

    ReplyDelete
  8. yup, sudah tentu usaha kerajaan ini mampu menghapuskan persepsi negatif terhadap setiap program yang diilhamkan oleh Najib. teruskan usaha dan lakukan lebih banyak perubahan sesuai dengan kehendak rakyat di negeri ini.

    ReplyDelete