Tuesday 22 March 2011

PEMANTAUAN PROJEK BN WAJIB TELUS?



Saudara Pengarang,

SAYA telah beberapa kali ke Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di Jalan Sulaman-UMS kerana berurusan dengan beberapa agensi kerajaan. Melihat daripada jauh nampak gah, tetapi satu perkara yang saya perasan ialah, pembinaan bangunan ini tidak diselia dengan baik.

Saya cuba mencari maklumat penting tentang sejarah bangunan ini seperti kontraktor yang mendapat kontrak pembinaannya dan kosnya tetapi tidak saya temui di internet, mungkin pihak Sabahkini.net boleh membantu.

8/2008-saya lihat jubin yang dipasang di luar bangunan ini jatuh bertaburan.

3/2011-saya melihat jubin lantai di blok yang menempatkan bangunan perpustakan Jabatan Setiausaha Persekutuan dan bilik-bilik yang dinamakan dengan bilik Pahang, Johor, Perlis, Kedah pula terkopak.

Baru-baru didedahkan dalam Daily Express tentang projek-projek psarana pendidikan terbengakalai di Sabah. Saya melihat perkara ini sangat serius kerana kesemua projek ini adalah menggunakan wang pembayar cukai. Oleh itu ianya sangat rugi kerana kualiti bangunan tidak seberapa berbanding dengan harganya.

Saya juga tertarik dengan tajuk berita dalam Sabahkini.net tentang ‘BN Bina Semakin Banyak ‘Projek Cek Tendang’? Saya berpandangan adakah projek dibuat kerana kerajaan BN mahu tunjuk yang ia banyak duit serta prihatin kepada rakyat?

Hakikat sebenarnya tidak kerana saya dimaklumkan banyak juga projek sedemikian di Semenanjung. Projek terbengkalai, seperti Dewan SMK Inanam, Flat Guru di Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu (SMAKK) yang kelihatan seperti siap tetapi tidak tahu apa masalahnya, masih belum dapat diduduki. Bangunan asrama baru di SMAKK juga masih belum dapat diduduki. Sekali pandang, kualiti pembinaan sangat mengecewakan.

Sebagai kesimpulan, saya amat berterima kasih atas projek yang dibuat, tetapi amat kesal dengan sikap agensi kerajaan terbabit yang gagal memantau kualiti pembinaan. Apa yang saya fahami, biasanya projek ini di bawah penyeliaan JKR. Saya mohon juga agar pihak Sabahkini.net mendedahkan perkara ini dan kalau boleh minta juga pihak Pembangkang seperti Ahli Parlimen Kota Kinabalu turun padang melihat permasalahan di kawasannya.

Sebagai tambahan, saya mencadangkan agar pihak Sabahkini.net membuat satu dokumentari/laporan khas berkait dengan keadaan jalanraya di Sabah bermula daripada Kota Kinabalu; cuba pantau di Kolombong dan Jalan Lama Menggatal, walaupun tidak jauh daripada Kota Kinabalu tetapi keadaan jalannya sangat menyedihkan (apakah ini hasilnya selepas 47 tahun merdeka?

Mentaliti baik pulih hanya bila sudah sampai tahap tenat seharusnya dihentikan, sepatutnya ianya dibuat secara berkala. Satu lagi jalan pintas daripada Jalan Sulaman ke Tuaran By-pass melalui UA Apartment, lubang luas tidak dibaiki walaupun sudah lama.

Itu hanya sebahagian yang dapat saya lihat, sebenarnya banyak lagi. Harap Sabahkininet dapat mendedahkan perkara-perkara yang saya sebutkan walaupun tidak teratur kerana bingung dengan suasana politik negara ini; sistem yang rosak oleh ahli politik yang korup.

BN, buktikan anda betul-betul berubah, bukan hanya gimik.

Salam Hormat,

RAKYAT KECEWA

No comments:

Post a Comment