Thursday 24 March 2011

MALAYSIA WAJIB LESTARI TENAGA HIJAU


RINGAN....Raime memegang 'Genset' yang menggunakan bateri lithium polymer bukan sahaja ringan, malah mesra alam dan sesuai untuk semua kegunaan.

Oleh: MUTALIB M.D

KERAJAAN Malaysia wajib menggunakan sumber tenaga hijau bebas plumbum setelah tidak lagi menggunakan petrol berplumbum di semua stesen minyak dengan menumpukan usaha menggunakan tenaga dan teknologi hijau dalam erti kata sebenar.

Ahli Parlimen Malaysia (Tenom) Datuk Raime Unggi menegaskan, Malaysia tidak boleh menoleh kebelakang setelah lebih dua billion kanak-kanak di dunia mengalami keracunan plumbum daripada pelbagai sumber, termasuk penggunaan tenaga solar dan solar hibrid yang menggunakan bateri asid plumbum di semua sekolah di luar bandar.

“Ketakutan dan trauma ini membuatkan saya berfikir panjang dan membuat pilihan bestari untuk menggunakan teknologi terkini lithium polymer bagi menggantikan teknologi bateri asid plumbum yang telah digunakan sejak 1860 lagi,” ujar Raime yang telah tiga kali membahaskan isu keracunan plumbum di Dewan Rakyat sejak 2009 lagi.

Raime menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa kosnya amat mahal berbanding dengan bateri asid plumbum dan kejadian letupan bateri asid plumbum di SK Sumambu menyebabkan beliau tidak lagi berpaling sebelum membuat keputusan untuk menggunakan bateri lithium polymer dalam projek bekalan elektrik solar untuk dua kampung di Tenom, iaitu Kampung Sumambu dan Katubu.

“Dakwaan mengatakan bateri lithium polymer mahal tidak masuk akal dan fitnah sahaja kerana kos untuk membina Sistem Solar Hibrid 20 kw/H di SK Sumambu berharga RM6 juta sedangkan dengan kapasiti janaan 40 kw/H elektrik di Sumbambu dan Katubu saya hanya menggunakan peruntukan sejumlah RM1.2 juta sahaja,” ujar Raime.

Raime bagaimanapun menjelaskan beliau tidak bermaksud untuk memburuk-burukkan fungsi bateri asid plumbum atau teknologi berkaitan, namun katanya teknologi berkenaan telah ketinggalan zaman dan tidak mampu untuk menjana elektrik di abad ke 21 yang berorientasikan teknologi hijau.

KENANGAN....Kanak-kanak di Sumambu dan Katubu tidak lagi menggunakan pelita kerana mereka telah mendapat bekalan elektrik solar. Pelita kini hanya menjadi kenangan kepada mereka tetapi masih menjadi igauan kepada majoriti penduduk luar bandar di Sabah.

“Kita kini bertuah kerana mempunyai Kementerian Tenaga Hijau, tetapi kita tidakpun pernah mencapai 0.1% daripada sumber tenaga bekalan elektrik kita menggunakan teknologi tenaga hijau, walaupun kita sudah merdeka lebih setengah abad. Di mana silapnya?,” tanya Raime yang masih kebingungan kenapa Kerajaan belum menggunakan teknologi berkenaan di sektor Jabatan Kerajaan dan GLC yang bukan sahaja menanggung kos yang tinggi melalui penggunaan generator; malah menggunakan bateri asid plumbum.

Sehubungan itu, Raime merayu Kabinet Malaysia agar membuat keputusan untuk menghentikan dan mengharamkan penggunaan semua bahan berasaskan plumbum sebaliknya sejajar dengan Basel Convention dan beralih kepada tenaga hijau yang mesra alam dan menjimatkan kos dalam jangka masa panjang.

“Kita juga merayu agar Tenaga Nasional Berhad dan SESB beralih kepada tenaga hijau terutama di Sabah sejajar dengan hasrat Kerajaan Malaysia mempelopori tenaga hijau,” kata Raime yang meyakini pilihannya tepat untuk memulakan projek perintis tenaga hijau berasaskan solar yang menggunakan bateri lithium polymer di dua kampung terpencil berkenaan.

Walaupun TNB dan SESB memberikan alasan tidak ada bateri lithium polymer yang sesuai untuk menyimpan tenaga dalam kapasiti besar, namun Raime yakin jalan pasti ada dan mesti ada cara untuk meningkatkan saiz bateri berkenaan bagi kegunaan komersil.

Kata Raime, beliau berpuas hati dengan keupayaan sistem berkenaan yang bukan sahaja murah, mudah, tidak perlu diselenggara dan paling penting, penduduk miskin di luar bandar tidak perlu memikirkan bagaimana mencari wang untuk menjelaskan bil elektrik kerana sistem ini diberi secara percuma.

“Mereka di pedalaman Tenom sudah mengecap udara merdeka lebih 47 tahun lalu, namun kini baru dapat menikmati erti kemerdekaan sebenar ketika mendapat cahaya elektrik setelah bergelap begitu lama,” ujar Raime yang berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana meluluskan projek berkenaan dilaksanakan di dua buah kampung berkenaan.

Memandangkan projek berkenaan amat berjaya, maka Raime bercadang untuk meluaskan penggunaannya di semua sektor, bukan sahaja di rumah penduduk kampung terpencil, malah di balai raya, rumah ibadat, gelanggang permainan dan lampu jalan di kampung terpencil yang tidak mampu dicapai oleh SESB.

“Bagi saya, teknologi inilah yang terbaik buat rakyat Sabah namun peruntukan yang terhad menyebabkan saya terpaksa melakukannya secara berperingkat-peringkat, namun dengan ehsan dan keprihatinan Perdana Menteri, saya fikir isu bekalan elektrik di Sabah akan selesai dalam masa yang singkat,” ujar Raime lagi.

Ketika ditanya kenapa beliau memilih untuk mengunakan bateri lithium polymer, Raimen menjelaskan bahawa beliau begitu takjub dengan keupayaan bateri berkenaan menggantikan fungsi bateri asid plumbum yang digunakan oleh ‘Buggy’ di beberapa kelab golf terkenal.

“Jika dulu ‘Buggy’ menggunakan enam bateri asid plumbum dengan masa mengecas yang agak lama, tetapi hanya satu bateri lithium polymer yang padat digunakan untuk menggantikan enam bateri asid plumbum, dengan jangka masa mengecas hanya empat jam sahaja dan mampu pergi lebih jauh,” ujar Raime yang mengakui keupayaan bateri lithium polymer telah membuka mata beliau sebagai penyelesaian untuk projek bekalan elektrik di dua kampung perintis berkenaan.

No comments:

Post a Comment