Tuesday 15 March 2011

RAMAI ‘GENTAR’ SUARA HALILINTAR SIMON?



Oleh: MUTALIB M.D

KETEGASAN Mantan Naib Pesuruhjaya SUHAKAM, Tan Sri Simon Sipaun menyuarakan isu hak asasi dan kedaulatan rakyat Sabah bukan sahaja dibimbangi akan menjadi ‘peluru berpandu’ atau ‘boomerang’; malah dikhuatiri akan mengancam kedudukan pihak tertentu, menyebabkan timbulnya pelbagai kontroversi setiap kali Simon menyuarakan isi hatinya.

Kebimbangan inilah yang menyebabkan RTM yang mengadakan rakaman Program Lambai Limbai pada jam 10 pagi, 30 Disember 2008 di Water Front, Belakang Hotel Hyyat, Kota Kinabalu telah memendekkan tempoh wawancara daripada setengah jam kepada tidak sampai 10 minit sahaja.

Selain daripada Simon, RTM turut menjemput Ahli Parlimen Malaysia (Silam) Haji Salleh Kalbi untuk menjadi Ahli Panel yang membicarakan isu pendatang asing di Sabah; RTM bagaikan orang yang sedang mengunyah ‘kuih makmur’ segera menghentikan wawancara ketika juruacara baru mengemukakan dua soalan asas kepada Simon dan mengisi baki program tersebut dengan Tarian dan Persembahan Kebudayaan.

Kenapa ‘Pengarah’ RTM mengarahkan juruacara memendekkan tempoh wawancara dengan celupar memotong percakapan Simon yang baru hendak ‘memanaskan kerusi’?

Berikut teks penuh kenyataan yang disediakan Simon berdasarkan soalan yang dikemukakan RTM dua minggu sebelum acara rakaman berkenaan berlangsung, sekaligus membuka ‘hijab’ kenapa Kerajaan enggan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (SSD) walaupun didesak berkali-kali oleh rakyat Sabah yang menjadi Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

KENYATAAN TAN SRI SIMON SIPAUN

TERLEBIH dahulu saya ingin menerangkan bahawa apa yang saya nyatakan merupakan pandangan, pemerhatian, pendirian, persepsi dan pengalaman peribadi saya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Suhakam atau dipersetujui oleh pesuruhjaya-pesuruhjaya yang lain.

Saya juga mengambil peluang ini menyatakan bahawa saya tidak pernah menyalahkan dan tidak berniat akan menyalahkan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berada di Sabah. Yang bertanggungjawab ialah pihak-pihak berkuasa yang membenarkan mereka masuk ke Sabah tanpa izin dan tidak mengikut kehendak undang-undang immigresen.

Kalaulah saya seorang daripada mereka, saya pun akan berbuat yang sama kerana bertujuan mencari kehidupan yang lebih senang, selesa, aman, makmur dan penuh dengan berbagai peluang.

Salah satu daripada tugas-tugas dan tanggungjawab-tanggungjawab kerajaan ialah untuk memantau, mengawal dan mencegah kemasukan ke Sabah pendatang-pendatang tanpa izin bagi pihak rakyat.

Misalnya di Filipina terdapat seorang rakyat Malaysia yang sudah dalam tahanan lebih 7 tahun tanpa bicara. Dia ditahan kerana diperlukan hanya sebagai seorang saksi. Undang-undang negara Filipina dikuatkuasakan dengan tegas.

Kalau di Sabah ceritanya lain sekali terhadap ratusan ribu rakyat asing yang melanggar undang-undang immigresen tetapi bebas bergerak dalam Negeri Sabah.

Ada dua buku iaitu ‘IC Projek’ dan ‘Lelaki Malaysia Terakhir?’ yang ditulis oleh Mutalib M.D. mengandungi banyak maklumat dan latar belakang mengenai isu-isu PATI di Sabah.

Kedua-dua buku itu juga mengenalpasti pemimpin-pemimpin politik yang mempunyai peranan untuk mewujudkan masalah ini. Setahu saya pemimpin-pemimpin yang dikenalpasti itu tidak pernah menafikan peranan dan penglibatan mereka.

Jadi saya tidaklah hairan kerajaan tidak bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Di Raja (SSD) yang bebas bagi mengenalpasti siapakah yang sebenarnya mempunyai tanggungjawab dalam hal ini. Kalau tidak ada yang disembunyikan apa salah kalau siasatan secara telus dan terbuka dijalankan.

Malaysia tidak mengiktiraf Konvensyen mengenai status orang pelarian (refugees) 1951 dan Protokol Mengenai Orang Pelarian 1967 dan instrumen lain Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (U.N) yang ada kaitan dengan orang-orang pelarian.

Malaysia juga tidak pernah meluluskan undang-undang yang bertujuan melindungi orang-orang pelarian. Jadi sejauhmana Malaysia ada kaitan semua orang asing di negara ini yang tidak memiliki dokumen dianggap PATI.

Dengan adanya PATI di Sabah yang begitu ramai maka mereka telahpun menukar keadaan dan kedudukan ekonomi, sosial, kebudayaan dan politik. Bagi saya ‘reverse take-over’ sudah pun lama berlaku. Saya berharap tidak akan berlaku kerana Negara Filipina tidak perlu lagi menuntut Sabah kerana rakyatnya sudah begitu ramai yang berada di sini dan soal menuntut itu tidak timbul lagi.

Menurut beberapa orang PATI yang datang ke pejabat Suhakam di Kota Kinabalu gerakan pengusiran hanya membuang masa dan wang saja dan memberi peluang kepada pegawai-pegawai penguatkuasa untuk memperolehi pendapatan tambahan. Seorang daripada mereka telah menyatakan bahawa senang sekali masuk ke Sabah. Sama senangnya seperti berjalan dari Centre Point ke Sembulan!

Pada hemat saya tiada seorang pun termasuk kerajaan yang tahu bilangan PATI secara tepat kerana bilangan itu sentiasa berubah. PATI yang kita dapat temui mengakui bahawa lebih kerap daripada tidak bilangan PATI yang masuk tanpa izin melebihi bilangan yang diusir dalam tempoh yang sama.

Misalnya kalau 20 orang diusir sebelah pagi, boleh jadi 30 orang masuk di sebelah petang. Kalaulah pengusiran secara besar-besaran itu berjaya tentu sekali semua tempat tahanan didapati sudah kosong dan PATI pun tidak ada lagi.

Nampaknya makin lama makin bertambah ramai kalau tidak mengapa pula Kerajaan ada rancangan untuk membina tempat tahanan tambahan. Masalah ini sudah menjadi terlalu besar dan susah ditangani meskipun Pasukan Petugas Persekutuan telah wujud lebih 20 tahun yang lalu. Badan ini ditubuhkan dengan tujuan menyelesaikan masalah ini.

Isu PATI ini merupakan masalah nasional tetapi dipikul oleh Sabah. Keadaan ini tidak adil bagi Sabah. Oleh itu adalah dicadangkan bagi PATI ini diageh-agehkan ke semua negeri secara purata.

Menurut tekaan saya banyak kemungkinan bilangan PATI di Sabah sudah melebihi bilangan rakyat Malaysia di Sabah. Tekaan ini berasaskan kepada beberapa faktor atau petunjuk (indicators) termasuk :-

Lebih kurang 20 tahun dahulu Kg. Icebox atau Kg. Titingan di Tawau telah terbakar dan lebih daripada 5,000 orang telah kehilangan tempat tinggal. Daripada jumlah itu hanya 500 orang saja merupakan rakyat Malaysia.

Saya telah diberitahu oleh Brigadier General Zulkifli pada masa itu, bahawa ramai mereka kelihatan menyelamatkan senjata api termasuk M 16 sebagai keutamaan daripada menyelamat harta benda yang lain.

Pada tahun 1970-an jumlah penduduk Sarawak dianggarkan 1 juta. Pada tahun 2004 iaitu 34 tahun kemudian jumlah itu telah meningkat ke 2 juta. Pada tahun 1970 juga jumlah penduduk Sabah dianggarkan seramai 698,00 orang.

Pada tahun 2004 jumlah itu telah meningkat ke 3.3 juta. Pada tahun ini mungkin ini sudah sampai 3.5 juta atau lebih. Berdasarkan kepada kadar perkembangan penduduk di Sarawak, Sabah sepatutnya mempunyai jumlah penduduk lebih kurang 1.4 juta pada tahun 2004. ini bererti ada ‘kelebihan’ penduduk seramai 1.9 juta di Sabah.

Pada bulan Jun 2005, Daerah Kinabatangan mempunyai jumlah penduduk lebih kurang 85,000 orang. Daripada jumlah ini hanya 25,000 orang saja yang rakyat Malaysia.

Menteri Kesihatan Malaysia telah dilaporkan dalam akhbar ‘Daily Express’ keluaran 9 Julai 2006 bahawa rumah-rumah sakit di Sabah menerima lebih daripada 30 peratus pesakit terdiri daripada PATI. Ramai mereka meninggalkan rumah sakit tanpa membayar yuran. Pada 18 November 2007 ada juga berita yang menyatakan bahawa 80 peratus katil di Hospital Likas telah digunakan oleh PATI.

Kalau kita pergi berjalan-jalan di KK dan di bandar-bandar besar yang lain di Sabah, kita boleh rasa suasana kita seolah-olah bukan di Negeri Sabah. Di mana lagi di negara ini yang ada ‘Pasar Filipina’ selain daripada Sabah?

Kita tidak dapat menafikan bahawa PATI merupakan sumber tenaga manusia yang diperlukan dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan di Sabah. Tanpa mereka ekonomi Sabah tidak dapat bergerak dan berkembang.

PATI atau tidak mereka merupakan manusia biasa dan mempunyai hak asasi manusia yang tidak kurang daripada rakyat Malaysia. Hak asasi manusia tidak ada sempadan. Akan tetapi ini tidak bererti mereka dibenarkan masuk ke negeri Sabah tanpa izin dan melanggar undang-undang imigresen. Mengapa pihak Kerajaan tidak menguatkuasa undang-undang negara dengan tegas? Adakah ini disengajakan?

Kita selalu mendengar tuduhan bahawa ramai mereka telah diberi MyKad dan status sebagai rakyat Malaysia. Kedua-dua buku yang ditulis oleh Mutalib M.D yang saya sebut tadi mengandungi banyak maklumat tentang isu ini.

SUHAKAM Cawangan Sabah juga ada maklumat yang kita perolehi daripada PATI sendiri. Sabah merupakan pintu masuk ke Malaysia dan juga dunia bagi mereka. (Rujuk kes penjara Limbang dan rakyat Pakistan di Kg. Boronuon di belakang Telipok). Saya tidak hairan kalau ramai PATI yang menjadi rakyat Malaysia telah berhijrah ke Semenanjung.

Menurut maklumat yang SUHAKAM perolehi daripada PATI sendiri, ada di antara mereka yang diberi kad pengenalan hanya untuk tujuan mengundi dan mereka tidak dibenarkan menukar ke MyKad. Inilah aduan mereka kepada SUHAKAM.

Saya percaya pengusiran rakyat Indonesia tidaklah begitu rumit kerana adanya pejabat Konsul Indonesia di Kota Kinabalu. Pemprosesan dan pengeluaran dokumen boleh dikendalikan dengan lebih mudah kalau dibandingkan dengan PATI Filipina. Filipina tidak berniat membuka pejabat Konsulat di Sabah kerana Sabah masih dituntut olehnya.

Realitinya ialah Indonesia mempunyai penduduk lebih kurang 250 juta orang manakala Filipina pula 90 juta. Saya percaya kedua-dua negara ini tidak mempunyai minat yang kuat bagi PATI daripada Indonesia dan Filipina dikirim balik ke negara asal mereka masing-masing. Selagi mereka berada di Sabah PATI itu bukanlah masalah Indonesia dan Filipina.

Saya percaya Sabah akan mengalami akibat kemerosotan ekonomi sedunia. Aktiviti-aktiviti komersial yang terlibat dalam pengeksportan barangan termasuk produk kelapa sawit akan terpaksa mengurangkan pekerja kerana permintaan luar menurun. Ramai pekerja tempatan dan asing akan kehilangan pekerjaan. Ini akan membawa kesan yang tidak diingini kepada masyarakat.

Banyak kemungkinan kadar jenayah akan meningkat. Memandangkan ramai pekerja di Ladang-ladang kelapa sawit terdiri daripada rakyat asing maka ramai daripada mereka akan kehilangan pekerjaan. Keadaan sosial ini akan membawa kesan yang tidak baik bagi kestabilan negeri Sabah.

12 comments:

  1. Berani kerana betul, takut kerana salah.

    ReplyDelete
  2. Mgkn siapa yg makan cili tu dia terasa pedas la.

    ReplyDelete
  3. harap masalah PATI ini akan dapat diselesaikan satu hari nanti.

    ReplyDelete
  4. Crime rate has increased tremendously ever since these foreigners reside in Sabah.

    ReplyDelete
  5. who give them jobs? who gave them facilities such as houses, rooms, shop lots? who buy their goods? and I'm sure many people in Sabah are not concerned with their presence and did not lodge police reports against their presence .. while we blame the government, people should also be blamed for being too kind.

    ReplyDelete
  6. pihak 'tertentu' inilah yang harus dihukum..mereka yang dalang dalam projek M atau projek IC harus dihukum mati kerana mengkhianat.

    ReplyDelete
  7. sampai bila KDN ingin menyembunyikan hal sebenar?

    kementerian dalam negeri hanya wujud untuk melindungi orang2 tertentu dan bukannya melindungi kedaulatan negara..maka wajar sekiranya KDN ini dibubarkan jika tidak berfungsi.isu besar seperti ini yang mengancam keselamatan negara dan rakyat masih dipandang remeh oleh KDN dan menteri KDN..menteri KDN wajar letak jawatan..

    ReplyDelete
  8. PATI kini dilihat semakin ramai dan mendapat keistimewaan seperti rakyat biasa, jika tak boleh biarkan hal ini kerana jika beterusan, ia boleh menjejaskan kedudukan penduduk tempatan Sabah.

    ReplyDelete
  9. Memang masalah PATI ini dari dulu lagi. pasti ada dalang dalam kemasukkan mereka ini. Jadi sebaiknya kerajaan perlulah mengambil serius perkara ini. kerana ketenteraman rakyat tidak selamat jika kehadiran mereka terlalu ramai.

    ReplyDelete
  10. Pendapat Sipaun ini pasti membuat rakyat Sabah berfikir banyak kali. Ini pasti memberi impak sedikit sebanyak kepada PRU 13.

    ReplyDelete
  11. Jangan sampai pribumi sabah menjadi asing di bumi sendiri....

    ReplyDelete
  12. We should try to bring Sabah forward towards development.

    ReplyDelete