Tuesday 29 March 2011

NOTE BOOK 1MALAYSIA UNTUK SIAPA?


DUA DARJAT....Penduduk Pulau Banggi yang tidak mempunyai elektrik mendapat note book 1Malaysia, manakala anak-anak Norina masih terus menunggu buah yang entahkan bila akan jatuh?

Oleh: MOHD YATIM SUHAILI

KETIKA Penduduk Pulau Banggi gembira mendapat Note Book 1Malaysia sekalipun tidak dapat menggunakannya kerana tiada bekalan elektrik; para pelajar SMK Panglima Abdullah, Semporna menanti penuh debar bahawa mereka juga akan turut menerima 1,000 note book berkenaan yang diperuntukan bagi setiap kawasan parlimen di Sabah.

Namun setelah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan bahawa ada sesetengah pelajar menjual komputer di bawah Program Komputer 1Malaysia yang diberikan percuma oleh kerajaan; sudah tidak kedengaran projek berkenaan sehingga menghampakan ibu bapa miskin tegar di Semporna.

“Mereka kata anak-anak saya akan dapat kerana pendapatan saya sebagai guru Tadika Kemas hanya RM600 sahaja, tetapi sampai sekarang belum ada sebarang khabar berita,” Puan Norina Bte Junior yang menetap di Taman Nilam, Semporna.

Menurut Norina, dua anaknya, Nur Shafeera Bte Azizul yang sedang menuntut di tingkatan 5 dan adiknya, Noor Azrin Bin Azizul, pelajar tingkatan 2 SMK Datuk Panglima Abdullah mungkin berputih mata jika program berkenaan dihentikan tanpa mencapai matlamat yang ditetapkan.

Sekalipun komputer ‘Note Book’ 1Malaysia itu diberikan secara percuma kepada kumpulan sasar keluarga isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan bagi kawasan luar bandar dan bawah RM5,000 bagi kawasan bandar berdasarkan nisbah yang ditetapkan, namun kata Norina beliau belum mendapat sebarang khabar daripada Pengetua sekolah berkenaan.

Program melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, kata Norina sangat baik terutama memberi pendedahan awal kepada dunia ICT, namun disebabkan masalah tertentu, program tersebut hanya khabar angin sahaja bagi beliau sekeluarga.

“Ada pelajar sekolah lain kata mereka sudah terima, tetapi tidak tahulah kalau Ahli parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pilih kasih dan hanya memberikan kepada keluarga beliau sahaja,” ujar Norina yang berharap agar Shafie turun padang memastikan mereka yang layak seperti beliau mendapat haknya tanpa gagal.

Menurut Norina, beliau mendapat maklumat bahawa sejumlah RM1 bilion telah diperuntukkan untuk pelaksanaan projek notebook 1Malaysia, yang melibatkan pengagehan sebanyak satu juta unit notebook berserta langganan pakej jalur lebar kepada pelajar-pelajar dari keluarga berpendapatan isi rumah di bawah RM3,000 dan juga kepada golongan berpendapatan rendah.

“Apakah kami perlu meminta-minta atau menunggu Ahli Parlimen pulang ke kawasan atau jika tidak ada lagi, beritahu sahaja. Jangan membuat anak-anak saya ternanti-nanti,” kata Norina yang mengakui bahawa sekalipun bekerja sebagai Guru Tadika namun masih tergolong di bawah kategori miskin tegar dan tidak mampu untuk membeli computer riba untuk kegunaan anak-anaknya.

No comments:

Post a Comment