Wednesday 2 March 2011

PBPM MASIH PERLUKAN RAHMAN TEO



Oleh: MAIL MATHEW

PENGERUSI Persatuan Bekas Polis Malaysia (PNPM), cawangan Tenom, OKK Haji Maribin Rugin (gambar), menggesa pihak pusat (PBPM KL) agar menangguhkan kelulusan perletakan jawatan Pengerusi PBPM Bahagian Sabah, Haji Abdul Rahman Teo yang berkuatkuasa serta merta kerana perlu dibincang di peringkat jawatankuasa negeri terlebih dahulu.

Katanya, beliau sedih dan kecewa dengan keputusan Abdul Rahman Teo yang dibuat secara mengejut tanpa sebab-sebab tertentu ketika perkhidmatan Teo masih diperlukan PBPM Sabah.

“Prestasi Teo amat cemerlang sebelum ini dan tiada sebab beliau meninggalkan PBPM sedangkan khidmat beliau masih kami perlukan,” kata Maribin yang terkejut dengan berita diterimanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Teo.

Tegas Haji Maribin lagi, sekiranya keputusan Teo itu tidak dapat ditangguhkan lagi adalah lebih baik semua cawangan cawangan PBPM di seluruh Sabah mengadakan mesyuarat agung luar biasa (MALB) untuk mendapatkan pandangan dan cadangan daripada para perwakilan di Sabah.

“Secara jujur dan berterus terang bahawa prestasi perkhidmatan Haji Abdul Rahman Teo memimpin PBPM Sabah selama ini amat cemerlang, malah kita tidak pernah dengar ada tomahan daripada ahli-ahli PBPM di cawangan, tetapi tiba-tiba kita dikejutkan pula perletakkan jawatannya,” tegas Maribin sambil mengharapkan agar Teo menarik balik hasratnya itu.

Kata Maribin lagi, beliau mahu melihat PBPM terus berfungsi dengan baik selari dengan kemajuan persatuan lain dan insaf PBPM sebelum ini pernah dibelenggu krisis dalaman suatu ketika dahulu, sehingga hampir dibatalkan pendaftarannya.

1 comment:

  1. Mengapa Pengerusi PBPM Bahagian Sabah, Haji Abdul Rahman Teo hendak meletak jawatan ? Selalunya pokok tidak bergoyang kalau tidak ditiup angin ?
    Sekarang April 2011 apa keputusannya ?
    Maaf baharu terbaca blog ini

    ReplyDelete