Thursday 24 March 2011

LDP TENOM KECEWA TIADA MENTERI KABINET



Oleh: MAIL MATHEW

KETUA Bahagian Liberal Democratic Party (LDP) Tenom, Kapitan Ng Tet Hau tidak melihat kombinasi perlantikan jawatan kabinet yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman suatu pengagehan yang seadil-adilnya, meskipun ia kelihatan benar mewakili tiga suku kaum terpenting di Sabah.

Tegasnya, namun dari segi penyertaan parti-parti dalam komponen Barisan Nasional (BN) adalah jelas berlaku penyisihan kepada LDP sebuah parti tempatan yang tertua dalam BN di Sabah.

“Sekarang terlalu jelas kepada kita bahawa parti-parti tempatan Sabah sudah menjadi suara minoriti dalam hak pemutus dasar kabinet kerana UMNO, Parti Gerakan (Parti Semenanjung) menguasai 8 fotfolio Menteri, manakala parti tempatan Sabah PBS 2 potfolio Menteri dan UPKO 1 fotfolio manakala LDP kosong dan disisihkan. Adilkah ini?,” kata beliau yang mengakui sebagai pandangan peribadi beliau sendiri dan bukannya LDP Pusat.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) LDP Pusat seterusnya menegaskan bahawa dengan penyisihan LDP dalam barisan kabinet telah memperlihatkan kepada rakyat terutamanya ahli-ahli dan penyokong parti itu bahawa ada kesungguhan pihak tertentu berniat sangat ingin melenyapkan pengaruh LDP di Sabah.

Kapitan Ng berkata, prinsip perjuangan LDP ketika pada penubuhan awalnya adalah berpaksikan penjagaan kepentingan masyarakat Cina selain masyarakat lain sebagai pilihan kedua sepertimana konsep dan prinsip perkongsian kuasa yang diamalkan dalam gagasan BN di Sabah sejak tahun 1990-an.

Manakala PBS tegasnya, adalah merupakan sebuah parti yang konsepnya berbilang kaum namun perjuangannya lebih menjurus kepada penjagaan kepentingan masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) tetapi diberi dua jawatan Timbalan Ketua Menteri (TKM).

LDP dan Parti Akar (sudah dibubar) parti tempatan bersama Umno merupakan tiga gabungan parti yang pertama memulakan perjuangan BN di Sabah menentang kerajaan PBS pimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pada ketika itu sekitar tahun 1990-an.

No comments:

Post a Comment