Sunday 27 March 2011

PEGAWAI DAERAH ATAU TUAN RESIDEN?



Oleh: SURIATI MAHMUD

WALAUPUN sudah lebih 47 tahun penjajah Inggeris meninggalkan bumi Sabah, namun masih ramai Pegawai Daerah yang mengamalkan adat resam ‘Tuan Residen’ yang menggunakan kuasa ‘Veto’ atau dalam bahasa pasarnya, menyalahguna kuasa.

Ketua Cawangan UMNO Tg. Labian, Kunsul Nahul ketika menghubungi Sabahkini.net berkata beliau merujuk perkara tersebut kepada Pegawai Daerah Lahad Datu, Haji Zulkifli Nasir; yang bukan sahaja pantang ditegur, malah selalu ponteng kerja dan seringkali mengubah keputusan majoriti.

“Saya bercakap bagi kepentingan ramai kerana selaku Setiausaha Persatuan Pengusaha Bas Bumiputera Sabah Lahad Datu (PPBBS) kami sering berhadapan dengan karenah Pegawai Daerah yang tidak menghormati keputusan Ahli Majlis Daerah Lahad Datu yang meluluskan pengendalian Terminal Bas Lahad Datu kepada PPBBS tetapi beliau ‘KIV’ sehingga kami terpaksa merayu kepada Menteri,” ujar Kunsul yang kesal kerana Pegawai Daerah mempunyai agenda tersendiri ketika ‘KIV’ keputusan Jawatankuasa Lalulintas Majlis Daerah Lahad Datu.

Kunsul menjelaskan dalam mesyuarat khas tersebut, keputusan Jawatankuasa Lalulintas MDLD memihak kepada PPBBS dengan agregat 4-1, tetapi kemudiannya dibatalkan setelah Pegawai Daerah mengambil keputusan untuk menolak keputusan panitia berkenaan kerana ingin menawarkan tender mengendali Terminal Bas Lahad Datu kepada tiga syarikat persendirian; masing-masing Nadi Enperprise, Pengangkutan Loti dan RBA Enterprise.

“Pada mesyuarat penuh 1 Mac 2011, sekalipun Pegawai Eksekutif MDLD tidak hadir, Pegawai Daerah telah mengarahkan agar MDLD mengeluarkan notis 14 hari untuk singkir PPBBS sekalipun beliau tahu PPBBS tidak pernah gagal bayar sewa sejak 1992 lagi. Hakikatnya, beliau ada kroninya untuk mengambil alih terminal berkenaan sehingga membelakangkan kepentingan umum,” ujar Kunsul yang mendedahkan beliau telah membuar rayuan kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Hajiji Haji Noor dan rayuan penyambungan sewa terminal telah diluluskan.

PPBBS Lahad Datu, kata Kunsul, mempunyai 90 ahli dan amat terjejas jika terminal berkenaan ditutup atau diambil alih oleh MDLD untuk ditawarkan kepada syarikat persendirian sedangkan PPBBS ditubuhkan untuk menaiktaraf dan membelanjakan banyak wang di Terminal Bas Lahad Datu.

Mengikut pemerhatian beliau, Pegawai Daerah hanya bekerja tiga hari sahaja seminggu iaitu selasa, rabu dan khamis, kerana hari jumaat beliau balik ke Kota Kinabalu dan Isnin petang baru ke Lahad Datu sehingga menyukarkan orang ramai berurusan.

“Sebagai pembayar cukai, saya ada hak untuk menegur sikap beliau yang selalu ponteng kerja dan melakukan pentadbiran ‘Ala British’ dengan melakukan penindasan kepada rakyat, terutama memindahkan Pasar Kain Terpakai (Rombengan) dari dataran Palma ke tanah persendirian,” ujar Kunsul yang bimbang penindasan terbuka ini akan menyebabkan rakyat marah dan menolak BN pada pilihanraya umum akan datang.

Tegas Kunsul, tidak pernah ada dalam sejarah pentadbiran Lahad Datu, Pengerusi Majlis Daerah lebih suka menswastakan operasi pasar dan menyusahkan rakyat melainkan Haji Zulkifli.

Sehubungan itu, Kunsul menggesa agar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman agar campurtangan dengan menukarkan Haji Zulkifli ke daerah lain; apatah lagi bagi mengelakkan nama Ketua Menteri terbabit disebabkan Pegawai Daerah tersebut ada hubungan keluarga dengan Ketua Menteri.

“Saudara Ketua Menteri bukanlah lesen untuk beliau bertindak sesuka hati, sebaliknya wajib menjaga nama baik Ketua Menteri yang memberi amanah kepada beliau ketika ditukarkan daripada Keningau ke Lahad Datu,” ujar Kunsul dengan nada kesal di atas tindakan Haji Zulkifli menindas dan menutup periuk nasi peniaga kain terpakai yang telah berniaga sejak 30 tahun lalu.

Menurut Kunsul, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Musa Aman jangan menyalahkan beliau jika ramai Ketua Cawangan UMNO meninggalkan parti itu jika isu Pasar Rombengan tidak diselesaikan kerana kebanyakan peniaga ialah Ketua Cawangan yang bergantung hidup dengan perniagaan berkenaan.

“Saya telah buat teguran dan saya harap Datuk Musa prihatin dengan aduan rakyat dan wajar mengutamakan PPBBS dalam apa juga hal dan golongan bumiputera yang kini miskin kerana penutupan pasar rombengan dan penempatan baru yang diswastakan merupakan pembunuhan rezeki paling kejam yang dihalalkan BN,” ujar Kunsul yang agak kecewa kerana Ketua UMNO Bahagian Silam gagal menyelesaikan kemelut ini secara muktamad.

Tegas Kunsul lagi, Haji Zulkifli turut ‘menceroboh’ Terminal Bas Lahad Datu dengan membenarkan MARA mendirikan lima gerai dalam kawasan yang telah disewakan kepada PPBBS dan membenarkan Warga Asing (Penduduk Tetap) berniaga tanpa lesen di pondok yang sepatutnya digunakan PPBBS.































9 comments:

  1. Hopefully the CM will give his attention to this matter.

    ReplyDelete
  2. Yg direpot pun ada kepentingan, yg merepot pun sama juga...sya cadangkan pihak state government untuk masuk campur agar keputusan tidak berat sebelah...atau open saja itu tender, biar semua orang beat....

    ReplyDelete
  3. Inilah sikap orang yang suka mengambik kesempatan dan hanya memikirkan tentang kepentingan diri sendiri sahaja.

    ReplyDelete
  4. Seharusnya individu sebegini harus dipecah dari terus menjawat jawatan itu.

    ReplyDelete
  5. harap perhatian dan tindakan bersesuaian dapat diambil bagi menyelesaikan isu yang timbul.

    ReplyDelete
  6. sebaiknya hal ini diberi perhatian. kita tak boleh biarkan seseorang menyalahgunakan kuasanya.

    ReplyDelete
  7. pegawai daerah seperti ini patut diberhentikan serta merta. sudah la masalah2 di lahad Datu tidak pernah selesai, ditambahnya lagi masalah2 baru.

    ReplyDelete
  8. Kalau betul dakwaan ni, mungkin patut juga dikenakan tindakan yang tegas!!

    ReplyDelete
  9. Siasat perkara ni dan buatlah apa yang patut. Jangan sampai hal ini lagi yang ditimbulkan jadi isu di Sabah.

    ReplyDelete