Monday 21 March 2011

PROJEK NKRA SK TANGARASON, BELURAN



PEMBINAAN rumah guru dan sekolah kabin di Sekolah Kebangsaan (SK) Tangkarason yang disiapkan hasil pelaksanaan projek di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) baru-baru ini, memberikan banyak keselesaan yang sememangnya amat diperlukan oleh kalangan tenaga pengajar dan murid di sekolah itu.

Rata-rata guru di sekolah ini bersyukur apabila projek yang terbengkalai beberapa ketika akibat beberapa masalah yang dialami kontraktor asal, akhirnya disiapkan.

SK Tangkarason merupakan salah sebuah sekolah jauh di luar bandar di Dewan Undangan Negeri Sugut dengan kebanyakan pelajarnya adalah daripada kalangan keluarga miskin.

Salah seorang guru di sekolah itu, Johmen Masandu berkata pembinaan rumah guru itu memang dinantikan oleh tenaga pengajar sekolah berkenaan yang sebelum ini terpaksa tinggal di rumah guru yang lama dan usang.

"Rumah guru baru ini memberikan keselesaan kepada guru-guru yang amat memerlukan kemudahan itu dan membantu mereka menumpukan kepada tugas sebagai seorang pendidik," katanya.

"Ia membuktikan kerajaan memang sentiasa mengambil perhatian kepada kemudahan infrastruktur sekolah-sekolah di luar bandar," katanya.

Penyiapan rumah guru yang terbengkalai sebelum ini dan pembinaan sekolah kabin itu termasuk dalam penyaluran peruntukan kerajaan di bawah NKRA bagi keseluruhan daeran Beluran yang berjumlah RM200 juta.

Peruntukan NKRA untuk Parlimen Beluran diumumkan oleh oleh Anggota Parlimen Beluran Datuk Ronald Kiandee dalam satu majlis pemimpin bersama rakyat di Kampung Abuan pada Mei tahun lepas.

Sebuah lagi projek pembinaan rumah guru yang terbengkalai dan disiapkan melalui peruntukan NKRA adalah SK Lingkabau.

Kiandee yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata usaha meningkatkan kemudahan untuk sekolah-sekolah adalah antara inisiatif yang diutamakan bagi projek di bawah NKRA di daerah ini.

Katanya ini kerana masih banyak kemudahan prasarana dan infrastruktur diperlukan di sekolah-sekolah di luar bandar di daerah ini terutama dari segi bangunan sekolah dan rumah guru.

"Ini merupakan komitmen kerajaan untuk melaksanakan projek yang memberi manfaat kepada rakyat dan bagi memastikan ia sampai kepada rakyat, kerajaan mempelbagaikan lagi kaedah pelaksanaan projek itu termasuk di bawah NKRA.

"Rakyat tanpa mengira di mana mereka berada terutama di kawasan luar bandar akan menerima impak mana-mana projek yang dilaksanakan dibawah NKRA," katanya kepada Bernama.

Kiandee berkata projek lain yang turut ditumpukan di bawah NKRA di daerah ini adalah naik taraf jalan raya kampung kepada tar, pembinaan loji air di Paitan dan di Kampung Botition di Sugud serta penyaluran bekalan elektrik kepada penduduk di kampung sepanjang Jalan Sapi-Nangoh. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment